Thursday, November 25, 2010

Memali: Ulama muda ampu Umno 'tajam; sikit

Memali adalah sebuah perkampungan tradisional di Baling Kedah. Sebuah daerah yang mundur, rata-rata penduduk adalah miskin yang 20 tahun dulu penoreh getah. Kehidupan mereka kais pagi makan pagi. Lazimnya dalam kemiskinan mereka itu , mereka teruskan juga kehidupan, tentu tadbir dan takdir Allah. Di situ juga terdapat sebuah pondok yang amat dikenali oleh penduduk setempat dan senegeri.

Daerah Baling juga terdahulu, sebelum merdeka menjadi tempat bersejarah kerana Rundingan Baling berlaku di daerah ini. Antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Justeru Baling secara tidak langsung adalah kawasan 'hitam' bagi kerajaan dan kawasan putih bagi PKM ketika itu.

Lanjutan itu, nama Baling meniiti dari bibir ke bibir menjadi sebutan dan dikenang sepanjang zaman serta diingati kerana berlaku juga di situ satu perisitiwa besar, perisitiwa berdarah. Bilamana as syahid Ibrahim Libya atau Ibrahim Mahmud bersama para pengikut seramai 16 orang mati ditembak oleh pasukan keselamatan negara waktu itu (Tentera dan PDRM).

Rata-rata anak muda Malaysia kini tidak mendapat gambaran yang jelas kerana tiada catatan buku yang ditulis. Barangkali diharamkan jika diterbitkan, walaupun kerajaan Malaysia dikatakan telah mengeluarkan 'kertas putih' mengikut versi kerajaan Malaysia.

Kini genap 25 tahun peristiwa berkenaan, masih ramai yang hidup mereka terlibat sama dalam peristiwa berkenaan. Mereka yang terlibat telah bertindak menyaman kerajaan melalui saluran sistem perundangan negara. Namun malangnya tiada kesudahan kes ini, perbicaraan gagal dijalankan, tiada pengadilan yang diadili. Rakyat tertanya-tanya, tiada ketelusan dalam sistem perundangan negara kita. Seolah-olah ada satu kuasa ghaib menghantui peristiwa ini.

Justeru, generasi muda kini yang terlalu memuja dan memandang tinggi kerajaan Malaysia yang ada dan berkelulusan agama, amat tidak menyenangi peristiwa ini. Dalam negara demokrasi dan mengamalkan keterbukaan menjadi hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan ada memberi 'keadilan' sama rata layanan kepada rakyatnya. Sepertimana seorang penjenayah yang dijatuhi hukuman tembak kerana polis mempunyai asas-asas tersendiri dalam menembaknya.

Oleh rakyat ingin tahu termasuk keluarganya mereka yang terlibat ingin tahu, kenapa dan mengapa pondok tempat Ust Ibrahim Libya diserang dan kenapa sampai 4 orang pasukan keselamatan mati. Inkuari khas oleh satu suruhanjaya wajar diadakan bagi memberi keadilan sama kepada 4 orang anggota polis yang meninggal dunia.

Hari ini, bila membaca tulisan ulama muda pemuja Umno dalam Utusan Malaysia. Beliau membiaskan dan kaitkan bagaimana kewafatan Nabi dan kematian cucu rasullah saw adalah dua peristiwa besar dalam soal mati yang penulis ingin bandingkan soal mati. Maksudnya antara mati orang Memali mana besar dengan matinya rasullah dan cucunya dalam islam.

Kedua seolah-olah jika PAS anjurkan hari memperingati peristiwa Memali samalah laku dan cara para pengikut Syiah memperingati kematian Hussien cucu rasullah. Jika begitulah andaian dan tanggapannya, berapa ramai jumlah penduduk Malaysia yang amalkan Syiah kerana telah adakan majlis memperingati kematian, termasuklah PM kita sendiri Najib yang sentiasa buat majlis tahlil dan ajak orangramai termasuk menterinya baca yassin memperingati kematian Tun Razak.

Malah dalam masyarakat kita sendiri, ramainya Syiah kerana saban tahun anak-anak buat tahlil memperingati dan doakan kesejahteraan roh kepada ibuibapa mereka yang telah pergi.

Jika begitulah duduk perkara, maka habislah 1Malaysia ini syiah belaka. Justeru penulis muda yang angkat dirinya sebagai ulama Umno, patutlah belajar politik. jangan belajar agama sahaja. cermin-cerminlah diri, ibarat kata almarhum Ust Fadzil Nor jangan ampu Umno 'tajam' sangat. Jika ampu Umno agak tajam seseorang itu akan dapat tempat cepat sikit







Tidak wajar ungkit peristiwa Memali

UMUR dunia sudah tua dan kita meniti hari-hari akhir zaman. Nabi Muhammad berkali-kali mengingatkan banyaknya fitnah (kekacauan) akan berlaku di akhir zaman. Bermula dengan keluarga, masyarakat, negara dan alam sekitar; semuanya berhadapan dengan cabaran dan situasi getir.

Bermula daripada masalah rumah tangga, pergaulan bebas, pergolakan politik, kemelut ekonomi, perpecahan umat Islam sehinggalah perubahan iklim mendadak dan bencana alam.

Nabi umat akhir zaman, Muhammad bin Abdullah tidak hanya memberi gambaran musibah yang akan berlaku kepada umat manusia. Seiring dengan itu, baginda tidak pernah lupa untuk menasihati seluruh umatnya hingga hari terakhir usia dunia, bagaimana berhadapan dengan fitnah dan musibah yang melanda.

Baik musibah itu berupa perpecahan umat, gejala sosial hatta bencana alam pun. Nabi mengajarkan, "Tidaklah seseorang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengingat musibah tersebut, sekalipun telah lama masa berlalu, lalu mengucapkan istirja' (innalillahi ilaihi rojiun), melainkan Allah memberinya pahala seperti pahalanya pada hari dia ditimpa musibah tersebut." (Hadis Imam Ahmad & Ibnu Majah)

Selepas kewafatan Nabi, umat Islam tidak pernah sepi daripada musibah dan fitnah. Baik berupa musibah umum seperti kemarau yang melanda negara umat Islam, dijajah dan termasuk kegawatan ekonomi.

Namun antara yang paling besar dan benar-benar menguji ialah musibah perpecahan sesama umat Islam. Sejarah merakamkan tidak sedikit darah umat Islam yang tumpah akibat sengketa sesama sendiri.

Peristiwa Memali merupakan antara musibah besar yang melanda rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam di negara ini. Sejarah merakamkan ia memakan korban, baik di pihak pemerintah begitu juga pihak bertentangan. Kedua-dua pihak memakan korban warga Malaysia dan Islam. Ia sudah beberapa tahun berlalu. Namun parutnya masih ada.

Ketepikan seketika isu siapa salah, siapa benar. Yang lebih penting ialah mengambil pengajaran dan teladan, bukan mengungkit-ungkit hal yang telah berlalu.

Tindakan membangkitkan semula kisah itu dan Pas menganjurkan hari memperingati Peristiwa Memali merupakan langkah mundur ke belakang dari arah perpaduan dan citra 1Malaysia. Bahkan lebih daripada itu, sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Musibah atau tragedi yang paling besar melanda umat Islam ialah wafatnya Rasulullah. Wafatnya Nabi membawa petanda terputusnya wahyu yang menjadi cahaya dan petunjuk dari langit.

Sebesar-besar musibah atau tragedi yang menimpa umat Islam ialah wafatnya Nabi umat akhir zaman. Ini disebutkan oleh Syaikh Salim 'Eid Al-Hilali dalam bukunya yang diterjemahkan Musibah Terbesar Umat Islam.

Namun begitu para sahabat tidak pernah menangisi hari atau tarikh ulang tahun kewafatan baginda. Jauh sekali mengadakan majlis doa selamat, tahlil atau kenduri arwah untuk baginda. Sedangkan baginda ialah semulia-mulia manusia yang paling dikasihi oleh Allah.

Begitu juga dengan peristiwa terbunuhnya Khalifah Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib (semoga Allah meredhai mereka semua). Walaupun mereka semua pemimpin yang sangat disayangi oleh umat Islam, dibunuh dengan kejam, namun tidak pernah umat Islam meratapi pemergian mereka dengan peristiwa ulang tahun atau acara ritual yang lain.

Ironinya, yang diraikan pada hari kematian Umar ialah pembunuhnya Abu Lu'luah seorang lelaki Majusi (penyembah api). Abu Lu'luah diberi jolongan Baba Syuha'uudin yang bermaksud Bapa Pemberani oleh golongan Syiah.

Bahkan sehingga hari ini setiap tahun diadakan keraian di kubur Abu Lu'luah pada hari yang didakwa tarikh kematian Umar.

Begitu juga tragedi terbunuhnya cucu kesayangan Nabi, pemuka pemuda syurga Hussein bin Ali (semoga Allah meredai mereka berdua).

Setiap tahun golongan Syiah akan menyambut perayaan hari terbunuhnya Hussein ataupun lebih dikenali sebagai Hari 'Asyura.

Menurut Dr. Muhammad al-Aqil, Hari 'Asyura dianggap ritual terbesar bagi kelompok Syiah Rafidah dari zaman dahulu sehingga sekarang. Mereka keluar ke jalan-jalan raya memukul diri sendiri dengan pedang dan benda yang tajam, hingga darah mengalir dari wajah mereka.

Tambah beliau lagi, perbuatan mereka ini menggambarkan keadaan orang Jahiliyah terdahulu yang menempeleng pipi, merobek baju dan memanggil-manggil dengan panggilqn Jahiliyah. (Fitnah Akhir Zaman, Pustaka Imam Asy-Syafi'i).

Berkaitan hal ini Nabi pernah berpesan, "Tidak termasuk golongan kami orang yang menempeleng pipi, mengoyak baju dan memanggil-manggil dengan ratapan jahiliyah." (Hadis Bukhari & Muslim)

Para ulama menjelaskan perbuatan yang dikategorikan sebagai meratap termasuk mengadakan majlis-majlis memperingati hari kematian, baik berupa sempena 40 hari, 100 hari kematian atau ulang tahun kematian, ia termasuk hal-hal baru yang diada-adakan dalam urusan agama, dan diancam oleh Nabi sebagai kesesatan yang boleh membawa ke neraka.

Tindakan pihak pembangkang mengungkit-ungkit kisah lama ibarat menangguk di air yang keruh.

Sebahagian orang yang mengaku beragama Islam mengambil kesempatan daripada musibah yang telah menimpa umat Islam. Mereka berusaha menghidupkan kembali fitnah-fitnah masa lalu. Dengan bermacam cara dusta dan keji, mereka membuat propaganda dalam masyarakat demi menarik simpati.

Hal ini dinyatakan oleh Dr. Muhammad dalam bukunya yang diterjemahkan dengan judul Fitnah Akhir Zaman. Beliau menulis satu bab khusus "Menghidupkan Masa Lalu dengan Mengumpulkan Massa, dan Menjadikan Itu Sebagai Tradisi dan Perayaan."

Dr. Muhammad menulis, mereka mengangkat salah satu pihak yang bertelagah dan menjatuhkan pihak lainnya. Mereka menganggap bahawa perbuatan yang berbahaya ini dapat menyatukan masyarakat dan menolong orang teraniaya. Padahal sebenarnya apa yang mereka lakukan justeru memecah-belahkan umat, menghidupkan kembali dan memperbesar fitnah masa lalu, serta mengobarkan kemarahan di hati orang awam terhadap orang terdahulu.

Islam mengajurkan umatnya untuk bersabar dan reda dengan musibah dan fitnah yang melanda. Sikap mengungkit-ungkit dan membangkitkan pertikaian yang telah berlalu, nyata bukan sikap sebenar umat Islam. Ia merupakan sikap musuh-musuh Islam yang mahu dan suka melihat umat Islam dan umat manusia bertikai dan berpecah-belah.

Penulis ialah Ketua Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)




No comments: