Wednesday, April 02, 2008

Ini gambar Kenyataan Bersama Gabungan Rakyat

Setuju jadi Pakatan Rakyat



PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan di Petaling Jaya, semalam, untuk menubuhkan gabungan Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

DAP, Pas, PKR bentuk gabungan untuk selaras dasar kerajaan di lima negeri

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.


Pemimpin ketiga-tiga parti itu, dalam kenyataan bersama, menjelaskan semua negeri di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas akan melaksanakan dasar yang selari dengan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, nama Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu akan disahkan selepas mendapat persetujuan parti masing-masing.

Anwar pada sidang akhbarnya pula berkata, pakatan itu akan dipimpin dan bekerja mengikut prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam manifesto parti masing-masing.

Bagi memantapkan kerjasama Pakatan Rakyat, satu Majlis Pimpinan yang dianggotai ketua-ketua ketiga-tiga parti itu akan diwujudkan, selain Sekretariat Bersama yang mempunyai wakil setiap parti.

Anwar berkata, beliau akan hanya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan itu dan bukan menjadi ketuanya.

Satu konvensyen juga akan diadakan pada 27 April ini bagi meningkatkan persefahaman Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti.

Ditanya bagaimana Pas dan DAP yang memiliki ideologi berbeza dapat menerima pendekatan pakatan itu, Anwar berkata, kedua-dua parti itu akan bekerja mengikut prinsip adil dan saksama.

"Kami komited dengan perubahan program yang disokong oleh semangat perlembagaan. Saya tidak nampak kesukarannya. Kami sudah mencapai persetujuan," katanya.

Mengenai parti yang akan menerajui pakatan itu, Anwar menjelaskan kuasa peneraju terletak di tangan rakyat.

"Agendanya jelas. Ia tidak membezakan siapa yang menjadi Menteri Besar. Mereka tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh Pakatan Rakyat," katanya.

Mengenai hasrat Pas menubuhkan negara Islam, Anwar dan Abdul Hadi menjelaskan perkara itu bukan isu yang boleh menyebabkan pertikaian.

"Ia tidak dinyatakan dalam manifesto Pas dan tidak lagi disebut sejak sekian lama. Ia bukan lagi satu isu," kata Anwar.

Abdul Hadi pula berkata, isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi untuk menimbulkan masalah kerana Islam menyokong prinsip asas seperti menangani rasuah dan mewujudkan kerajaan yang baik.

Sementara itu, Lim ketika mengulas kegagalan mewujudkan pakatan menerusi pendekatan Barisan Alternatif pada 1999 berkata, mereka belajar daripada kesilapan lalu, iaitu kegagalan untuk menubuhkan barisan pembangkang pelbagai etnik.

Ketika dihubungi kemudian, Lim berkata, beliau menjangka rangka kerja Pakatan Rakyat akan dimuktamadkan beberapa minggu lagi.

Katanya, DAP tidak mempunyai hubungan dengan Pas sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi mesej rakyat pada hari berkenaan mahukan parti itu bekerjasama untuk mengekalkan keadilan, kebebasan dan demokras
i.

No comments: