Tuesday, April 01, 2008

Serangan Utusan dan masih terbuku dengan Ahmad Said masih terpahat dan luka


Kompleks sukan RM200j jadi RM450j


Ahmad Said (tengah) bersama jurutera dan kontraktor meneliti pelan bagi kerja-kerja terakhir menyiapkan Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, semalam. – Gambar Fauzi Baharudin.


KUALA TERENGGANU 31 Mac – Dulu kosnya RM200 juta tetapi kini RM450 juta. Inilah akibat apabila projek pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini tertangguh beberapa kali.

Kompleks tersebut dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995 dengan kos asal RM200 juta.

Kompleks serba lengkap dengan stadium berbumbung, asrama, pusat latihan, trek olahraga dan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa apabila siap, bakal menjadi mercu tanda baru negeri.

Namun, sebaik sahaja kerajaan Pas memerintah pada 1999 hingga 2004, projek itu ditangguhkan kerana ia dianggap membazir dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun pelaksanaan projek tersebut diteruskan sebaik sahaja BN yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil alih pimpinan negeri pada 2004.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengakui harga keseluruhan pembinaan kompleks tersebut kini mencecah RM450 juta berbanding harga asal.

Beliau berkata, kos pembinaan naik secara mendadak berikutan harga bahan pembinaan yang meningkat di pasaran sejak kebelakangan ini.

Katanya, kenaikan harga bahan pembinaan tidak dapat dielakkan manakala kerja pembinaan kompleks itu perlu diteruskan.

Menurutnya, kompleks tersebut akan siap sepenuhnya April ini bagi membolehkan ia digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma).

‘‘Untuk Sukma, tiada masalah dan tak mungkin ditangguh kerana segala persiapan telah dibuat sejak awal,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melawat projek itu hari ini.

Ia merupakan projek pertama dilawati oleh Ahmad Said selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu kelmarin.

Sejurus mengangkat sumpah, beliau berjanji akan mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek besar di negeri ini jika ia benar-benar tidak berfaedah kepada rakyat.

Antara projek yang sedang dijalankan sekarang selain Kompleks Sukan Gong Badak ialah penambakan laut muara Sungai Terengganu dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam.

Ahmad Said bagaimanapun berbangga kerana kontraktor tempatan yang diberi tanggungjawab membina kompleks sukan tersebut mampu melaksanakan tugas mengikut jadual.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

No comments: