Keliru dan lesu adalah dua istilah yang cuba membunuh semangat dan roh, kepada para pembaca yang membaca tulisannya. Beliau cuba menyakinkan pembaca dan minta pembaca juga agar menyetujui dengan pandangannya bahawa ia PAS semakin keliru dan lesu.
Situasi ini kita dapat gambarkan begini. Ibarat orang yang melihat pesakit dengan orang yang menanggung sakit. Dua situasi berbeda, orang yang menanggung sakit akan lebih memahami sakitnya diri beliau. Manakala orang yang melihat pesakit hanya mampu melihat pesakit berkenaan sahaja. Maknanya penganalisis ini sekadar menilai dari sudut luaran sahaja berkenaan PAS. Dan aktivis PAS sendiri lebih memahami realiti dan situasinya.
Justeru, untuk memberi faham dan memahamkan sesuatu itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah.Ini adalah harga perjuangan yang perlu dibayar. tidak ada satu bentuk perjuangan yang sentiasa mendapat hamparan permaidani merah.
Soal yang dibangkitkan oleh penulis tidak berbangkit sama sekali, teguran tidak betul rakan sepakatan, mengangguk. Sebab ini adalah politik , dalam sifir politik tidak seindah formula matematik. Keputusan atau hasilnya sama. Dalam politik ia berubah-ubah dan berbeda-beda.
Sebagai contoh Anwar dulu adalah TPM Umno kini menjadi ketua pembangkang, Dato Asri dulu adalah YDP PAS tetapi mati dalam Umno. Ini adalah politik. Ibrahim Ali sekejap sana sekejap sini. Ini adalah politik.
Yang lurus dan betul itu adalah jalanraya, tetapi orang yang membuat jalanraya dan menggunakan jalanraya itu adalah bermacam.
Keliru atau lesu lihat sahaja ukuran nya adalah undi terhadap PAS sebagai buktinya. Pertambahan keahlian, infak dan pengorbanan ahli, kepercayaan rakyat. Umno sahaja yang tidak yakin dan percaya kepada PAS, sebab PAS bakal menggantikan Umno.
Dan yang keliru adalah penulis berkenaan, zaman berubah generasi berubah, pantai sekali bah tentu akan berubah. Maka yang tidak berubah adalah penulis berkenaan sahaja, kerana kerjanya satu iaitu mengampu Umno dan pemimpin Umno, agar terus kekal bersama akhbar berkenaan.
Pas keliru dan makin lesu
''Kita tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti pelaksanaan syariah dan seumpamanya.
''Saya tidak bersetuju membawa Pas baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi.''
Demikian dua ungkapan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam blognya pada minggu lalu.
Di atas kertas ia sememangnya indah, menarik dan penuh penegasan tetapi apa yang menjadi persoalan mampukah kepimpinan Pas termasuk Nasrudin merealisasikannya dalam bentuk realiti.
Ia kerana semua orang tahu, Pas kini bukanlah sebuah parti yang bebas, tidak lagi berdiri atas kaki sendiri bagi mencari kuasa politik atau mempunyai pendirian yang teguh terhadap perjuangan Islamnya.
Pas sudah dilihat sebagai sebuah parti yang semakin jauh ketinggalan dari segi pengaruh, apatah lagi mahu menjadi parti alternatif kepada UMNO dalam membela nasib Melayu dan umat Islam.
Perjuangan Islam yang sebelum ini begitu diuar-uarkan sejak penubuhan parti itu pada 1951, kini boleh dianggap hanyalah retorik.
Segalanya kerana kegelojohan dan keghairahan Pas untuk menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dua parti yang cukup alergi dalam menyentuh soal Melayu dan perjuangan Islam.
Tetapi Pas tetap mahu bertahan di dalam apa yang mereka panggil 'Pakatan Rakyat'. Akibat dipengaruhi dengan permainan lidah politik PKR dan DAP, kepimpinan Pas seolah-olah sanggup mengorbankan prinsip perjuangan demi meraih kuasa.
Atas sebab itulah, ketika diminta mengulas perkara ini, seorang penganalisis politik terkenal dari utara tanah air menggariskan tujuh 'harga' yang perlu dibayar oleh Pas apabila bersama DAP dan PKR.
Tujuh perkara itu ialah leburnya agenda negara Islam, agenda hudud dan kanun jenayah syariah berkecai, perjuangan mendaulatkan Islam dan saki baki agenda Melayu (kalau masih ada) hancur berkecai, tergadainya maruah Pas sebagai parti pembela Islam dan terpaksa menerima pemimpin Islam liberal sebagai ketua yang lebih tinggi daripada Mursyidul Am dan Presiden Pas sendiri.
Selain itu, Pas terpaksa akur dengan pemimpin DAP yang tidak pernah bersimpati, malah menolak agenda perjuangan Islam Pas dan terpaksa menipu penyokong setia Pas kononnya agenda Islam masih wujud dalam pakatan pembangkang.
Sememangnya hujah ahli akademik ini perlu diakui oleh Pas yang selama ini sudah dilihat mengorbankan agenda, falsafah dan prinsip perjuangan apabila bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP.
''Sedangkan DAP dan PKR mengaut semaksimum keuntungan dan faedah daripada kepandiran pemimpin-pemimpin muda dalam Pas yang salah memberikan nasihat kepada ulama parti itu,'' kata penganalisis berkenaan.
Lanjutan itu, Pas dilihat terlalu lemah termasuklah untuk menegur segala kepincangan yang dilakukan oleh PKR dan DAP yang memiliki kuasa memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.
Walaupun Pas dikatakan mempunyai saham cukup besar bagi memastikan panji-panji pakatan pembangkang tegak di negeri itu tetapi apabila kemenangan sudah ada di tangan, segala jasa Pas dipinggirkan.
Pas kini ibarat melukut di tepi gantang, menadah memohon bantuan PKR dan DAP demi meraih undi serta menghulurkan tangan meminta dipimpin oleh kedua-dua parti berkenaan bagi mendapat kuasa.
Persoalannya, wajarkah pemimpin-pemimpin Pas membiarkan parti itu terus diperkotak-katikkan yang akhirnya akan menyebabkan mereka dilihat tidak mempunyai pendirian yang tegas dalam memperjuangkan apa yang mereka perkatakan?
Sememangnya Pas 'terlalu baik' seolah-olah bersedia mengangguk sahaja terhadap apa juga tindakan dan arahan PKR dan DAP. Martabat Pas sebagai sebuah parti Islam semakin tidak dipedulikan.
Tetapi apakah Pas insaf dan adakah penegasan Nasrudin itu akan diterima dengan terbuka oleh pemimpin-pemimpin utama Pas? Adalah sesuatu yang malang kerana dalam kalangan mereka sendiri tidak mahu campur tangan dalam kemelut PKR yang didakwa berlaku kegiatan bertentangan dengan prinsip demokrasi dan Islam yang diperjuangkan oleh Pas.
Apakah kerana PKR adalah kawan sekutu maka segala kemungkaran tidak harus ditegur kerana bimbang akan menjejaskan kesepakatan bersama bagi meraih kuasa dan mencapai cita-cita ke Putrajaya?
Penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Pas mengambil pendirian untuk berdiam diri terhadap kemelut yang melanda PKR atas alasan cukup skeptikal yakni tidak mahu mencampuri urusan dalaman PKR.
''Ia betul jika Pas dan PKR tidak berada di bawah satu payung, tetapi soalnya mereka telah membuat deklarasi bahawa mereka berada di bawah satu payung iaitu Pakatan Rakyat.
''Justeru, sememangnya Pas harus memainkan peranan aktif untuk menyedarkan pimpinan PKR bahawa kemelut yang dihadapi mereka sebenarnya turut sama memalitkan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang,'' katanya.
Beliau berpendapat, golongan pengundi atas pagar pasti akan berfikir panjang selepas ini keupayaan pakatan pembangkang memimpin negara jika diberi peluang.
Soalnya, beranikah Pas menegur PKR? Di Selangor pun, walaupun Pas berada di dalam kerajaan negeri tetapi parti itu tidak boleh berbuat apa-apa.
Malah ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang begitu taksub dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
''Kepimpinan PKR tidak menganggap aura pimpinan Pas adalah setanding untuk diminta bantuan menyelesaikan konflik. Semua pihak tahu perkara tersebut kerana sudah banyak kali pimpinan PKR sendiri memperlekehkan pimpinan Pas. Jadi dalam hal ini, ada betulnya juga Pas hanya menjadi pemerhati yang setia,'' katanya.
Berdasarkan hujah itu, jelaslah untuk melihat Pas menegur PKR atau DAP ia sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku.
Namun begitu, kepimpinan Pas perlu sedar gejolak di peringkat akar umbi, bukan semua ahli parti merestui apa yang mereka lakukan dalam hubungan dengan PKR dan DAP.
Sudah ada tafsiran bahawa dalam usaha mengejar kuasa politik bersama kedua-dua parti berkenaan, Pas dilihat semakin keliru dalam menyatakan pendirian, celaru mencari hala tuju dan lesu untuk bertindak.
Akhirnya yang untung ialah PKR dan DAP kerana berjaya memperdayakan Pas untuk masuk ke dalam putaran politik mereka bagi membolehkan mereka meraih banyak kerusi, sedangkan Pas akan terus menjadi 'pak turut' sahaja.