Umno sering mencari dan mengaut apa-apa sahaja yang ada keuntungan politiknya. Kini, yang kekal lama, dan satu-satunya modal yang terpakai relevan lama adalah isu amanat. Dengan memainkan isu ini Umno dapat meregut kepercayaan khasnya daripada para pengundi Melayu Islam yang amat termakan serta teruja dengan Amanat Haji Hadi.
Ketakutan luarbiasa adalah mewajahkan Hj Hadi sebagai 'pesalah'. Modal ini nampak laku dan dimakan/dihadam rakyat sebagai satu 'kepercayaan baru' mereka.
Umno-Bn sekadar memikirkan laba dan keuntungan politik mereka semata-mata. Ucapan dan ajakan mereka supaya berpolitik secara 'pro' tidak jelas. Mereka sendiri yang terbawa-bawa dengan 'sistem kepuakan mereka' dan kepartian mereka secara berpajangan.
Ahli-ahli pembangkang amat merasai seluruhnya. Mereka menipu dan terus menipu rakyat sepanjang masa. Keharmonian masyarakat atau ahli dalam masyarakat diabaikan.
Umno adalah penipu besar, walaupun rata-rata pemimpin mereka beragama Islam dan bernamakan nama islam.
Amanat Hadi bukan sekadar soal politik
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
Presiden Pas Abdul Hadi Awang berucap pada Muktamar Pas di Kota Bharu baru-baru ini. - UTUSAN/Rosni Masri
MUNGKIN sekali lagi Pas tidak akan memandang
serius isu 'Amanat Haji Hadi' yang kembali diperkatakan selepas seorang
bekas ahli seumur hidup, C.N Al-Afghani atau Zainon Ismail menghasilkan
buku berjudul Kafirkah Aku? Apatah lagi mereka menganggap amanat itu
adalah cerita lama kerana ia dilafazkan 31 tahun lalu.
Namun begitu satu perkara yang tidak harus dilupakan amanat tersebut
bukan satu ucapan politik yang boleh dilupakan begitu sahaja, ia bukan
sekadar berkaitan dengan usaha meraih sokongan dalam pilihan raya tetapi
jauh daripada itu ia melibatkan soal isu agama dan akidah.
'Bencana' yang hadir akibat amanat itu, bukan soal bila ia dihasilkan
tetapi apakah kesannya. Inilah persoalan yang seharusnya
dipertimbangkan dengan serius oleh Pas jika benar mereka memperjuangkan
Islam.
Ini memandangkan sehingga ke hari ini, sama ada Pas mahu mengakui
atau tidak, kesan akibat amanat itu ia masih mewujudkan perpecahan yang
cukup ketara dalam soal persaudaraan Islam melibatkan antara penyokong
Pas dan UMNO.
Apatah lagi kita harus faham dalam amanat itu, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang kini merupakan Presiden Pas menyatakan, ''Saudara-saudari,
percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita
menentang BN bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia
mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir,
mengekalkan peraturan jahiliah."
Ini bermaksud, biar pun amanat itu dilafazkan 31 tahun lalu namun apa
yang diperkatakan dalam amanat berkenaan masih relevan jika mengikut
tafsiran penyokong-penyokong tegar Pas memandangkan sehingga ke hari
ini, UMNO dan BN tidak pernah mengubah apa-apa dalam Perlembagaan
negara.
Oleh itu persoalannya jika Perlembagaan tersebut masih kekal, apakah
kepimpinan Pas begitu yakin bahawa tidak ada dalam kalangan pengikutnya
tidak lagi berpegang kepada amanat tersebut yang antara lain turut
menyatakan, ''perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad,
ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita
berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini mati
kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam…"
Bukankah kerana pegangan inilah yang menjadi Pas boleh bertahan
sehingga ke hari ini - ramai yang menyokong Pas kerana mereka
beranggapan perjuangan dalam Pas adalah suci dan murni kerana ia demi
menegakkan Islam.
Selain itu, bagaimana pula dengan kejadian perpecahan ummah akibat
perbezaan politik yang menyaksikan di Terengganu masih wujud 11 masjid
masih solat berasingan, masih ada kubur orang Islam daripada Pas dan
UMNO dipisahkan serta masih berlaku perceraian akibat fahaman politik
berbeza.
Malahan kalau pemimpin-pemimpin Pas menganggap isu amanat itu bukan
isu baru dan sudah basi, kenapakah mereka sanggup membiarkan berlakunya
majlis mendoakan kehancuran UMNO dan BN? Kenapakah masih terjadi ada
khatib yang membaca khutbah menuduh kerajaan BN zalim dan mendoakan
kehancuran parti tersebut?
Kita juga tidak harus meminggirkan fakta bahawa sehingga ke hari ini,
masih berlaku tafsiran bahawa sembelihan orang UMNO haram untuk dimakan
sehingga seperti mana diceritakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani
Zakaria, sebesen ayam sembelihan orang UMNO dibuang.
Oleh itu, dalam keterujaan Pas memburu kuasa bersama Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP, mereka tidak harus melihat isu amanat ini sengaja
ditimbulkan menjelang pilihan raya. C.N Al-Afghani menulis buku itu
dengan penuh ikhlas kerana kita percaya bukan beliau seorang sahaja
masih dihantui oleh amanat tersebut tetapi juga masih terdapat ribuan
lagi yang berpegang kepada amanat berkenaan.
Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak mempertikaikan bahawa Abdul
Hadi sendiri mungkin sudah tidak berpegang kepada amanat tersebut tetapi
beliau perlu bertanggungjawab untuk membuat pengisytiharan terbuka
menarik semula amanat itu dan sekali gus meminta ahli-ahli Pas supaya
tidak lagi memandang serong kepada pemimpin dan ahli UMNO sebagai
seorang Islam.
Abdul Hadi harus ada keberanian dalam soal ini kerana isu 'Amanat
Haji Hadi' adalah satu isu besar yang tidak boleh dilupakan begitu
sahaja. Bayangkanlah dalam tempoh berkenaan berapa ramai umat Islam yang
berbeza fahaman politik kerana menyokong UMNO atau Pas berbalah sesama
sendiri? Berapa ramai yang bercerai-berai? Berapa banyak nyawa yang
terkorban kerana percaya perjuangan menentang kerajaan BN adalah jihad?
Justeru ulama-ulama dalam Pas perlu berjiwa besar untuk menasihatkan
Abdul Hadi untuk memenuhi gesaan para alim ulama termasuk mufti yang
menyatakan wajib bagi Presiden Pas itu menarik balik amanat berkenaan.
Fahamilah, kelahiran buku Kafirkah Aku? bukan bermotif politik
apatah lagi mahu menghalang Pas mencapai impian ke Putrajaya, tetapi
demi untuk menyelamatkan umat Islam daripada terus berpecah belah kerana
'aku penyokong Pas, kau penyokong UMNO.'
Ia kerana seperti mana kata, C.N Al-Afghani dalam buku itu, ''…memang
Pas telah lama tinggalkan isu kafir mengkafir ini, masalahnya sekarang
doktrin terhadap ahli masih kukuh terpahat di dada kami."
Doktrin? Inilah persoalan yang dibimbangi kerana ketaksuban kepada
perjuangan Pas apatah lagi dengan tiada sebarang usaha menarik balik
amanat itu ia memungkinkan sesetengah ahli Pas di peringkat akar umbi
masih mempercayai bahawa UMNO adalah musuh yang perlu diperangi biar pun
mereka adalah terdiri daripada umat Islam yang melafazkan kalimah
syahadah yang sama.
Mungkin Pas bimbang jika Abdul Hadi membuat pengisytiharan menarik
balik amanat itu ia akan menunjukkan sememangnya amanat tersebut salah
tetapi bukan soal pertimbangan politik yang harus diberikan keutamaan
tetapi soal akidah dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.
Tidak salah untuk Pas berusaha meraih undi umat Islam dengan terus
menguar-uarkan bahawa mereka tetap akan menegakkan perjuangan Islam biar
pun kita memahami penentangan kuat daripada sekutunya DAP, tetapi
laksanakan dulu tanggungjawab sebagai pemimpin dan paling penting hamba
Allah di alam fana ini dengan berusaha memperbetulkan sebarang
kekhilafan yang selama ini menyebabkan selama berpuluh-puluh tahun
pemimpin dan ahli-ahli UMNO dianggap oleh sesetengah penyokong Pas yang
taksub bagaikan musuh kafir yang perlu diperangi habis-habisan.
Kita percaya Abdul Hadi sebagai seorang yang bertaraf ulama amat
memahami yang mana harus diutamakan dan kita berdoa agar Allah memberi
hidayah serta kekuatan kepada beliau untuk menyahut seruan C.N
Al-Afghani iaitu, ''Datuk Seri harus tarik balik amanat tersebut dan
isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak kafir di sisi Islam."
Abdul Hadi dan kepimpinan Pas perlu memahami bahawa dalam amalan
demokrasi tidak salah berlumba-lumba untuk meraih sokongan rakyat tetapi
biarlah ia dilakukan secara berhemah dan mengikut lunas-lunas yang
dibenarkan oleh Islam, janganlah kerana ketaksuban dan keghairahan untuk
merebut kuasa, perpaduan umat Islam menjadi pertaruhan!
Ia kerana jika umat Islam berpecah belah dan berbalah sesama sendiri
apatah lagi kerana masih berpegang kepada sebuah amanat usang,
percayalah pemimpin yang terlibat bukan sahaja perlu bertanggungjawab
menjelaskan kepada rakyat di dunia tetapi yang paling penting menjawab
di hadapan Allah di akhirat kelak.