Monday, September 06, 2010

Zam: bebal dan sebal

Siapa yang nak percaya dengan gelagat ZAM. Kelmarin ZAM yang sedang mencari tempat untuk memikat Najib. Beliau membuat kelakar terlucu abad ini. Katanya beliau ada bukti 'pimpinan' PAS suruh Tunku Abd Rahman PM pertama waktu itu merampas harta orang Cina.

Kita nak bagi tahu ZAM yang dangkal, bukan sahaja tanah depa bagi tapi kerakyatan secara jus soli. ZAM ni belajar sejarah negara ke apa, sia-sia mengaji habih duit emak ayah dia, pasal apa tenging sangat.

Kalau pun dah ada maklumat suruh rampas harta Cina. Lama dah Ust Nakhie yang masuk Umno dedahkan tak payah tunggu ZAM oi.




Saturday, September 04, 2010

Jiwa perlembagaan islam lah yang tidak boleh dicerobohi

Besarnya kedudukan dan keistimewaan perlembagaan Persekutuan sisi kita dalam negara kita. Perlembagaan ini amat didaulatkan, jelasnya perbahasan demi perbahasan, pembelaan demi pembelaan, kebimbangan demi kebimbangan dan cadangan demi cadangan dikemukakan agar kelangsungan perlembagaan ini di pertahankan dan disedarkan kepada generasi demi generasi.

Natijahnya sebarang pengabaian atau ketidakpedulian ke atas perlembagaan negara dikira sebagai satu kesalahan yang tidak boleh dipermaafkan kepada mana-mana manusia Malaysia yang berada di Malaysia.

Orang Melayu terus menerus mempersoalkan keberadaan perlembagaan ini. Dengan mewajarkan semua kaum bukan Melayu menerimanya dan ketidakbolehan mereka mempersoalkan duduk perkara. Ini kerana persepakatan terhadap perlembagaan itu sudah dipersepakati. Sebarang perkara yang dipersoalkan oleh kaum bukan Melayu dikira sebagai satu usaha-usaha pencerobohan atas perlembagaan itu.

Begitu jugalah dengan mana-mana orang Melayu islam yang turut sama mempersoalkan duduk perkara ini dikira sebagai usaha pencerobohan. Biarpun perlembagaan itu tidak dipertikaikan, cuma perubahan yang dituntut adalah bagi memansuhkan beberapa Fasal dan Bahagian yang ada bercanggah dengan undang-undang Allah atau undang-undang Al Quran.

Yang lain-lain jiwa perlembagaan seperti kontrak sosial atau apa-apa saja keistimewaan peribumi kita amat sokong dan pertahankan sebagai hak berssama. Kita tidak mahu kita pertahankan sesuatu yang dimurkai Allah.

Kaum lain pun tidak akan mempersoalkan jiwa perlembagaan, jika kita yang berkuasa dapat memberi keadilan, kesamksamaan, kesamarataan, dan kesejahteraan kepada semua kaum di negara ini.




Bahaya jiwa Perlembagaan dicabuli

APABILA meneliti Perlembagaan Persekutuan, kita dapati dalam perlembagaan wujud lima perkara asas yang tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan. Apakah lima perkara asas itu? Ia membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk pribumi Sabah dan Sarawak, hak kewarganegaraan, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan.

Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut kelima-lima perkara asas itu sebagai politik perlembagaan yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid. Ia dimasukkan dalam Perlembagaan selepas berlakunya proses perundingan, permuafakatan atau kata sepakat secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika itu.Hakikatnya, kelima-lima perkara itu adalah satu bentuk kontrak sosial yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Menurut Dr Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya, kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British.

Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah pun menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mencabuli atau menghapuskan lima perkara asas itu boleh menimbulkan pelbagai sentimen termasuk perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat seterusnya menjerumuskan negara ini ke kancah kebinasaan.

Ia juga adalah satu bentuk kompromi politik atau politik permuafakatan di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Datuk Prof Dr Zainal Keling, melihat politik kompromi itu sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia.

Pendekatan ini sangat berkesan kerana segala program perpaduan dan integrasi nasional dapat dilaksanakan dengan jaya. Malah segala perselisihan faham dapat diselesaikan di meja rundingan. Ini bermakna politik kompromi yang diamalkan selama ini berjaya membentuk politik persetiaan murni atau bargain formula antara tiga ras terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara.

Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan ini ialah apabila pada 1955 apabila Britain memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu. Pilihan raya itu merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik yang dinamakan Perikatan (kini Barisan Nasional).
Perikatan mengemukakan manifesto yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-tiga kaum terbabit. Antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan ialah mengenai politik di mana Perikatan berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Berperlembagaan Negeri baginda masing-masing.

Untuk itu, Perikatan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu dan kepentingan istimewa orang Melayu. Dalam perkara mengenai pelajaran, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan.

Mengenai bahasa pula, Perikatan bersetuju untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dianggap acuan untuk membentuk sebuah negara. Perikatan juga dalam manifestonya berjanji mendapatkan kemerdekaan negara dalam masa empat tahun.

Menurut Zainal Abidin Wahid (1971), pilihan raya umum pertama itu merekodkan 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi itu ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu keluar untuk mengundi.

Perikatan meletakkan calon bagi semua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Menariknya, calon bukan Melayu dari Perikatan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihan raya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon bukan Melayu di kawasan mereka.

Manifesto yang dikemukakan Perikatan itu juga jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu sama-sama bersetuju dan memperjuangkan perkara mengenai warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama menyetujui kepentingan satu jenis Sekolah Kebangsaan bagi kepentingan perpaduan.
Kelima-lima elemen politik perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan. Justeru, kita bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan politik perlembagaan itu.

Perkara asas Perlembagaan Persekutuan itu dipertikai dan dipersenda malah dipolitikkan sewenang-wenangnya. Terbaru ialah pendedahan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa sudah ada pihak mewujudkan perlembagaan baru yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Ia menandakan bahawa sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk mencabuli apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Di manakah keadilan, dapatkah kan ku cari gantinya ?

KELAMRIN 32 PERTUDUHAN ke atas Kudus selaku YDP salah sebauh PBT di negeri Selangor tidak sangkutpun walaupun satu kes. Hari ini di pahang bekas exco Pahang pula bebas daripada pertuduhan rasuah.

Ini adalah paten dan undang-undang di Malaysia. Pihak pendakwaraya biasa gagal menyakinkan hakim atas pertuduhan kes-kes seumpama ini yang melibatkan orang-orang sedemikian rupa.

Justeru rakyat mahu lihat keadilan di mana, bagaimana keyakinan dan kepercayaan rakyat dengan sistem yang kita payungi, sanjungi dan pujai.

Justeru jangan marah jika rakyat terus mempersoalkan perkara demi perkara dariapada masa ke semasa.




Bekas Exco Pahang lepas, bebas kes rasuah

RAUB 3 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Exco kerajaan negeri Pahang, Datuk Omar Othman terhadap dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya enam tahun lalu.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulqarnain Hassan dan Kamaruddin Mohd. Daud gagal membuktikan kes prima facie terhadap Omar.

''Selepas mahkamah meneliti kesemua hujahan dan keterangan, tertuduh dalam kes ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,'' kata Zainal Abidin sambil disambut deraian air mata oleh Omar dan isterinya, Datuk Mimi Asmara Abdul Malek, yang berada di galeri awam.

Omar, 60, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelai yang juga Anggota Jawatankuasa Projek Khas Peringkat Daerah Lipis dituduh melakukan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam untuk mendapatkan suapan antara 1 dan 13 Oktober 2001 di Pejabat Daerah Lipis.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu dengan memperakukan dua projek kemudahan asas kecil tahun berkenaan, melibatkan Jalan Asas Kampung Serau ke Kampung Putat berharga RM100,000.

Omar juga dituduh memperakukan Jalan Tanah Perkuburan Lubuk Kulit berharga RM20,000 untuk diberikan kepada Syarikat Perniagaan Persaudaraan Iman yang beliau mempunyai kepentingan secara tidak langsung.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Omar didakwa di mahkamah pada 12 Ogos 2004 dan perbicaraan kes itu yang mengambil masa enam tahun, melibatkan sembilan saksi pendakwaan manakala pihak Timbalan Pendakwa Raya melalui proses pertukaran sebanyak tujuh kali.

Omar yang diwakili peguam Jagjit Singh, merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang sebelum bersara.

Di luar mahkamah, Omar berkata, beliau bersyukur kerana apa yang dilaluinya sejak enam tahun lepas berakhir hari ini dan kini terbukti segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya selama ini tidak berasas.

''Kebenaran terbukti hari ini dan saya berterima-kasih kepada isteri saya yang selama ini sentiasa berada di sisi saya dan ahli keluarga serta kawan-kawan yang sentiasa menyokong saya,'' katanya. - BERNAMA

Thursday, September 02, 2010

Media Alternatif: Najib akhirinya akui

PM dan bualan Ramadhan. Media elektronik malam ini melaporkan PM Najib bersama berbuka puasa kali kedua tahunnya dengan media. Kali ini tuan rumah media adalah NSTP di Bangsar.

Dalam temubual media yang disiarkan ke sleuruh negara tentang bagaimana media alternatif memberi laporan sehingga boleh merosakkan negara. Naji dalam jawapannya akhir mengakui katanya laporan-laporan media alternatif ada kalanya adalah benar, ada separuh benar dan ada nya tidak benar. Tiada katogeri tidak benar langsung.

Justeru apa yang dilaporkan oleh blog dan media internet dalam talian rata-rata adalah benar belaka.

Rasanya bulan Ramdhan menyebabkan Najib berkata benar dan polos gayanya. Tidak Najib macam selalu, mungkin kerana menghormati Ramadhan kot.

Ok lah tu..

Wednesday, September 01, 2010

Islam sempit atau disempitkan islam ?

Dalam pemimpin negara-negara lain sedang rancak 'memasarkan' islam, pimpinan dan pemimpin negara kita masih lagi memperkatakan soal perkauman dan soal kejumudan keagamaan sempena kemerdekaan negara yang menjangkau 53 tahun.

Diluar negara pemimpin besar Mummar Gaddafi mendapat sambutan luarbiasa dengan menjemput bukan Islam mendengar syarahan kali keempat tentang Islam, Dilaporkan seramai 500 orang wanita muda Itali datang ke majlis berkenaan. Mereka dihadiahkan dengan senaskkah Quran terjemahan ke BI bagi ditatap. Inilah jiwa seorang pemimpin yang membawa sama islam bersama-samanya walaupun berada di luar daripada negara nya.

Sebaliknya, pemimpin - pemimpin negara kita yang beragama Islam. Agama Islam dirasmikan sebagai bahasa rasmi negara bertindak kebelakang. Caranya menakut-nakutkan bukan Islam dengan kejumudan cara berfikir. Pimpinan negara ini menganggap Islam adalah hak peribadi dan hak orang Melayu yang berkekalan milik mereka. Jangan ada sebarang pencanggahan amalan kelaziman , Maka ia akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap islam dan umatnya.

Isu khutbah dan masuk ke surau menjadi bahan perdebatan luarbiasa. Malah satu peraturan mahu diperincikan bagi mentatacarakan bukan Islam untuk mendampingi Islam. Perbuatan menakut-nakutkan Islam terhadap Islam akan menjauhkan bukan islam terhadap Islam. Mana dakwah islam kita terhadap mereka.

Bukti keresahan itu, disokongi dengan tulisan-tulisan yang berbaur sokongan sempit mengetatkan peratuaran bukan islam mendekati Islam. Ikuti tulisan dalam Utusan malaysia seperti di bawah ini.


Provokasi berbaur perkauman

Sejak akhir-akhir ini, beberapa tindakan provokasi berbaur perkauman dan agama oleh segelintir pihak di Malaysia telah dilaporkan oleh kebanyakan akhbar perdana tempatan. Antara contoh-contoh 'benar' dalam hal ini adalah tindakan khatib jemputan di sebuah masjid di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam dalam doa khutbahnya, tindakan ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Selangor yang membenarkan ahli politik bukan Islam memasuki ruang solat utama dalam masjid dan surau, serta tindakan berulang kali oleh bekas pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan, Namewee mengubahsuai lagu kebangsaan 'Negaraku' yang mengandungi unsur-unsur yang mencemar imej Malaysia serta turut menyentuh sensitiviti peribadi individu tertentu, orang Melayu, dan agama Islam di negara ini.

Sebagaimana biasa, persepsi awal terhadap semua insiden ini sudah boleh dijangka. Khatib jemputan terbabit mempertahankan tindakannya atas alasan bahawa tidak menjadi satu kesalahan besar jika mendoakan seseorang yang bukan Islam supaya diberi petunjuk dan hidayah, walaupun sudah jelas bahawa dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri tersebut mesti disebut dalam setiap sesi khutbah termasuk dalam doa oleh khatib yang bertugas.

Ahli politik bukan Islam pula mempertahankan tindakan mereka dengan alasan bahawa mereka datang untuk memenuhi jemputan oleh ahli jawatankuasa masjid tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing. Mereka juga mendakwa bahawa insiden ini sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Manakala Namewee pula mempertahankan tindakan beliau dengan alasan ia hanyalah untuk 'mencipta' sesuatu yang unik dan baru, bertujuan mengembangkan bakat kreatifnya dan supaya dia dikenali ramai. Sememangnya hari ini, Namewee sudah pun dikenali ramai termasuk di Malaysia, khasnya dalam kalangan para pembuat dasar termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Penerangan dan Perdana Menteri sendiri.

Apa yang jelas di sini adalah semua tindakan provokasi itu dilakukan atas alasan untuk menggunakan hak dan kebebasan bersuara dalam konteks sistem demokrasi. Kerajaan juga setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan susulan walaupun insiden sebegini telah berulang kali berlaku. Antara alasan yang biasa diberikan adalah kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu semua insiden tersebut dan kemudiannya berunding dengan parti-parti bukan Melayu kerana 'pelakunya' ialah orang bukan Melayu, manakala 'mangsanya' pula ialah orang Melayu.

Tetapi kalau 'pelakunya' ialah orang Melayu sendiri, maka sudah tentu 'secepat kilat' tindakan tegas diambil bagi menangani sebarang insiden sedemikian rupa. Apa yang jelas di sini ialah memang agak sukar untuk membuat sebarang keputusan terhadap isu-isu provokatif jika ia membabitkan selain daripada orang Melayu dan Islam.

Ini kerana jika tersalah pertimbangan, orang bukan Melayu, yang selama ini memberi sokongan kepada kerajaan sudah pasti akan 'terasa' pedih hati walaupun dalam sesetengah insiden yang sedemikian, mereka memang bersalah. Apa yang boleh kita lihat, sebarang bentuk tindakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyelesaikan insiden-insiden seperti itu boleh dianggap seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak'.

Biasanya, usaha penyelesaian masalah secara 'menarik rambut dalam tepung ini' sangat cerewet dan rumit. Ini mungkin kerana 'rambut' yang ingin 'ditarik' tersebut mungkin sudah 'reput', manakala 'tepung' yang ingin dijaga supaya tidak 'selerak' itu mungkin sebenarnya sudah 'keras'.

Kita tidak menafikan perlunya hidup bertolak ansur dalam konteks masyarakat berbilang kaum tetapi peranan dan tanggungjawab kerajaan selaku 'pemerintah yang tegas dan bijaksana' tidak wajar sekali dipinggirkan. Dalam hal ini, pihak yang benar perlu dibela, manakala pihak yang secara terang-terang melakukan kesalahan mesti dihukum dengan sewajarnya tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Semua insiden yang disebutkan sebelum ini adalah benar berlaku, manakala 'pelapornya' pula tidak mempunyai sebarang niat yang terselindung.

Masjid dan surau adalah rumah Allah SWT yang suci lagi bersih dan perlu dihormati. Orang bukan Islam, tidak kira dari mana-mana parti politik pun tidak boleh memasuki ruang solat utama masjid dan surau hanya kerana mereka ini 'berhadas besar'. Sebaliknya, mereka boleh memasuki ruang di sekitar kawasan masjid, dan bukannya di ruang utama solat.

Nama ketua agama negeri, sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan mesti disebut oleh khatib dalam setiap sesi khutbah yang dijalankan.

Tindakan menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam tidak pernah berlaku sebelum ini, dan orang yang menyebutnya sudah pasti ada maksud 'negatif' yang terselindung walaupun orang itu bergelar 'ustaz' atau 'tok guru'.

Sebagai rakyat Malaysia pula, adalah tidak salah untuk menjadi kreatif dalam pelbagai bidang seni termasuk muzik dan mengubahsuai lagu. Tetapi, apakah dengan tindakan 'memperolok-olokkan' lagu kebangsaan negara sendiri dengan unsur-unsur mencemar imej negara, individu tertentu, orang Melayu dan agama Islam boleh menjadikan seseorang itu kreatif?

Apa yang jelas di sini adalah Namewee ialah seorang yang sangat kreatif, tetapi beliau juga seorang yang sangat tidak beradab sopan terhadap negaranya sendiri.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu provokatif berbaur perkauman dan agama sebagaimana yang sedang 'hangat' melanda negara ketika ini.

Kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga ke saat akhir untuk mengambil tindakan kerana ia dikhuatiri mungkin agak terlewat. Kegagalan kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam hal ini akan memberi gambaran negatif dalam kalangan rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam di negara ini bahawa mereka akan terus menjadi punching bag di negara sendiri, manakala bagi orang bukan Melayu pula, adalah tidak mengapa menjadikan orang Melayu dan agama Islam sebagai bahan kreatif dan senda gurau atas alasan hak dan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi.

Kita perlu ingat bahawa demokrasi adalah untuk semua, bukan untuk satu golongan sahaja. Hak kebebasan bersuara dan hak untuk kreatif dalam muzik tidak bermakna kita boleh mencemarkan imej negara sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia


Tuesday, August 31, 2010

Sukar baca pemikiran politik ala 1960an

Meneliti tulisan A Kadir Jasin dalam blognya, memaparkan pemikiran akademik 1960an dan 1970an. Tulisannya kuat dengan terma-terma kemelayuaan tradisi, dengan ramuan pencampuran politik ala BN peninggalan penjajah British.

Cara gaya pemikiran ini memang sukar dan susah mahu dicerai tanggalkan daripada pemikiran. Selagi sikap orang tua makan lebih dulu garam, maka payahlah mahu kita perbahas atau perdebatkan.

Pendapat dan pandangan serta persepi politik ala merdeka ini sukar memasuki era e book, e net dan macam-macam e lagi. Dengan persepsi sedemikian dan dengan semangat kekentalkan pertahankan kaum dengan penubuhan NGO seperti Perkasa, Hindraf dan Dong Song dijadikan sandaran kekebalan kaum yang dipertahankan.

Masing-masing mahu menjuarai. Wal hal dalam perlembagaan hak dan keistimewaan Melayu tetap dipertahankan cuma orang politik sahaja yang gagal menyakinkan para pengikut. Jika semua pihak jujur dan ikhlas wawasan dan cita-cita membangsakan negara bangsa ini akan tercapai. tetapi politik Malaysia ala Mc Micheal sukarlah mahu digagaskan.


Islam Malaysia: Bukan Islam makin jauhi, apa lagi mahu anuti

Dunia luar semakin berlumba-lumba mendekati Islam, kita sebaliknya. Menurut seorang rakan dalam artikel yang dibaca dalam sebuah website di negara Peranchis yang agama rasminya bukan agama Islam. masyarakat bukan Islam memeluk Islam tidak kurang 30 ribu orang setahun. bandingkan angka ini dengan negara kita Malaysia.

Sebaliknya kita berlumba-lumba mengetatkan dan memayahkan masyarakat bukan islam bagi mendekati dan mengenali Islam dengan cara dan pendekatan yang mudah. Justeru masyarakat bukan Islam dijauhkan daripada menaruh minat terhadap Islam. Islam dilihat memayah, mengokong dan menyekat mereka daripada mereka dekati.

Isu marahkan MP Serdang masuk ke salah sebuah surau di Kajang mengundang reaksi yang membingitkan. Cara masyarakat menyanyangi Islam adalah keterlaluan, semua pendekatan dan cara perbincangan Islam mahu diperkenalkan kepada masyarakat bukan Islam terlalu jumud dan terlalu orthodok.

Inilah bentuk-bentuk pemikiran sempit dan jumud, Islam ala Malaysia yang susah dan menyusahkan mereka (bukan Islam) untuk dikenali .

Lihatlah arah dan pendekatan pimpinan Libya ini dalam memperkenalkan islam kepada masyarakat barat tentang Islam.

DUNIA

Masuk Islam selepas hadir majlis Gaddafi


GAMBAR menunjukkan seorang wanita yang didakwa telah memeluk Islam semasa menghadiri majlis anjuran Muammar Gaddafi di Rom kelmarin.


ROM - Tiga wanita muda Itali memeluk Islam semasa menghadiri satu majlis anjuran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi (gambar kecil) yang diadakan di kediaman rasmi duta negaranya di sini kelmarin.

Pada majlis itu, sekumpulan wanita muda mendengar penerangan mengenai Islam yang disampaikan oleh pemimpin itu dan mereka kemudian diberi senaskhah al-Quran.

Ratusan wanita menyertai majlis itu walaupun terdapat dakwaan mereka dibayar untuk menghadirinya.

"Ia merupakan satu pertemuan yang sungguh indah dan berjalan lancar. Beliau (Gaddafi) seorang yang mudah berbincang dan memberi kami senaskhah al-Quran sebelum mereka bertiga memeluk Islam," kata seorang tetamu yang hanya mahu dikenali sebagai Michela.

Antara 200 hingga 500 wanita muda menghadiri majlis itu dan mereka tiba dengan 10 buah bas sebelum pesawat yang membawa Gaddafi mendarat di Lapangan Terbang Ciampino di sini untuk beliau memulakan lawatan selama dua hari di Itali.

Program lawatan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun kedua perjanjian persahabatan antara Libya dengan Itali.

Pemerintah Itali sebelum ini bersetuju untuk membayar pampasan AS$5 bilion (RM15.7 bilion) kerana menakluk Libya selama 30 tahun sehingga 1943.

Gaddafi pernah melakukan kunjungan rasmi ke Itali pada November lalu semasa menghadiri sidang kemuncak program makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menganjurkan majlis sama yang dihadiri 200 wanita muda


Monday, August 30, 2010

Kerajaan takut dengan mahasiswaphobia ?

Betapa dangkal dan takutnya pemikiran Utusan Meloya. walhal dalam masa yang sama seteru politik mereka anggap sebagai ekstrem, Islam suka mencaci sesama islam. kenapa dan mengapa tulisan di bawah ini terlalu amat takut dan sanggup pertahankan hanya sekadar pandangan keputusan , bukannya melibatkan hukum.

Kita faham, Utusan Melaoya dan penulis di bawah ini takut dan bimbang dengan usaha Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu membincangkan sahaja dengan PAS dan Gerakan soal kebebasan mahasiswa berpolitik.

menteri ini sekadar mahu buat perbincangan serta perjumpaan dengan parti PAS soal ini sahaja. Kenapa mahu ditutup pintu perundiangan. Bebal dan dungu perbincangan dan mendengar pandangan terhadap apa yang kabinet putuskan macamlah keputusan yang tidak boleh diubah.

Semua ahli kabinet bukankya orang yang maksum dan mursyid terhadap keputusan mengekalkan keputusan melarang mahasiswa berpoliitik. Kan negara kita adalah negara demokrasi. Takkan takut dengan demo mahasiswa soal harga getah pada 1970an kot.

Inilah di namakan demophobia oleh kerajaan terhadap mahasiswa.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SEKALIPUN Kabinet telah membuat keputusan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, isu ini terus menjadi topik perbincangan menarik, khususnya di kalangan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Larangan mahasiswa terlibat dalam politik termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Akta ini antara lain bertujuan memastikan mahasiswa menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak sibuk berpolitik yang boleh mengganggu tumpuan ke arah mencapai kejayaan cemerlang di universiti.

Justeru sebarang usaha untuk membenarkan mahasiwa berpolitik memerlukan kajian mendalam dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak, di kalangan ahli akademik dan bukan akademik serta tokoh-tokoh politik sendiri. Pandangan mahasiswa sendiri juga perlu diambil kira.

Perlu difikirkan adakah mahasiswa benar-benar cukup matang untuk berpolitik dan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran pada masa yang sama? Kita tidak mahu nanti jika mahasiswa juga dibenarkan berpolitik akan wujud keadaan berpuak-puak yang boleh merosakkan keharmonian di kalangan mahasiswa dan persekitaran kampus.

Namun jika berpolitik hendak dibenarkan, pastikan mereka tidak menyeleweng daripada matlamat utama untuk belajar dan berjaya.

Awang - Mahasiswa Tua.

Berpadakah kita dengan Islam baka dan Islam warisan kita ?

Bila bukan Islam mahu dan reda dengan Islam dan bila orang Islam mencaci perlekeh dan hina Islam serta tidak yakin dengan Islam. maka wajarlah sesama islam mencaci yang beragama Islam.

Orang bukan islam lebih menghormati orang islam berbanding saudara seagama yang tidak menghormati sesama islam, adalah wajarlah sahabat islam mencaci orang Islam yang tidak menghormati.

apabila bukan Islam mahu menjalankan pemerintahan negeri yang dijaganya dengan cara mengikut negara berkebajikan dan berazam mencontohi kepimpinan Umar Abd Aziz adalah tidak wajar kita mencacinya. Adalah sangat tidak masuk akal orang seumpama ini yang perlu kita orang islam mencacinya.

Sebenarnya ramai golongan munafik sepanjang zaman. pagi Islam petang kafir, malam Islam pagi kafir mahu kita buang ke mana. Oleh itu kita jangan berbangga dengan islam baka dan Islam warisan kita dengan kita menganggap kita adalah lebih Islam daripada saudara seagama yang islam.






Bila bukan Islam dipuji, sesama Muslim dicaci!

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).

Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA

Penasihat Agama Institut Jantung Negara.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Zam: Pemikiran dengki, dendam dan dangkal serta dungu

Dengki dan dendam adalah sebahagian darah daging pemimpin Umno negara ini. Terbaru adalah dakwaan mantan Menteri Penerangan kabinet Pak Lah yang dibuang dan bekas orang kuat Utusan Meloya mendakwa PAS parti ekstrem.

Sepatutnya mereka lebih jantan bermain politik, dengan sikap tidak sayang mulut dan keceluparan mahukan sokongan Umno berterusan mereka akan gagal. umno terus mereput, sikap cari makan dan tanpa memikirkan kesan daripada kenyataan mereka keceluparan ini diteruskan.

Jika mahu dilabelkan ekstrem, Umno adalah lebih ekstrem daripada PAS itu sendiri. Dengan laungan Hidup Melayunya adalah satu slogan yang rasis dalam negara kita yang pelbagai kaum. Dalam hal ini tiada parti yang mempertikaikan laungan rasis Umno bersama pimpinannya.

PAS bukanlah parti ekstrem kerana semata-mata mahu menjalankan hukum Islam. Hudud adalah bukan hukum ekstrem. Dakwaan ini adalah dakwaan paling berat. PAS adalah sebuah parti verdaftar yang halal. Kerajaan sendiri menghalalkan pendaftaran PAS.

Ini adalah kenyataan bekas pimpinan yang dungu, dan bebal. Singkat pemikiran dan pendek akal, tidak dapat membedakan lawan politik yang berbeda asas perjuangannya.

Tuduhan ini adalah tuduhan berat, pemikiran ini adalah pemikiran macam AS dan Israel.



Pas parti ekstrem - Zam

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ketika mendedahkan perkara itu berkata, parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.

"Ini permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

"Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?" soalnya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-online.com yang disiarkan portal itu hari ini.

Selain menyelar Pas, Zainuddin menyifatkan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

Beliau memberitahu, UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah 'mengkafirkan' ahli-ahli UMNO.

"Selepas pendedahan ini, kita jadikan mereka (Pas) lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh kita (UMNO) perkauman sedangkan kita sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar," tegasnya.

Justeru, katanya, UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, katanya, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

"Menterinya (Singapura) yang terlibat akan dibuang dan jika diketahui rasuah, ada yang belum bicara lagi sudah bunuh diri. Bagaimana pula dengan DAP?" soalnya.

Baginya, PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja.

"PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas.

"Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas," tegasnya.

Sunday, August 29, 2010

Insaf dan sedarlah diri

Rahman Palil dan berapa prang ahli Umno Selangor perlu belajar. Penulis sarankan mereka ke Parlimen Beruas, belajar dengan ahli-ahli Umno Beruas Perak tentang sumbangan yang disampaikan oleh MP Nie Ching daripada DAP kepada Surau Al Huda Kajang Selangor.

Dengan ungkapan Islam dicabuli kerana tindakan Nie Ching laporan Berita TV1. Isu ini terus dimainkan. Tidak setakat itu Rahman Palil menempelak TGNA adalah bukan ulama, kerana TGNA katanya hanya bermain politik, yang berlaku di Selangor ini adalah katanya soal agama islam.

Malah seorang ahli Umno Selangor, kesal kerana TGNA menyatakan dia dan seluruh umat Islam berada dalam kejahilan. Beliau 'marah' kerana Nik Aziz telah menggolongkan orang yang tidak faham isu Nie Ching dan Suaru Al Huda itu sebagai berada dalam kejahilan. Biasanya yang makan lada dia rasa pedasnya.

Bagi kita kemarahan mereka itu adalah mengikut emosi, kerana mereka tidak jelas. Kitab dah pun menjelaskan Dr Asri sendiri matan mufti Perlis yang berkecuali juga menyatakan sependapat dengan TGNA. Walaupun Nik Aziz itu mereka anggap sebagai ulama politik bukan ulama sepenuhnya. Kenapa masih tidak terima dan kenapa mahu pertikaikan lagi.

Masalah ini sudah selesai. Sepatut ahli Umno yang kuat berkiblat dengan kebendaan, wajar membimcangkan soal harga barang, soal ekonomi negara yang tenat dan kritikal, soal kemajuan yang tidak maju bawah Najib. Kenapa soal agama sbesar itu mahu diperpanjangkan. Jika kita tiada ilmu jangan lah mahu menguji lautan yang dalam.

Maka insaflah dan sedar lah diri kita.

Umno: Semakin kelabu dan keliru

Semasa penulis berada di kampung di utara tanah air, pihak surau kampung penulis menerima sumbangan daripada MP Parlimen Beruas waktu itu iaitu Presiden Gerakan Lim Kheik Yik. Jumlah yang dihulurkan untuk surau dan jamuan berbuka opuasa penulis tidak tahu, tetapi semua penduduk kampung pergi ke majlis berbuka puasa itu.Kemudian seingat penulis beberapa kali pertemuan juga dibuat di surau.

Hari ini Perkasa menjadi wira dengan mengambil kesempatan untuk menggantikan wang jijik sumbangan MP berkenaan. Tetapi mereka reda dengan 'pemberian' dana tokeh-tokeh syarikat besar bernilai ratusan juta daripada syarikat yang tidak pasti halal haramnya. Jumlah nilainya besar, dan halal pula.

Inilah pemahaman politik Umno Apco dan Perkasa wang yang diberi kepada surau itu adalah jijik. Sebab ia adalah kerana surau, maka surau adalah agama.

Inilah pemahaman politik suku dan agama suku. Bila melibatkan surau dikira agama, melibatkan politik ia adalah hal kehidupan dunia. Ia tidak bercampur.

Kesian perkasa 53 tahun merdeka, fikiran mereka masih kolot sempit dengan politik rasis, kebangsaan jumud, 1Malaysia slogan basi ,mengabui mata rakyat.

Wira Perkasa mahu ganti sumbangan Nei Ching


ARMAN Azha Abu Hanifah (tengah) bersama beberapa NGO menunjukkan surat bantahan terhadap tindakan Teo Ching di Surau Al-Huda, Kajang, semalam.


KAJANG 28 Ogos - Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu menggantikan wang bernilai RM1,000 sumbangan Teo Nei Ching kepada kepada Jawatankuasa Surau Al-Huda Kajang Sentral supaya wang itu dipulangkan semula kepada Ahli Parlimen Serdang.

Ketuanya, Arman Azha Abu Hanifah menjelaskan, wang RM1,000 yang dihulurkan oleh Perkasa sendiri itu sebenarnya lebih wajar diterima kerana ia mewakili orang Islam sendiri.

''Pihak kami akan mencari ahli jawatankuasa surau berkenaan secepat mungkin supaya dengan penerimaan sumbangan ini maka mereka dapat memulangkan semula duit wakil DAP itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di hadapan Surau Al-Huda di Jalan Taman Kajang Sentral (TKS) 4 di sini hari ini.

Sumbangan RM1,000 tidak dapat diberikan kepada surau berkenaan hari ini kerana ketiadaan ahli jawatankuasa surau tersebut manakala surau itu turut dikunci.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki ruang solat surau berkenaan dalam satu majlis penyampaian sumbangan kepada ahli-ahli Pas.

Perbuatan itu telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dan dukacita dengan perkara itu.

Arman Azha berkata, Wira Perkasa turut kesal dengan tindakan Nei Ching kerana menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.

Katanya, tindakan Nei Ching yang menyampaikan 'tazkirah' di Surau Al-Huda jelas menunjukkan bahawa beliau telah melanggar titah Sultan Selangor supaya mana-mana surau dan masjid tidak boleh dijadikan pentas politik.

''Wira Perkasa berpendapat, Nei Ching sengaja menggunakan masjid sebagai landasan untuk berpolitik sedangkan orang bukan Islam ditegah untuk memasuki rumah ibadat ini tambahan pula di ruang solat,'' katanya.


Rasis: Guru dipersalahkan ?

Bila seseorang guru menghamburkan kemarahan kepada para pelajar yang bukan bangsa oleh guru berkenaan, ia dilabelkan sebagai rasis. Guru berkenaan akan dipersalahkan. Dan dalam hal ini apa yang dilakukan oleh seorang Pengetua SMK Kulaijaya Johor, yang berucap semasa perhimpunan dengan menghalau sebahagian pelajar bukan Melayu agar balik ke negara asal mereka adalah manifestasi rasa marah dan kecewa beliau dengan perlakuan pelajar bukan Melayu di sekolahnya.

Kita perlu siasat jangan terus dipersalahkan terhadap guru ini kerana mereka adalah kelompok yang teratas yang terus dineracakan keadilan oleh masyarakat. Kita bersetuju ketidakwajaran guru berkenaan bercakap seumpama itu terhadap pelajarnya, kerana beliau adalah 'kepala sekolah' yang menjadi suri teladan bagi menjana keperibadian masyarakat.

Siasatan terhadap ucapan itu hendaklah dilihat terlebih dahulu. Ini adalah soal perasaan yang terkadang luar kawalan jika ada unsur-unsur provokasi.



Kata-kata dan komen yang mencerca sesuatu kaum di sekolah bukan perkara baru dan perbuatan itu boleh dielakkan melalui pentadbiran secara adil, tegas dan telus, kata seorang ahli pendidikan terkenal hari ini.

P Ramanathan, yang juga bekas guru dan presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)-- kesatuan guru terbesar di negara ini -- berkata kenyataan berbaur perkauman merupakan perkara biasa bagi guru dan murid kerana ia sering diucapkan semua kumpulan etnik di negara ini.

“Lazimnya, ia merupakan suatu cara untuk melepaskan geram apabila wujud ketidakadilan dalam cara sesebuah sekolah itu ditadbir.

"Amalan dwistandard yang menyebelahi kumpulan tertentu juga menyebabkan timbulnya kenyataan dan komen sedemikian. Ada kumpulan guru dan murid dimarahi guru besar kerana menjalankan kegiatan tertentu, tatapi kumpulan lain yang melakukan kesalahan serupa pula, tidak dikenakan hukuman.

“Perkara seperti ini menimbulkan rasa kecewa dan menyebabkan keluarnya kenyataan seperti itu, cuma bezanya ada yang berbuat demikian secara terbuka, manakala sebahagian besar hanya berbisik dalam kumpulan etnik masing-masing," katanya kepada Bernama.

Ramanathan berkata sepanjang 35 tahun menyertai profesion perguruan dan melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kesatuan sekerja bersama NUTP, beliau dapati kebanyakan kes seperti itu ditangani berdasarkan peraturan sekolah.

“Kami tak pernah membawanya kepada media dan sering meyelesaikannya secara baik sesama kami, tanpa menimbulkan kekecohan," katanya.

Ramanathan berkata demikian bagi mengulas kes seorang pengetua sekolah di Kulaijaya, Johor, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap murid bukan Melayu pada majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan di SMK Tunku Abdul Rahman pada 12 Ogos.

Beliau berpendapat tindakan menukar guru yang melakukan kesalahan ke sekolah lain tidak akan menyelesaikan masalah kerana guru seperti itu mempunyai penyokong dalam kalangan kakitangan dan murid.

Ramanathan berkata berdasarkan pengalaman beliau, tindakan menukar guru berkenaan akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah sedia ada.

Oleh itu, beliau menggesa kementerian berkenaan supaya sentiasa memantau pentadbir sekolah untuk memastikan mereka menangani semua urusan berkaitan murid, ibu bapa dan guru secara profesional.

Beliau juga menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya turut memainkan peranan penting berhubung perkara itu.

- Bernama