Pulau Pinang tubuh badan audit siasat akaun jabatan kerajaan |
PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah badan audit bebas bagi menyiasat kedudukan kewangan beberapa agensi dan jabatan kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Badan bebas itu akan mengaudit akaun agensi-agensi berkenaan setelah mendapati MPSP mengalami defisit kewangan yang teruk sejak 1999, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini, Rabu. Kerajaan negeri dilaporkan terkejut mendapati MPSP mengalami defisit teruk sehingga terpaksa menggunakan Wang Kumpulan Simpanan MPSP untuk menanggung segala kos operasi dari 1999 hingga kini. Ditanya mengenai kedudukan kewangan jabatan kerajaan yang lain, Lim berkata kerajaan negeri perlu mendapat gambaran sebenar sebelum mengambil tindakan lanjut. "Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana perlu mendapat jumlah tepat dan laporan penuh. Biarlah siasatan lanjut dijalankan dulu," katanya. Lim juga berkata kerajaan negeri akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan bagi meminta kebenaran agar pesara dalam bidang profesional mengganggotai lembaga pengeluaran tender di Pulau Pinang. "Golongan profesional berkenaan akan bersama-sama memantau pelaksanaan pemberian tender terbuka itu bagi memastikan ia dilakukan secara adil tanpa ada sebarang kepentingan," katanya. Kerajaan baru Pulau Pinang, yang diterajui DAP, akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua kontrak kerajaan bagi menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan juga ketidaktelusan. Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan negeri benar-benar serius untuk memastikan pelaksanaan sistem tender terbuka ini bagi memastikan semua amalan tidak sihat dalam pemberian kontrak dihapuskan. BERNAMA |
|
Thursday, April 03, 2008
Syabas Kerajaan PPinang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment