Thursday, April 03, 2008

Satu daripada tabiat dan penyakit kepada kerajaan UMNO BN adalah 'penyakit' perosak iaitu tidak mahu orang baik atau berbuat baik .Hasad dan dengki bertaraf tinggi. Dari segi amalan tidak bersikap secara rasional dan profesional dalam semua tindakikut serta kerjabuat. Biarpun mulut lisan mereka juara dalam melaungkan perkataan dan sentiasa beramal dengan slogan keramat iaitu demokrasi. Secara roh dan spiritualnya adalah cukup tersasar jauh.

Bermula dengan penderaan wakil-wakil rakyat pembangkang semasa arwah Pak Nik Lah yang menjadi MP PAS Parlimen Pengkalan Chepa, UMNO memagerankan kerajaan pilihan rakyat Kelantan, UMNO mendera 18 tahun kerajaan Kelantan dengan pelbagai deraan, UMNO menipu dan mengambil semula Terengganu secara tidak sihat, dan kini UMNO mula mendera 5 buah kerajaan Barisan Rakyat dengan pelbagai ugutan dan tekanan.

Gambaran di atas adalah gambaran penyakit kronik dalaman UMNO BN yang perlu 'dirawat' sebelum mahu merawat lain-lain kerajaan , maka UMNO itu sendiri perlu masuk ke wad. Di kala dan masa mereka ramai ahli - ahli yang terdiri daripada para doktor, ustaz UMNO diketepikan , sementara masa memerintah mereka penuh dengan dendam kesumat kepada kerajaan bukan sealiran mereka.

Inilah caranya berfikir bangsa yang diangkasakan, bangsa yang diglokalkan, bangsa yang berminda dengan minda kelas pertama.

Keresahan dan tidakpuashati kini balik dan Allah pulangkan kepada mereka sesudah 50 tahun merdeka dengan memerintah negara Malaysia dengan rakus dan angkuh. Maka banyaklah kefasadan serta kemusnahan yang dilakukan dengan tangan-tangan mereka.

Kerja Gila UMNO BN dah bermula ?

Kementerian Pelancongan batal MoU lima negeri Pakatan Rakyat Cetak E-mail
Oleh Bernama
Khamis, 03 April 2008

KL: Kementerian Pelancongan akan menamatkan semua Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pembangkang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan itu diambil kerana kementerian tersebut bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di sini hari ini, katanya kementerian itu akan menubuhkan jawatankuasa baru dalam Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) bagi memantau aktiviti pelancongan di negeri-negeri tersebut.

Azalina berkata:"Apa yang akan berlaku di lima buah negeri tersebut, mereka akan ditadbir oleh individu-individu yang dilantik di bawah Kementerian Pelancongan."

MTPN ditubuhkan pada tahun 2002 yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri dengan peruntukan RM1 juta setahun bagi melaksanakan dasar pelancongan yang ditetapkan kementerian itu.

Pak Lah tau letak Jawatan

Saya tidak akan letak jawatan sebagai Perdana Menteri'
02-04-2008 08:18:14 PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan spekulasi yang beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

"Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.

"Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh...itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di pejabatnya di sini.


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu.

Spekulasi itu timbul ekoran gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dan meletakkan jawatan.

BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.

BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada PAS.

Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir-akhir ini turut menyemarakkan spekulasi itu. BERNAMA

Syabas Kerajaan PPinang

Pulau Pinang tubuh badan audit siasat akaun jabatan kerajaan

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah badan audit bebas bagi menyiasat kedudukan kewangan beberapa agensi dan jabatan kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Badan bebas itu akan mengaudit akaun agensi-agensi berkenaan setelah mendapati MPSP mengalami defisit kewangan yang teruk sejak 1999, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini, Rabu.

Kerajaan negeri dilaporkan terkejut mendapati MPSP mengalami defisit teruk sehingga terpaksa menggunakan Wang Kumpulan Simpanan MPSP untuk menanggung segala kos operasi dari 1999 hingga kini.

Ditanya mengenai kedudukan kewangan jabatan kerajaan yang lain, Lim berkata kerajaan negeri perlu mendapat gambaran sebenar sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana perlu mendapat jumlah tepat dan laporan penuh. Biarlah siasatan lanjut dijalankan dulu," katanya.

Lim juga berkata kerajaan negeri akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan bagi meminta kebenaran agar pesara dalam bidang profesional mengganggotai lembaga pengeluaran tender di Pulau Pinang.

"Golongan profesional berkenaan akan bersama-sama memantau pelaksanaan pemberian tender terbuka itu bagi memastikan ia dilakukan secara adil tanpa ada sebarang kepentingan," katanya.

Kerajaan baru Pulau Pinang, yang diterajui DAP, akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua kontrak kerajaan bagi menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan juga ketidaktelusan.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan negeri benar-benar serius untuk memastikan pelaksanaan sistem tender terbuka ini bagi memastikan semua amalan tidak sihat dalam pemberian kontrak dihapuskan. BERNAMA




Wednesday, April 02, 2008

Benar Bagai dikatakan oleh MSO

Kilasan Nurani
Mengapa Pas seakan terlupa Subky Latif
Petikan daripada Blog Merah Tinta MSO - Laman M@RHAEN


SEBELUM saya terbaca tulisan yang mencadangkan agar Muhammad Sabu dilantik sebagai Senator, cadangan itu juga sudah terpeta di dalam kepala saya. Apa lagi nama Muhammad Sabu antara 10 nama yang saya senaraikan patut berada dalam Parlimen pada penggal ini. Apabila beliau kalah tipis di Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi, ia benar-benar mengecewakan saya. Ada beberapa sebab kenapa Muhammad Sabu harus dan perlu berada dalam Parlimen bersama sembilan nama lain yang saya senaraikan itu.

Muhmmad Sabu telah menunjukkan keupayaan sebagai ahli Dewan Rakyat yang berjaya sebelum ini. Isu-isu atau perbahasan yang beliau ambil bahagian mengaitkan kepentingan rakyat marhaen, kepentingan Islam, dan bangsa Melayu. Beliau akan mendepani sesiapa saja dan penjara baginya adalah bukan penghalang lagi.

Dalam membentangkan hujah beliau tidak pergi terlalu professional, lengkap dengan slide atau rakaman video sehingga sukar untuk difahami, namun dalam laras bahasa yang mudah.

Pejuang bawahan

Muhamamd Sabu bagi saya benar-benar memperjuangkan denyut nadi rakyat dan seorang pejuang bawahan yang sangat simple. Kerana itu Muhammad Sabu menjadi kegemaran orang kampung. Kalau hendak pastikan ceramah Pas dibanjir ribuan orang maka senarailah nama Muhammad Sabu sebagai pemidato. Ada kalanya Muhammad Sabu dijadikan pelaris untuk meramaikan orang bagi mendengar pemidato profesional.

Apabila ada orang menulis mencadangkan beliau agar dilantik menjadi Senator, maka saya menyokong penuh kalau mana-mana negeri, Kelantan dan Kedah khususnya memberi kouta Senator kepada Muhammad Sabu. Bukan untuk survival kehidupannya. Muhammad Sabu boleh hidup dengan duit lima ringgit dan dia boleh menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tempoh tiga hari tiga malam.

Tetapi kita mahu Dewan Senat panas dan hangat dengan perbahasan seperti juga Dewan Rakyat sesuai dengan kebanjiran 82 ahli Parlimen Barisan Rakyat (BR) kini. Kita tidak mahu Dewan Senat hanya menjadi rubber stam yang mengendorcekan apa yang Parlimen luluskan. Atas kepentingan itulah perlunya bekas MP Kuala Kedah dan Kubang Kerian itu dilantik menjadi ahli Senat untuk menjadi pemantau di Dewan Senat.

Apabila berbicara soal kerusi Senator ini, kepala saya juga sudah lama tersumbat sendiri memikirkan sesuatu polisi Pas yang saya tidak faham. Dalam pengamatan saya ada seorang tokoh yang cukup layak untuk diangkat menjadi ahli dewan Senat namun ia seakan tidak pernah terfikir.

Sewaktu Pas menguasai kerajaan Terengganu tahun 2004 saya sudah ingin menyuarakan agar melantik tokoh berkenaan. Namun kerana Pas telah membuat peraturan dan ketetapan bahawa kerusi Senator hanya untuk muslimah menyebabkan saya mendiamkan diri.

Namun kerana kini sudah ada anjakan, di mana muslimah juga sudah menjadi Exco dan wakil rakyat DUN dan Parlimen, bermakan kerusi Senator bukan lagi menjadi kerusi muslimat mutlak. Sehubungan itu adalah baik kalau Kerajaan Kelantan atau Kedah yang memiliki masing-masing dua kouta kerusi Senat melantik tokoh banyak berjasa ini.

Tokoh yang saya maksud itu tidak lain dan tidak bukan ialah sdr Subky Abdul Latif, seorang penulis dan wartawan politik terkenal. Sebenarnya beliau bukan wartawan biasa tetapi lebih wajar dianggap sebagai bapa wartawan moden Malaysia khususnya keterampilan dalam mengulas isu-isu politik kontenporari. Kemuculan puluhan penulis politik dan wartawan politik dua tiga dekad ini adalah sedikit sebanyak kerana menumpang semangat beliau.

Kehebatan ini satu aset kepada Pas apabila beliau memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Namun Pas semacam tidak merasai akan kehebatan beliau ini. Bahkan saya mendapat tahu suatu masa dulu untuk beliau menulis dalam Harakah, akhbar rasmi Pas pun menjadi masalah walhal Harakah itu adalah hasil buah tangannya.

Berhutang dengan orang Umno

Generasi muda mungkin tidak tahu sejarah dan jatuh bangun beliau dalam perjuangan Pas. Beliau pernah bertanding beberapa kali baik dalam pilihan raya kecil maupun piliahan raya umum. Seingat saya kali pertama beliau bertanding ialah dalam pilihan raya kecil di Klang dalam tahun 70-an. Menurut seorang teman beliau pernah berhutang dengan orang Umno untuk membayar deposit pilihan raya.

Demi perjuangan Pas beliau telah mengorbankan masa depan dan kerjayanya dalam bidang wartawan. Saya yakin kalau beliau tidak memilih untuk bersama Pas beliaulah orang yang akan mengendalikan Utusan Malaysia apabila ditawarkan untuk diantik menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Jelas kerana perjuangan Pas – Islam, beliau rela mengenepikan tawaran glomor itu.

Manakala di dalam Pas pula beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Agung beberapa penggal. Antara jawatan tertinggi pernah dipegang ialah selaku Ketua Penerangan Pas Pusat dan juga Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan.

Adalah tepat sekali dan sesuai kalau kerusi Senator diberikan kepada Subky. Pemikiran, ulasan dan kritikan-kritikan beliau masih relevan dan hijau. Kelebihan dan keistimewaan beliau menghayati dan mengulas sesuatu isu sangat berguna untuk diwacanakan dalam Dewan Senat.

Manakala dari segi sejarah dan peranan pembangunan bangsa menerusi journalis, Subky mempunyai pengalaman yang luas dan tidak semua orang memilikinya. Sebahagian yang ada dalam khazanah pemikirannya tidak ada dalam kepada wartawan muda atau veteran hari ini.

Kalau membaca catatan-catatannya menjelaskan beliau adalah antara orang penting (setidak-tidak menjadi pendengar dan saksi) bagaimana kerajaan Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dibentuk dan menyaksi dan merasai sendiri kemelut negara-bangsa disaat-saat berlakunya Tragedi 13 Mei.

Walaupun kini penulis dan wartawan itu sudah sering uzur kerana gaout, dan kadang kala berjalan bertemankan tongkat, namun pemikirannya tidak pernah usur. Kerajinan dan kemampuan menulis dan mengolah isu dalam beberapa akhabar termasuk Siasah, Harakah dan Buletin Rakyat menjelaskan beliau masih sihat dan bersemangat. Semangatnya dalam dunia penulisan mengalahkan anak mudah baru tumbuh susuh.

Hendaknya Pas yang ada kalanya terlalai terhadap budi dan jasa orang terdahulu tidak sama mengkesampingkan budi dan jasa Subky sejak berpuluh tahun itu. Ingat dan sedarlah apa yang dinikmati kini adalah atas rintisan beliau.

Pun begitu melantik Subky sebagai Senator tetap tidak sepadan dengan pengorbannya dalam perjuangan Islam (Pas) selama ini, namun setidak-tidaknya perlantikan itu kelak akan dapat dijadikan sebagai cenderamata perjuangannya selama ini. [wm.kl 7: 00 am 29/03/08]]

Sumpah Ikrar Sila Tunaikan ?

Berantakan dan gelora pemilihan dan agenda 'perebutan' atau pertarungan dalam UMNo sebagai sebuah parti politik adalah perkara biasa. bersatu, berpecah, terserpih, terbuang itu adalah asam garam dalam dunia politik. pepatah Melayu selalu disebut dan ramai sentiasa ulang-ulangkan , jika takut dlanda atau dipukul ombak jangan berumah ditepi pantai.

Mukhriz sebagai ahli parti berhak bersuara dan berpandangan. maka pandangan beliau masa ini adalah masa untuk kepimpinan ditukarkan. Maknanya pemimpin mesti ambil tanggungjawab dan pegang dan ikat diri dengan prinsip. bagaimana seorang menteri pengangkutan Jepun boleh meletakkan jawatan bila kereta api tergelncir. Jika nak diikutkan maka yang salah adalah pemandu keretapi laju serta jurutera yang berkenaanlah patut bertanggungjawab penuh, tetapi beliau ambil tanggungjawab.

Persoalan ini, adalah persoalan kaedah dan cara berfikir. Bersama dengan budaya masyarakat dan nilai sezaman yang dipegang serta yang didukung. satu bangsa yang maju bertamadun dan dipandang tinggi adala bangsa yang berdisiplin, patuh taat serta mengamalkan nilai-nilai dan mempertahankan nilai-nilai tersebut.

Justeru, apatah salah masa untuk berubah ini, kita bentuk dan budayakan dalam masyarakat supaya pimpinan ada rasa dan ambil satu tanggungjawab terhadap apa yang diangkat serta disumpahkan di depan YDPA atau Raja-Raja Melayu bilamana sewaktu upacara angkat sumpah berlangsung. ya sumpah itu adalah sumpah orang yang memberi khidmat terhadap apa yang akan dikhidmatkan kepada rakyat. Proses kedua adalah menunaikan sumpah itu bilamana sumpah yang disumpahkan itu gagal dilaksanakan. Pilihannya ambil tanggungjawab beri laluan kepada orang lain.

maka barulah kita dinamakan ada prisnsip dan berpegang dengan prinsip, kerana lafaz kita semasa berkhidmat adalah bukan untuk menjaga kepentingan peribadi tetapi kepentuingan umum iaitu rakyat teramai.




Mukhriz sedia tanding Ketua Pemuda

PETALING JAYA: Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau sedia bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Disember ini sekiranya mendapat sokongan akar umbi.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno berkata, beliau tidak akan bertanding jika ketua pergerakan itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan untuk kekal memegang jawatan itu.

"Saya belum buat keputusan. Saya kena tunggu dahulu bos saya, Datuk Hisham, untuk menyatakan jawatan apa yang beliau akan bertanding," katanya kepada pemberita pada Forum "Umno Pasca Pilihan Raya Umum Ke12: Satu Penilaian" anjuran portal internet mykmu.net di Hotel Singgahsana di sini, Selasa.

Beliau mengulas sokongan mereka yang menghadiri forum itu yang mahukannya bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dipegang Hishammuddin sejak 2000.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga menyuarakan hasrat untuk merebut jawatan itu.

Forum yang dihadiri lebih 1,200 peserta itu turut menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucap utama.

Forum yang dikendalikan moderator Datuk Ahmad A.Talib itu juga menampilkan Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Puad Zarkashi, selain Mukhriz dan Mohamad Khir, sebagai ahli panel.

Mohamad Khir pula ketika ditanya sama ada beliau akan memberi laluan kepada Mukhriz, berkata, perkara itu tidak menjadi masalah asalkan Mukhriz mendapat 20 peratus pencalonan daripada Bahagian Umno seperti ditetapkan perlembagaan parti.

"Kita akan bincang dan tengok macam mana," kata Mohamad Khir, satu-satunya pemimpin Umno yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Umno negeri ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu menyaksikan lima negeri termasuk Selangor jatuh ke tangan pembangkang.

Diminta mengulas siapa yang layak untuk bertanding presiden parti selain Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mukhriz berkata yang penting ialah anggota parti perlu diberi hak untuk memilih pemimpin mereka.

"Secara peribadi saya cenderung (sokong) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Mukhriz yang sebelum ini mengutus surat peribadi kepada Abdullah memintanya meletak jawatan ekoran prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya 8 Mac lepas.

"Saya berpendapat pucuk pimpinan harus bertanggungjawab, dan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno harus berundur secara terhormat.

Dengan kepimpinan baru, mungkin dengan Majlis Tertinggi baru, kita boleh mulakan reformasi," katanya.

Bagaimanapun, Puad dan Mohamad Khir tidak bersetuju bahawa kesalahan itu harus diletakkan 100 peratus kepada kepimpinan parti sebaliknya mereka berpendapat ia perlu dipikul secara bersama.

"Kami (Umno Johor) tidak memutuskan yang Pak Lah (Abdullah) harus berundur. Yang kami mahu ialah Umno menjadi lebih kuat," katanya.

Mohamad Khir berkata menukar kepimpinan tidak akan menyelesaikan masalah.

Katanya peralihan sokongan rakyat kepada parti bukan daripada BN disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan beberapa isu seperti pengagihan kekayaan negara dan pendidikan. BERNAMA

Mimpi ngeri dan 'ketakutan' UMNO BN kian mengetarkan. Jikalah benar seperti yang uar-uar 'hayat' kerajaan BN sudah sampai , maka tahun ini mungkinlah adalah tahun terakhir BN. Benarlah selepas ini Pak Lah akan menjadi ketua Pembangkang Yang Tidak tidur lagi.Begitulah adanya dan kehendaknya.

Kini Pakatan Kerajaan Barisan Rakyat maju selangkah lagi, mereka dapat duduk bersama berbincang dan bersetuju dengan mudah dan cepat ke arah pemaufakatan serta persepakatan pembangkang kuat bagi mencari titiktemu kebersamaan dalam menentukan semua dasar memerintah bagi kelima-lima negeri Barisan Rakyat.

Ini adalah satu lagi 'bukti' atau tangga kerajaan Barisan Rakyat yang pada asas yang masing-masing dasar berbeda idealogi, kefahaman, tetapi dapat membentuk persepakatan. Tanda rahmat ini, tolak ansur ini serta persefahaman yang cukup tinggi dan semangat sporting antara pimpinan dengan kemenangan anugerah Allah akan dapat memberi ruang dan peluang besar bagi membuktikan kepada rakyat pilihan rakyat ini adalah tepat pada masa pilihan masa depan mereka .

Cemas, takut , gelabah, gerun kepada persepakatan ini, akan kita ketahui bilamana ulasan komen pimpinan BN dan UMNO bermula esok.

Ini gambar Kenyataan Bersama Gabungan Rakyat

Setuju jadi Pakatan Rakyat



PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan di Petaling Jaya, semalam, untuk menubuhkan gabungan Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

DAP, Pas, PKR bentuk gabungan untuk selaras dasar kerajaan di lima negeri

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.


Pemimpin ketiga-tiga parti itu, dalam kenyataan bersama, menjelaskan semua negeri di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas akan melaksanakan dasar yang selari dengan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, nama Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu akan disahkan selepas mendapat persetujuan parti masing-masing.

Anwar pada sidang akhbarnya pula berkata, pakatan itu akan dipimpin dan bekerja mengikut prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam manifesto parti masing-masing.

Bagi memantapkan kerjasama Pakatan Rakyat, satu Majlis Pimpinan yang dianggotai ketua-ketua ketiga-tiga parti itu akan diwujudkan, selain Sekretariat Bersama yang mempunyai wakil setiap parti.

Anwar berkata, beliau akan hanya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan itu dan bukan menjadi ketuanya.

Satu konvensyen juga akan diadakan pada 27 April ini bagi meningkatkan persefahaman Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti.

Ditanya bagaimana Pas dan DAP yang memiliki ideologi berbeza dapat menerima pendekatan pakatan itu, Anwar berkata, kedua-dua parti itu akan bekerja mengikut prinsip adil dan saksama.

"Kami komited dengan perubahan program yang disokong oleh semangat perlembagaan. Saya tidak nampak kesukarannya. Kami sudah mencapai persetujuan," katanya.

Mengenai parti yang akan menerajui pakatan itu, Anwar menjelaskan kuasa peneraju terletak di tangan rakyat.

"Agendanya jelas. Ia tidak membezakan siapa yang menjadi Menteri Besar. Mereka tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh Pakatan Rakyat," katanya.

Mengenai hasrat Pas menubuhkan negara Islam, Anwar dan Abdul Hadi menjelaskan perkara itu bukan isu yang boleh menyebabkan pertikaian.

"Ia tidak dinyatakan dalam manifesto Pas dan tidak lagi disebut sejak sekian lama. Ia bukan lagi satu isu," kata Anwar.

Abdul Hadi pula berkata, isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi untuk menimbulkan masalah kerana Islam menyokong prinsip asas seperti menangani rasuah dan mewujudkan kerajaan yang baik.

Sementara itu, Lim ketika mengulas kegagalan mewujudkan pakatan menerusi pendekatan Barisan Alternatif pada 1999 berkata, mereka belajar daripada kesilapan lalu, iaitu kegagalan untuk menubuhkan barisan pembangkang pelbagai etnik.

Ketika dihubungi kemudian, Lim berkata, beliau menjangka rangka kerja Pakatan Rakyat akan dimuktamadkan beberapa minggu lagi.

Katanya, DAP tidak mempunyai hubungan dengan Pas sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi mesej rakyat pada hari berkenaan mahukan parti itu bekerjasama untuk mengekalkan keadilan, kebebasan dan demokras
i.

Kenyataan Media PAS, PKR dan DAP

Kenyataan penuh pemimpin tertinggi PKR, PAS dan DAP mengenai Pakatan Rakyat Cetak E-mail
Oleh Biro Penerangan PKR
Selasa, 01 April 2008

PEMIMPIN tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini telah mengadakan mesyuarat sebagai lanjutan daripada mesyuarat yang telah diadakan pada 18 Mac 2008.

Mesyuarat hari ini dihadiri antara lain oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB En Lim Kit Siang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada mesyuarat hari ini kami telah mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti ini atas nama PAKATAN RAKYAT.

Nama ini telah dicadangkan dan akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Dengan keputusan pilihanraya yang lepas, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan nantinya dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008.

Kami juga memperkemas dan memantapkan struktur Pakatan Rakyat dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti.

Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

YB Datin Seri Dr. Wan Azizah
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

YB Encik Lim Kit Siang
YB Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang

Dutch lady Malaysia Kutuk Belanda

Dutch Lady Malaysia kutuk filem Wilders

KUALA LUMPUR 1 April – Dutch Lady Milk Industries Berhad, sebuah syarikat Belanda yang telah lama bertapak di negara ini mengutuk tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menerbitkan filem Fitna.

Pengerusinya, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yassin berkata, bantahan tersebut adalah sejajar dengan pendirian yang dinyatakan oleh pihak kerajaan Belanda.

‘‘Dutch Lady telah beroperasi di Malaysia lebih 50 tahun dan jenama kami amat dikenali sebagai memenuhi keperluan masyarakat Malaysia tanpa mengira batas usia mahu pun bangsa.

‘‘Kami menghormati semua budaya, kepercayaan dan nilai-nilai rakyat Malaysia dan oleh itu, kami membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Wilders sebelum ini, telah bertindak menerbit dan menayangkan filem Fitna yang menghina Islam dengan memetik beberapa ayat al-Quran bersama imej latar serangan pengganas.

Amsterdam pula telah memberi amaran kepada Wilders bahawa filem itu bakal mencetuskan keganasan di negara Islam seperti yang berlaku semasa penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Semalam, Pasar Raya Mydin mengambil tindakan dengan memaklumkan para pelanggan mereka tentang produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat Belanda sebagai sokongan terhadap gerakan memboikot barangan yang ada kaitan dengan negara tersebut.

Mydin melaksanakan tindakan sedemikian sebagai tanda protes terhadap kegiatan menghina Islam oleh ahli perundangan kerajaan Belanda itu.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin berkata, Dutch Lady merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan 50 peratus pegangan sahamnya dimiliki rakyat negara ini.

‘‘Syarikat kami terdiri daripada 660 kakitangan rakyat tempatan dan kilang kami terletak di Petaling Jaya.

‘‘Matlamat kami adalah untuk membekalkan produk tenusu yang menyihatkan dan berkhasiat dengan pada harga yang berpatutan kepada semua pengguna,’’ ujarnya.

Katanya, sebagai warga korporat, syarikatnya menyedari tanggungjawab terhadap pemegang saham, pelabur, pengguna, pelanggan, pekerja dan komuniti sejagat.

‘‘Kami merupakan sebahagian daripada komuniti Malaysia dan kami menghormati semua budaya kita,’’ katanya lagi.

PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat
Harakahdaily
Tue | Apr 01, 08 | 2:00:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Tuesday, April 01, 2008

Serangan Utusan dan masih terbuku dengan Ahmad Said masih terpahat dan luka


Kompleks sukan RM200j jadi RM450j


Ahmad Said (tengah) bersama jurutera dan kontraktor meneliti pelan bagi kerja-kerja terakhir menyiapkan Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, semalam. – Gambar Fauzi Baharudin.


KUALA TERENGGANU 31 Mac – Dulu kosnya RM200 juta tetapi kini RM450 juta. Inilah akibat apabila projek pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini tertangguh beberapa kali.

Kompleks tersebut dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995 dengan kos asal RM200 juta.

Kompleks serba lengkap dengan stadium berbumbung, asrama, pusat latihan, trek olahraga dan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa apabila siap, bakal menjadi mercu tanda baru negeri.

Namun, sebaik sahaja kerajaan Pas memerintah pada 1999 hingga 2004, projek itu ditangguhkan kerana ia dianggap membazir dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun pelaksanaan projek tersebut diteruskan sebaik sahaja BN yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil alih pimpinan negeri pada 2004.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengakui harga keseluruhan pembinaan kompleks tersebut kini mencecah RM450 juta berbanding harga asal.

Beliau berkata, kos pembinaan naik secara mendadak berikutan harga bahan pembinaan yang meningkat di pasaran sejak kebelakangan ini.

Katanya, kenaikan harga bahan pembinaan tidak dapat dielakkan manakala kerja pembinaan kompleks itu perlu diteruskan.

Menurutnya, kompleks tersebut akan siap sepenuhnya April ini bagi membolehkan ia digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma).

‘‘Untuk Sukma, tiada masalah dan tak mungkin ditangguh kerana segala persiapan telah dibuat sejak awal,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melawat projek itu hari ini.

Ia merupakan projek pertama dilawati oleh Ahmad Said selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu kelmarin.

Sejurus mengangkat sumpah, beliau berjanji akan mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek besar di negeri ini jika ia benar-benar tidak berfaedah kepada rakyat.

Antara projek yang sedang dijalankan sekarang selain Kompleks Sukan Gong Badak ialah penambakan laut muara Sungai Terengganu dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam.

Ahmad Said bagaimanapun berbangga kerana kontraktor tempatan yang diberi tanggungjawab membina kompleks sukan tersebut mampu melaksanakan tugas mengikut jadual.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Berita dan sandiwara DAP !


PULAU PINANG 1 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam memburukkan nama baik parti dengan “bermain tarik tali” dalam soal peletakan jawatan dan hasrat untuk keluar daripada parti itu semalam.... Berita Penuh