
Ini pula pemikiran penulis Utusan yang menjadi jurulapor dan sarat dengan pemikiran pelapor tentang telatah dan tindaklaku beliau di pejabat tanah jajahan pasir mas.
Penulis ini adalah berfikiran Umno Apco.
Semua kerajaan tiada duit, kerana kita dibawah kerajaan Malaysia. Kerajaan bakal muflis jika beri subsidi kata Menteri di JPM Idris Jala. Kemudian disanggah oleh Timbalan Menteri kewangan Ke 2 kerajaan Najib. Bahawa kita tidak akan bangkrap.
Jadinya hari ini Idris Jala didesak oleh Pengerusi PERKASA al Kataki iaitu Ibrahim Ali supaya meletakkan jawatan. Dan minta digantikan dengan beliaulah agaknya.
Penulis membangkitkan urusan pen dan tatacara pindah milik dan urusan tanah. Tatacara prosedur peratauran pindah milik adalah tatacara lama yang tersedia secara seragam dan distandardkan di seluruh pejabat tanah dalam negara kita. Dan tatacara urusan tanah tidak boleh berbeda dan banyak berbeda antara negeri-negeri kerana tanah juga mesti mengikut akta Kanun Tanah Negara yang diwartakan dan digunasama ke seluruh pejabat tanah di Malaysia.
Ini perlu difahami, walaupun pihak kerajaan negeri sendiri diberi kuasa dan berkuasa terhadap soal tanah di negeri berkenaan. Penulis Hamzah Jaffar jangan menjadi dungu dan bebal. Tidakkah orang yang secerdik  beliau yang lulusannya lebih tinggi daripada penjual pen di hadapan pejabat tanah jajahan pasir Mas gagal berfikir dan memikirkan soal asas ini.
Cumanya kecaman belaiu terhadap pen dakwat basah berharga RM4.20 sen yang perlu diisikan dengan menggunakan borang itu kita boleh fikirkan dan timbangkan kecaman berkenaan. Dan selain itu ingat bukan semua yang ada di pejabat tanah jajahan pasir mas itu sudah 100% menjiwai hasrat murni kerajaan negeri pimpinan PAS. Tidakkah Sdr Hamzah Jaafar tidak boleh memikrikan hal ini ?
Malah dalam akhbar Utusan Malaysia sendiri bukannya semua berfikiran ultra Umno dan ultra Melayu. Hamzah kena memikrikan juga.
Bagi kita sendii kenapakah harga akhbar utusan sendiri 'mahal' sama dengan harga akhbar berbahasa Melayu yang lain juga. Adalah lebih baik harga Utusan direndahkan cuma 10 sen kurang daripada akhbar arus perdana yang lain.
Jika Hamzah dapat memberikan jawapan segera dan memuaskan hati kita. Maka penulis bersetuju untuk ke Pasir Mas dan menyelesaikan sendiri permasalahan yang dibangkitkan olah Hamzah itu sendiri
Pen RM4.20, pejabat tanah dan retorik muktamar
 
 Oleh Zulkefli Hamzah
 
PUKUL 9 pagi di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas (PTJPM) terlihat  sibuk. Tidak banyak kerusi orang awam menunggu giliran yang tersisa  kosong. Semua hampir penuh dengan orang yang datang silih berganti.  Hidup di Pasir Mas, daerah bersempadan Kota Bharu di timur dan Thailand  di barat, tetap bermula awal.
 
Yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya - mungkin ini gambaran  yang dapat dilihat di pejabat ini. Pelanggan, kebanyakan warga tua  berusia emas yang ditemani waris seperti teraba-raba dan tertanya-tanya  untuk menyelesaikan urusan mereka.
 
Ada yang lebih selesa menggunakan khidmat orang tengah. Tak perlu  mundar-mandir, tak perlu turun naik tangga. Mudah dan tidak membazir  masa, kata mereka.
 
"Pen mata bulat tak boleh, guna pen dakwat basah, boleh tanya kedai  di seberang jalan." nasihat seorang petugas. Urusan mengisi borang  (pindah milik tanah, bahagian atau pajakan) ternyata rumit. Maklumat  yang diperlukan nampak ringkas tapi prosedurnya teramatlah melelahkan. 
 
Bayangkan untuk mengisi borang pun memerlukan pen khusus berharga  RM4.20 di kedai seberang! Tidak pula pen itu disediakan di kaunter  penerangan di pejabat ini. 
 
Ini belum lagi sikap seorang kakitangan yang lebih mengutamakan  keretanya yang perlu dialih daripada pelanggan yang tekun menunggu  seperti meminta belas agar dilayani segera. 
 
Dan ini pula jawapan jurujual kedai seberang: "Sepatutnya pejabat  tanah sediakan atau jual pen ini di situ, tak perlu susahkan orang  melintas jalan untuk beli pen ini."
 
Seorang jurujual yang mungkin hanya berkelulusan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) pun boleh memberi saranan sebegitu. Birokrasi seakan  telah melilit gerak kerja pejabat tanah ini.
 
Ia masih jauh daripada visi PTJPM bersalut harapan - untuk menjadi  institusi pejabat tanah dan jajahan yang terulung dalam menyediakan  perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam era teknologi dan globalisasi  menjelang 2020.
 
Slogan indah ada ditampal di mana-mana. Tapi sayang ia tidak diserap  dalam perkhidmatan secara keseluruhannya. Diakui majoriti kakitangannya  mesra dan sopan tetapi tahap kecekapan kerja masih jauh daripada yang  diharapkan.
 
Borang mudah berharga RM2 perlu diisi dengan pen RM4.20 di kedai  seberang adalah mula birokrasi yang melelahkan. Selepas borang lengkap  diisi, ia kemudian perlu disahkan di kaunter berbeza. Perlu naik turun  tangga dan menunggu giliran.
 
(Bangunan dua tingkat PTJPM unik kerana pintu utama di depan jarang  digunakan pelanggan tapi sebaliknya tumpuan utama keluar masuk ialah di  pintu tengah iaitu antara dua blok bangunan pejabat tanah ini).
 
Selepas itu, perlu ke tingkat dua untuk berurusan dengan bahagian  jurunilai tanah. Kemudian ke tingkat bawah semula ke pejabat penolong  pentadbir tanah bagi mendapatkan pengesahan nilai setem. Di pejabat ini,  semua penama yang terlibat perlu membuat pengesahan dengan cap jari. 
 
Mujurlah pejabat pos terletak berdekatan untuk membeli setem. Mungkin  ini bukti secanggih mana kita, pejabat pos masih tetap diperlukan.
 
Setelah setem hasil dibeli, pelanggan perlu pula ke kaunter untuk  pengesahan dan matikan setem. Ada cara tersendiri menyusun setem kerana  ruangnya terhad dengan jumlah setem bernilai beratus ringgit perlu  ditampal kemas.
 
Nilaian berbeza-beza bergantung kepada jenis tanaman di tanah  berkaitan. Ini pun menimbulkan rungutan kerana nilai cukai telah  mendadak naik. Yang terdengar daripada perbualan mereka ialah kerajaan  negeri tidak ada duit.
 
Setelah urusan melekat setem selesai, ke kaunter lain pula untuk  fotokopi borang. Salinan dan borang asal perlu diserahkan ke kaunter  yang berbeza. Begitulah rencah dan ragamnya untuk urusan yang satu ini  yang mengambil waktu seharian. Wajar sahaja urusan pindah hak milik  tanah ini jarang-jarang orang lakukan. Kalau tidak, lagi kelam kabut  pejabat tanah ini.
 
Urusan belum selesai. Malang sekali kerana jam telah menunjukkan  tepat pukul 1. Semua kaunter ditutup dan hanya dibuka semula 2 petang.  Tak ada kompromi kerana tidak ada petugas yang boleh melayani pelanggan.  
 
Sebaik pukul 2, salinan dan borang asal diserahkan ke kaunter  berasingan. Tetapi petugas maklumkan ada tanda tangan pegawai penilai  tertinggal dan perlu juga diisi. Sedangkan pegawai berkenaan tadinya  memaklumkan tanda tangannya bukan satu kemestian.
 
Mujurlah juga pegawai ini meminta maaf setelah dimaklumkan kakitangan  bawahannya tetap bertegas mengenai keperluan tanda tangannya. Bagaimana  boleh ada dua prosedur - satu kakitangan dan yang satu versi pegawai?
 
Selepas itu salinan asal diserahkan ke kaunter pengesahan sama ada  cukai hasil telah dibayar atau tidak. Jika belum dibayar dan juga untuk  membuat bayaran pindah milik, pelanggan perlu turun tangga lagi untuk  membuat pembayaran.
 
Setelah itu disusuli naik tangga semula untuk mendapat surat  pengesahan geran baru. PTJPM menjanjikan geran baru siap selang sehari.  Wah hebat. Dengan kecanggihan teknologi, geran baru dapat siap dengan  cepat. Tak payah tunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan. 
 
Mungkin ini maksud menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi  dalam era teknologi dan globalisasi menjelang 2020 dalam visi jabatan  itu. Visi yang nampak dipaksa-paksa untuk dicapai. 
 
Kedengaran perbualan dua lelaki, masing-masing bertongkat yang  merungut susahnya urusan pindah milik tanah. Sewajarnya pelanggan  seperti dua lelaki bertongkat ini diberi keutamaan dan keistimewaan.  Kasihan, mereka warga tua tak perlu dipaksa turun naik tangga untuk  mendapatkan cap jari. 
 
Pasti PTJPM telah banyak melakukan kajian dan sesi lampas otak untuk  menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin. Tetapi realitinya, kualiti  manusia dan kesungguhan pengurusan yang akan menentukannya. DI PTJPM,  era teknologi dan globalisasi belum ketara. Mengapa tidak belajar dari  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Imigresen?
 
Mungkin agak keterlaluan dikatakan bahawa mentaliti sebahagian  kakitangan mahupun penguasa yang menaungi pejabat ini masih di takuk  tahun 1988 - tahun bangunan PTJPM dirasmikan. 
 
Mungkinkah visi dan misi pejabat ini turut dikongsi oleh pimpinan  kerajaan negeri? Kira-kira 50 kilometer dari pejabat ini, pada hari yang  sama di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa,  kepemimpinan nampaknya lebih gemar bercakap soal politik.
 
Memang muktamar Pas ke-56 ini medan untuk berpolitik, tempat untuk  mengukuhkan persaudaraan politik. Jarang kedengaran teguran mengenai  polisi mahupun pelaksanaan polisi kerajaan negeri. Semuanya totok  politik!
 
Pemimpin mahupun pembahas di muktamar ini lebih banyak membahas soal  kepentingan mereka. Sedangkan, kini parti mereka bersama dua rakan  pakatan pembangkang memerintah Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau  Pinang.
 
Tidak adakah cacat-celanya pentadbiran kerajaan negeri ini sehingga  tidak kedengaran kritikan mahupun cadangan untuk menambah baik kualiti  kepemimpinan pakatan pembangkang yang semerbak dengan pelbagai slogan?  Aneh, ramai pembahas mengakui adalah profesional muda tetapi tidak  berani menyuarakan hati nurani rakyat. 
 
Muktamar ke-56 ini yang nampak berbeza dengan kehadiran penyokong  bukan Islam, adalah seloka lama. Masih banyak retorik, termasuk  ungkapan-ungkapan memuji kualiti pembahas bertambah baik. Sehingga ada  pemerhati menelah mungkin pembahas telah diberi amaran supaya tidak  membangkitkan perkara sensitif atau kritikan tajam kepada kepemimpinan.
 
Yang banyak dikecam ialah UMNO/Barisan Nasional. Yang selalu salah  ialah kerajaan BN. Punca anak muda rosak akhlaknya ialah BN. Yang menipu  rakyat ialah pemimpin BN. Semua salah BN tanpa ditanyakan efektifkah  peranan mereka di empat negeri ini?
 
Jika di negeri lain isu bekalan air bersih yang begitu lama  tertunggak boleh menumbangkan kerajaan negeri tapi nampaknya tidak di  Kelantan. Mungkin pemimpin mereka bijak mengalihkan isu, dengan cara  memainkan sentimen dan emosi rakyat.
 
Akhirnya, seperti yang kita hadapi sekarang, dari pilihan raya ke  pilihan raya, negara tetap terus dibebani dengan kegiatan berkepentingan  politik semata. Maka, penduduk Pasir Mas akan terus memerlukan pen  RM4.20 untuk berurusan dengan pejabat tanah.