• Pemimpin Islam hanya kaku, membisuGolongan wanita turut menyertai bantahan hukuman mati ke atas 529 tahanan IM, semalam.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Isu hukuman mati Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Prof Dr Badie bersama 529 orang penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir beberapa hari lalu, seperti tidak mendapat tempat di hati pemimpin-pemimpin dunia Islam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, perkara ini seakan berita basi dan tidak sensasi, apatah lagi mengetuk pintu hati pemerintah negara Islam untuk sama-sama bangkit melenting dengan keputusan mahkamah rimba Mesir.

Menurutnya, hanya rakyat di beberapa negara  yang bangun berdemonstrasi, berarak menyatakan bantahan tanda kemarahan umat Islam.

“Hanya seorang pemimpin yang bangun mengkritik Mesir dan dunia iaitu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
“Lihatlah betapa beraninya beliau berucap di hadapan rakyatnya tanpa mengendahkan risiko dan pandangan Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Israel yang sentiasa mengintai musuh mereka untuk diratah selepas ini.

“Sebelum ini beliau lantang bersuara membela umat Islam yang dibunuh di Syria dan Semenanjung Gaza. Ketika pemimpin Islam dunia sibuk dibuai kesenangan dan lena dengan dunia masing-masing, Erdogan bangun membela mangsa dizalimi,” katanya, semalam.

Riduan berkata, seharusnya pemimpin Islam dunia merasa malu dengan keberanian Erdogan.

Riduan turut melahirkan kesedihan kerana pemimpin Malaysia tidak merasa terpanggil untuk prihatin di atas kematian demokrasi di Mesir apabila Wisma Putra dan Kementerian Luar Negara memandang sepi isu ini, seakan-akan ia tiada kena mengena dengan umat Islam, justeru Malaysia tidak akan mencampurinya.

Katanya, jika inisiatif dilakukan oleh Malaysia, dengan perdana menteri berusaha mendapatkan sokongan negara Islam lain serta tegas dengan prinsip sebagaimana Erdogan, selain menggunakan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan lain-lain, pasti ia menjadi isu global yang hangat.

Institut Kerjasama Islam Malaysia (Ikiam) turut mengutuk hukuman mati yang dikenakan.

Timbalan Presidennya, Datuk Mustafa Idrus berkata, hukuman tersebut dianggap kejam seperti zaman pemerintahan Firaun.

“Tindakan Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman tanpa memberi peluang membela diri adalah satu keputusan tidak adil dan kejam,” katanya.