Kuala Lumpur: Naib Pengerusi DAP baru dilantik, Senator Dr Ariffin SM Omar menghina bangsanya sendiri dan penjawat awam kerana mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam. 


Ini kerana rasuah tidak boleh dikaitkan dengan aspek bangsa, sebaliknya ia berkait rapat dengan iman, moral dan jati diri seseorang sama ada beragama Islam atau sebaliknya. 


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, dakwaan Ariffin bukan setakat mencerminkan kecetekan fikirannya, malah menghina Melayu yang juga bangsanya sendiri sedangkan beliau sendiri tahu tiada kajian membuktikan dakwaan seumpama itu.




“Dakwaan itu menyakitkan hati penjawat awam, khususnya orang Melayu. Ironinya, dia sendiri diperlekeh dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP apabila perwakilan yang majoritinya Cina menolak beliau.

Pelantikan hanya sandiwara


“Pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi DAP hanyalah sandiwara pemimpin DAP untuk menunjukkan kononnya parti itu mempraktikkan kepelbagaian bangsa,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Pada Kongres DAP di Pulau Pinang minggu lalu, Ariffin dilaporkan mencadangkan rombakan besar-besaran dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkhidmatan awam lain jika pembangkang menawan Putrajaya bagi memastikan agensi kerajaan tidak didominasi kaum Melayu dengan alasan untuk mengekang rasuah. 

Ariffin menyertai DAP pada 2011 kononnya atas keyakinan parti itu mempraktikkan konsep kepelbagaian bangsa dan menolak perkauman.

Ahli MT UMNO, Datuk Idris Haron berkata, dakwaan Ariffin bukan setakat tidak berasas malah boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana mungkin bangsa lain memandang serong kepada penjawat awam Melayu.

“Rasuah adalah penyakit yang tiada kaitan dengan kaum tertentu. Ariffin seharusnya berfikir secara menyeluruh bahawa kaedah menangani rasuah adalah dengan menyediakan program meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah, sistem kerja telus dan penguatkuasaan undang-undang secara berkesan.

“Ariffin cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin DAP daripada Melayu semata-mata untuk menambat hati pemimpin DAP supaya dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Idris merayu masyarakat Melayu, terutama pengundi supaya membuat penilaian secara bijak, fungsi orang Melayu dalam DAP tidak lebih daripada sekadar kuda tunggangan pemimpin parti itu untuk meraih sokongan Melayu.