DUN Bagan Pinang: Penamaan calon 3 Okt, hari mengundi 11 Okt
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Oktober ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober.
Tarikh tersebut diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuarat khas hampir dua jam di sini sebentar tadi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu dan pengundian pada Ahad adalah berdasarkan maklum balas yang diterima berikutan peratusan undi yang menurun pada pilihan raya kecil sebelum ini di DUN Permatang Pasir.
"Banyak di tempat lain sebelum ini kita pilih hari bekerja (hari penamaan calon dan pengundian), kita dapati jumlah pengundi yang datang ramai, contohnya di Manek Urai sebanyak 88 peratus.
"Kecuali di Permatang Pasir, kita tidak tahu kenapa pengundi yang turun hanya 73 peratus sahaja.
"Jadi berdasarkan maklum balas itu, kita tukar kepada Sabtu dan Ahad," katanya.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, BN yang meninggal dunia pada 4 September lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, SPR tidak menolak kemungkinan untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil seterusnya pada hari hujung minggu sekiranya menerima maklum balas yang baik dari segi peratusan keluar mengundi di DUN Bagan Pinang.
Beliau turut menafikan pemilihan tarikh berkenaan adalah disebabkan DUN Bagan Pinang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
"Mana ada...tidak langsung terlintas di fikiran kita perkara begitu," katanya.
Berhubung keraguan terhadap ketelusan pengundian pos yang disuarakan sesetengah pihak, Abdul Aziz berkata, pihaknya memberi jaminan pengundian itu berlangsung secara telus memandangkan syarat-syarat ketat yang dilaksanakan sepanjang proses pengundian dan pengiraan undi.
"Tidak mungkin akan berlaku undi pos boleh ditambah sesuka hati. Hanya mereka yang layak dalam undang-undang boleh mendaftar diri sebagai pengundi pos.
"Untuk menjadi pengundi pos, dia tidak boleh hendak tipu dan hantar orang lain kerana ia perlu disahkan oleh orang yang dikenali melalui borang 2 yang akan disekalikan dengan kertas undi dan diletakkan dalam sampul surat," katanya.
Beliau berkata, proses itu akan turut dipantau oleh pegawai SPR dan ejen-ejen parti yang bertanding.
Katanya, semua sampul surat itu akan disimpan dalam karung yang dilekatkan pita yang ditandatangani oleh ejen-ejen bagi tujuan keselamatan dan disimpan oleh pegawai pengurus sehingga hari pengiraan undi.
"Pada hari mengundi, SPR dengan disaksikan ejen akan mengeluarkan sampul surat tadi untuk memisahkan kertas undi dan borang 2.
"Selepas itu, kertas undi akan dimasukkan ke dalam kotak undi. Soal siapa undi siapa, tiada siapa yang tahu kecuali orang berkenaan," katanya.
Selain itu, Abdul Aziz turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar Subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan terkejut jika kita bertindak tegas dan mengenakan tindakan, dan jangan kata SPR berlaku zalim. Kita dah ingatkan banyak kali," katanya.
Mengikut subseksyen itu, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (MAFREL) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan.
Info pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:
Tarikh penamaan calon: 3 Oktober 2009 (Sabtu)
Tarikh pengundian: 11 Oktober 2009 (Ahad)
Pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi: Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Tempat proses pengeluaran dan pengiraan undi: Bilik mesyuarat pejabat daerah Port Dickson.
Tarikh daftar pemilih dikemas kini: 4 September 2009
Jumlah pemilih berdaftar: 13,664 orang
Jumlah pemilih biasa: 9060 orang
Jumlah pemilih pos: 4604 orang
Jumlah pusat mengundi: 8 pusat melibatkan 8 sekolah
Jumlah saluran mengundi: 18 saluran
Pegawai Pengurus: Abdul Wahab Shamsuddin - Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson
Jumlah petugas SPR: 275 orang