Pemansuhan peperiksaan tak boleh selesai masalah
PELAJAR negara ini cukup sinonim dengan peperiksaan dan dianggap tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan individu serta institusi pendidikan.
Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian  Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR),  pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.
Ada bersetuju  kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak  relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang  membantah.  Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario  sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya? Profesor  Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti  Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron  berkata, peperiksaan sedia ada tidak perlu dimansuhkan supaya tahap  penguasaan dan pemahaman pelajar boleh dinilai.
Menurutnya,  peperiksaan adalah teras dalam menentukan institusi persekolahan sudah  bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi  melancarkan proses pembelajaran.
"Memansuhkan peperiksaan  tidak boleh menyelesaikan masalah. Perkara yang perlu diperbetulkan  adalah pelaksanaan sistem pendidikan bagi melancarkan proses pemberian  dan penerimaan ilmu.
"Menilai kesediaan dan mengukur prestasi  pelajar adalah menerusi peperiksaan. Melalui cara ini, institusi  pendidikan boleh membuat kesimpulan sama ada proses pendidikan diterima  berjaya atau sebaliknya," katanya.
Falsafah pendidikan  menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian  rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma  (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran  pada tahap dijangkakan).
Menurutnya, jika pelajar boleh  memberi tindak balas positif terhadap kaedah asas itu, bermakna mereka  berkemampuan menjalani proses pembelajaran.
Justeru,  masyarakat perlu jelas dan memahami matlamat utama peperiksaan serta  tidak melihatnya sebagai mekanisme menyusahkan pelajar.
"Sebahagian  besar masyarakat mengaitkannya sebagai tekanan akademik, bebanan yang  merosakkan pembangunan modal insan serta sosial. Lihat peranan dan  kepentingannya dalam melaksanakan falsafah pendidikan negara. "Juga nilai kesediaan pelajar secara berperingkat terhadap proses  pembelajaran supaya dapat memperbaiki pencapaian, " katanya.
Beliau  mengakui sistem pendidikan negara juga perlu lebih anjal dan  menggunakan mekanisme pendidikan berbeza seperti yang dilaksanakan  negara maju.
"Negara seperti Korea menilai tahap pelajar  menerusi peperiksaan khas dengan penentuan kelas mengikut tahap  kesediaan, selain melakukan pemantauan berkala bagi melihat  peningkatan," katanya.
Dr Isahak berkata, kaedah itu  diperakui, malangnya tidak dipraktikkan di negara ini mengakibatkan  pelajar lemah terus ketinggalan. Tiada istilah pelajar gagal dalam falsafah pendidikan dan  masing-masing mempunyai keupayaan berbeza yang memerlukan lebih masa,  bimbingan dan latihan bagi memantapkan pencapaian.
"Sistem  pendidikan lebih fleksibel berdasarkan minat, kebolehan dan bakat perlu  diwujudkan supaya pengakhiran proses pembelajaran mampu mencapai  sasaran.
"Jika peperiksaan ingin dimansuhkan, pastikan wujud  sistem pendidikan lebih berkualiti dengan penjanaan pelbagai program  alternatif seperti melaksanakan ujian mudah berkala.
"Keputusan  ujian juga perlu dihebahkan untuk tatapan umum supaya masyarakat boleh  melihat prestasi semasa. Sebarang pendekatan sekali pun, perlu ikut  kemampuan pelajar," kata Dr Isahak.
 
No comments:
Post a Comment