Monday, November 15, 2010

Berkawan Umno dimurkai ALlah ?

Semua orang bebas memperkatakan apa sahaja, termasuklah dalam soal politik. Kelmarin penulis macam juga wartawan BH turut hadir ke Seminar Sehari PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam. Seminar ini dihadir oleh lebih 1000 orang peserta dari seluruh negara (ikut laporan BH hari ini).

Presiden PAS merasmikan seminar PAS Sedia Ganti Umno. Rata-rata ahli PAS yang hadir amat berpuashati dan mereka telah difahamkan tentang pandangan ketiga oleh panelis forum pada sebelah petang tentang PAS dan keyakinan rakyat terhadap PAS.

Mengutip kata seorang panelis Dr M sendiri mahukan kehadiran PAS dalam politik Malaysia. Cuma Dr M setakat mahu PAS jadi pembangkang dan enggan membenarkan PAS menjadi kerajaan, itulah minda Dr M.

Namun bagi penulis di bawah, beliau dari awal hadir dengan membawa persepsi 'sinis' dan terus memperlekehkan PAS, kerana seminar ini tidak memberi apa-apa yang sesuatu yang hebat. Istilah hebat wartawan di bawah mungkin ia mahu PAS amuk satu bandar Shah Alam itu barulah hebat dan luar biasa.

Beliau mencemuh PAS menghadapi krisis identiti dengan perasaan curiga dan tidak berpuashati bertanya prinsip perjuangan asal mahu dipertahankan atau tidak. Kerana gara-gara berkaan dan berpakat dengan DAP dan PKR.

Dengan meneruskan kencaman PAS ikut telunjuk DAP dan menjadi pak turut. Wartawan berkenaan 'amat marah dan tidak berpuashati'. Ia rela PAS menjadi Pak Turut Umno, walaupun nyata terang Umno lawan Islam, boros, tindas dan tipu rakyat. Berbanding berkawan dengan kafir yang tidak menipu, jujur dan boleh dipercayai. Wartawan itu mahukan PAS bersahabat dengan Umno yang munafik itu.

Kemudian dengan penuh bangga beliau menjelaskan PAS merayu dengan undi orang Umno. Dalam pilihanraya kita perlukan undi, tidak kiralah rayuan itu kepada orang Umno atau bukan Umno yang penting adalah undi sokongan. adalah mulia dan baik orang bukan islam kerana menyokong perjuangan islam PAS dan hinalah bagi orang islam yang menyokong dan mengundi Umno yang terang-terangan meluluskan lesen judi, arak, dan sebagai yang menjadi kemurkaan Allah.


PAS cuba rayu undi ‘Melayu UMNO’ untuk menang

TIADA apa yang hebat atau luar biasa pada seminar ‘PAS sedia ganti UMNO' anjuran Lujnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelmarin.


Yang jelas, PAS masih mengalami krisis identiti, tidak tahu sama ada akan terus berpegang prinsip perjuangan menegakkan sebuah negara Islam atau menggadai prinsipnya demi cita-cita merampas Malaysia daripada UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN).Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengakui PAS tidak akan dapat memimpin Malaysia jika hanya mengharapkan sokongan ahli PAS semata-mata, sebaliknya turut mengemis undi ahli UMNO.

“Kita tidak boleh menang dengan undi kita saja. Kita perlu undi (daripada) yang bukan ahli juga, yang bukan penyokong kita termasuk orang UMNO,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan yang dihadiri 1,000 peserta.

Sambil mengakui teras politik di negara ini ialah Melayu dan Islam, beliau berkata, adalah perlu parti itu mengukuhkan kedudukannya sebagai satu organisasi dengan strategi yang baik sekali gus mendapat kepercayaan ‘Melayu UMNO' untuk menyerahkan tampuk kepemimpinan negara ini kepada PAS.

Mendengar kata-kata Abdul Hadi itu, timbul tanda tanya adakah PAS tidak yakin dengan kesetiaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP yang kononnya rakan karib mereka untuk memberi laluan kepada cita-cita parti berkenaan untuk membentuk negara Islam Malaysia.

Persoalannya, kalau PAS yakin dengan PKR dan DAP, kenapa Abdul Hadi menegaskan parti itu perlu mendapatkan undi daripada ‘Melayu UMNO’ dan pada masa sama berharap UMNO akan menyerahkan tampuk kepemimpinan negara kepada parti itu secara terhormat?


Adakah disebabkan barisan kepemimpinan PAS tidak yakin dapat menarik masyarakat bukan Islam menyertai dan menyokong parti itu melaksanakan pemerintahan Islam mengikut acuan parti itu?


Walau apapun alasannya, PAS ketika ini seolah-olah merayu supaya ‘Melayu UMNO’ membantunya pada pilihan raya umum akan datang kerana menyedari parti itu tidak begitu kuat dan ampuh menahan asakan daripada PKR dan DAP yang secara jelas menolak dasar perjuangan PAS.

Lebih tepat lagi jika dikatakan PAS ketika ini berada di persimpangan jalan serta serba salah kerana hendak ke kanan tidak kena, hendak ke kiri pun tidak kena dan jika terus ke depan risau pula akan tersungkur.

Jalan terbaik bagi PAS ketika ini ialah cuba memenangi hati ‘Melayu UMNO’ untuk mengundi mereka atau mengharapkan keajaiban supaya barisan kepemimpinan UMNO hari ini bermurah hati menyerahkan semua kerusinya kepada PAS.

Keadaan PAS dalam pakatan pembangkang tidak lebih sebagai ‘pak turut’ yang terlalu bergantung dengan PKR dan DAP, seolah-olah tidak percaya dengan diri sendiri sehingga kelebihan yang ada tidak digunakan sepenuhnya.

Selain itu, ucapan Abdul Hadi itu juga tiada bezanya dengan ucapan pemimpin PAS lain sebelum ini yang penuh kutukan dan cacian.

Pemimpin PAS seperti kebiasaannya sentiasa mendabik dada dan takbur atau ‘ masuk bakul angkat sendiri’ merekalah pejuang Islam sejati dengan harapan supaya orang ramai percaya diri mereka bersih, amanah, berwibawa dan berwawasan.
Terbaru, Abdul Hadi turut menyifatkan perjuangan menentang UMNO lebih sukar daripada berdepan ‘orang gila atau bodoh’.

Inikah sikap seorang pemimpin bergelar ‘tok guru’ yang bercakap soal akidah, akhlak dan ibadat dalam Islam, tetapi sanggup membandingkan orang lain dengan perkataan ‘kurang ajar’ dan tidak manis didengar?

PAS juga kini dalam keadaan tertekan apabila BN mampu mencipta kemenangan di Galas, selain hampir menawan Manek Urai, kedua-duanya di Kelantan. Pencapaian itu turut memberikan imej BN semakin tinggi di kalangan rakyat Kelantan.

Bisik-bisik seorang peserta seminar yang menegaskan lebih baik tajuk seminar ‘PAS sedia ganti UMNO’ itu ditukarkan kepada ‘PAS sedia bekerjasama dengan UMNO’ ada kewajarannya.

Katanya: “Ucapan presiden parti (Abdul Hadi) seolah-olah menggambarkan PAS tidak cukup kuat sehingga perlu merayu undi ahli UMNO untuk membentuk kerajaan Islam”.

Sehubungan itu, melihatkan keadaan PAS ketika ini, ramai ahlinya masih tertanya-tanya adakah dasar perjuangan parti itu yang berlandaskan ‘Wawasan Akhirat’ seperti dipe rkatakan Abdul Hadi itu akan menjadi kenyataan atau hanya sekadar slogan dan omong kosong?

No comments: