Monday, July 04, 2016

PRU 14 semakin menarik

PRU 14 BAKAL DILAMBATKAN LAGI!!


Dengan tak semena-mena Lim Guan Eng kini dianggap sebagai wira. Pendakwaan di mahkamah yang dihadapinya menjadikan dirinya semakin dilimpahi sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Di Pulau Pinang semalam, sebagai tanda solidariti, ribuan manusia pelbagai golongan dan lapisan hadir beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepadanya.

Di lain-lain tempat, malah di mana-mana, boleh juga didengari rasa curiga rakyat terhadap pendakwaan itu yang mereka sifatkan lebih bermotif politik tujuannya.
Semuanya kini serba tak kena bagi UMNO dan BN. 

Mendakwa Guan Eng di mahkamah tidak menjadikan DAP dan Pakatan Harapan lemah, bahkan tindakan menampilkan Peguam Negara, Apandi Ali sebagai ketua pendakwaraya dan meletakkan jaminan setinggi RM1 juta bagai menambahburukkan lagi keadaan.

Kemudian, tindakan DAP mewujudkan tabung khas untuk orangramai menderma di mana sasaran kutipan berjaya dicapai hanya dalam tempoh 21 jam menjadikan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN semakin lemas dengannya.

Dengan kecenderungan ini, sama ada Guan Eng bakal didapati bersalah atau sebaliknya pada perbicaraan yang bermula September nanti, beliau tetap akan dianggap sebagai wira.

Tidak mustahil, jika dipenjara, sokongan yang akan diterimanya lebih melimpah-limpah  lagi.

Dan nampaknya, tarikh pilihanraya juga tidak mungkin diadakan dalam waktu terdekat ini. (SH 04/07/2016).