Wednesday, November 17, 2010

Siasatlah: Antara seleweng diesel dan rugi Sime Darby

Kerajaan nampak kesal atas ruginya subsidi diesel kerana diselewengkan. Dan nampak selesa apabila syarikat GLC seperti Sime Darby yang ditegur audit yang alami kerugian dan penyelewengan sebanyak RM2.1 billion.

Keluhan kerana e-Nelayan terutama yang lakukan penyelwengan disesel. Bagi mereka yang tiada kepandaian, yang tiada kelulusan dan ijazah ini dikesali kerana penyelwengan minyak itu. Tetapi kerajaan nampak selesa apabila setiausaha sulit PM Dato Zakiah dilaporkan memiliki simpanan aset RM200 juta. Dikatakan memiliki kekayaan luarbiasa.

Apa kata SPRM, yang mana mahu disiasat dahulu, penyelewengan diesel atau penyelwengan dalam Sime Darby ?

Inilah Malaysia...




Kerajaan rugi, diesel subsidi diseleweng

PUTRAJAYA 16 Nov. – Kegiatan menyeleweng sebahagian diesel bersubsidi kepada nelayan dikatakan berada di tahap yang serius.

Ia dikatakan melibatkan sebahagian daripada lebih satu bilion liter diesel berkenaan yang disalurkan kepada persatuan-persatuan nelayan.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, ketika ini berlaku ketirisan yang serius dalam pembekalan diesel bersubsidi tersebut sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan berjuta-juta ringgit setiap bulan.

Menurut sumber itu, jumlah subsidi yang diberi oleh kerajaan nampaknya tidak selari dengan hasil tangkapan ikan yang diperoleh nelayan.

‘‘Terdapat nelayan yang tidak keluar ke laut tetapi kad e-Diesel mereka masih digunakan untuk membeli diesel bersubsidi.

“Kita tidak tahu mana perginya diesel yang dibeli, apa yang ditakuti ialah bahan yang dibeli dengan harga RM1 seliter itu telah diseludup ke negara jiran,” katanya.

Harga diesel di pasaran sekarang adalah kira-kira RM1.75 seliter.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Roslan Mahayuddin mengesahkan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan kini di tahap membimbangkan.

Kata beliau, sehingga 15 November tahun ini, terdapat 10 kes melibatkan penyelewengan diesel subsidi nelayan membabitkan rampasan 58,449 liter diesel bernilai RM73,000.

Kata beliau, kes-kes berkenaan dikesan berlaku di Kedah, Kelantan dan Johor.

Menurutnya, terdapat beberapa modus operandi yang dikenal pasti dalam penyelewengan diesel subsidi berkenaan.

Antaranya, jelas beliau, lori-lori tangki dari depot tidak memasukkan minyak ke dalam tangki-tangki yang disediakan di tepi pantai atau tebing sungai sebaliknya menjual bahan itu kepada pihak industri.

Selain itu, minyak turut disalurkan ke dalam tangki bot-bot nelayan tetapi kemudian disedut untuk dimasukkan ke dalam tangki lain di tepi pantai untuk dijual kepada pihak ketiga.

“Modus operandi lain yang membimbangkan kita ialah mereka (nelayan) menjual pula diesel berkenaan kepada nelayan asing.

“Penyelewengan ini serius dan sepatutnya tidak boleh dibiarkan sebab ini duit rakyat yang mana kerajaan beri subsidi untuk bantu nelayan tetapi diselewengkan pula,” katanya.

Menurut Mohd. Roslan, bagaimanapun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu memantau perkara ini kerana agensi itu terlibat dalam pengagihan diesel tersebut.

Tegas Mohd. Roslan, pihaknya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa menggerakkan operasi membanteras penyeludupan diesel subsidi untuk nelayan dengan yang terbaru melibatkan operasi di Rompin.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohd Khazin Hamzah menafikan wujud penyelewengan atau ketirisan dalam penyaluran diesel subsidi nelayan itu.

“Nelayan memerlukan diesel bersubsidi tersebut untuk ke laut dan menangkap ikan, kalau diesel itu dijual maka mereka tidak dapat mencari makan.

“Malah kita percaya hasil tangkapan ikan oleh nelayan adalah lebih menguntungkan berbanding menyeludup diesel subsidi, jadi tidak ada sebab untuk nelayan berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan mulai 1 Januari 2006 telah memperkenalkan sistem e-Diesel di mana nelayan boleh membeli diesel dengan harga subsidi sebanyak RM1 bagi setiap liter.

No comments: