Wednesday, September 01, 2010

Islam sempit atau disempitkan islam ?

Dalam pemimpin negara-negara lain sedang rancak 'memasarkan' islam, pimpinan dan pemimpin negara kita masih lagi memperkatakan soal perkauman dan soal kejumudan keagamaan sempena kemerdekaan negara yang menjangkau 53 tahun.

Diluar negara pemimpin besar Mummar Gaddafi mendapat sambutan luarbiasa dengan menjemput bukan Islam mendengar syarahan kali keempat tentang Islam, Dilaporkan seramai 500 orang wanita muda Itali datang ke majlis berkenaan. Mereka dihadiahkan dengan senaskkah Quran terjemahan ke BI bagi ditatap. Inilah jiwa seorang pemimpin yang membawa sama islam bersama-samanya walaupun berada di luar daripada negara nya.

Sebaliknya, pemimpin - pemimpin negara kita yang beragama Islam. Agama Islam dirasmikan sebagai bahasa rasmi negara bertindak kebelakang. Caranya menakut-nakutkan bukan Islam dengan kejumudan cara berfikir. Pimpinan negara ini menganggap Islam adalah hak peribadi dan hak orang Melayu yang berkekalan milik mereka. Jangan ada sebarang pencanggahan amalan kelaziman , Maka ia akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap islam dan umatnya.

Isu khutbah dan masuk ke surau menjadi bahan perdebatan luarbiasa. Malah satu peraturan mahu diperincikan bagi mentatacarakan bukan Islam untuk mendampingi Islam. Perbuatan menakut-nakutkan Islam terhadap Islam akan menjauhkan bukan islam terhadap Islam. Mana dakwah islam kita terhadap mereka.

Bukti keresahan itu, disokongi dengan tulisan-tulisan yang berbaur sokongan sempit mengetatkan peratuaran bukan islam mendekati Islam. Ikuti tulisan dalam Utusan malaysia seperti di bawah ini.


Provokasi berbaur perkauman

Sejak akhir-akhir ini, beberapa tindakan provokasi berbaur perkauman dan agama oleh segelintir pihak di Malaysia telah dilaporkan oleh kebanyakan akhbar perdana tempatan. Antara contoh-contoh 'benar' dalam hal ini adalah tindakan khatib jemputan di sebuah masjid di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam dalam doa khutbahnya, tindakan ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Selangor yang membenarkan ahli politik bukan Islam memasuki ruang solat utama dalam masjid dan surau, serta tindakan berulang kali oleh bekas pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan, Namewee mengubahsuai lagu kebangsaan 'Negaraku' yang mengandungi unsur-unsur yang mencemar imej Malaysia serta turut menyentuh sensitiviti peribadi individu tertentu, orang Melayu, dan agama Islam di negara ini.

Sebagaimana biasa, persepsi awal terhadap semua insiden ini sudah boleh dijangka. Khatib jemputan terbabit mempertahankan tindakannya atas alasan bahawa tidak menjadi satu kesalahan besar jika mendoakan seseorang yang bukan Islam supaya diberi petunjuk dan hidayah, walaupun sudah jelas bahawa dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri tersebut mesti disebut dalam setiap sesi khutbah termasuk dalam doa oleh khatib yang bertugas.

Ahli politik bukan Islam pula mempertahankan tindakan mereka dengan alasan bahawa mereka datang untuk memenuhi jemputan oleh ahli jawatankuasa masjid tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing. Mereka juga mendakwa bahawa insiden ini sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Manakala Namewee pula mempertahankan tindakan beliau dengan alasan ia hanyalah untuk 'mencipta' sesuatu yang unik dan baru, bertujuan mengembangkan bakat kreatifnya dan supaya dia dikenali ramai. Sememangnya hari ini, Namewee sudah pun dikenali ramai termasuk di Malaysia, khasnya dalam kalangan para pembuat dasar termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Penerangan dan Perdana Menteri sendiri.

Apa yang jelas di sini adalah semua tindakan provokasi itu dilakukan atas alasan untuk menggunakan hak dan kebebasan bersuara dalam konteks sistem demokrasi. Kerajaan juga setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan susulan walaupun insiden sebegini telah berulang kali berlaku. Antara alasan yang biasa diberikan adalah kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu semua insiden tersebut dan kemudiannya berunding dengan parti-parti bukan Melayu kerana 'pelakunya' ialah orang bukan Melayu, manakala 'mangsanya' pula ialah orang Melayu.

Tetapi kalau 'pelakunya' ialah orang Melayu sendiri, maka sudah tentu 'secepat kilat' tindakan tegas diambil bagi menangani sebarang insiden sedemikian rupa. Apa yang jelas di sini ialah memang agak sukar untuk membuat sebarang keputusan terhadap isu-isu provokatif jika ia membabitkan selain daripada orang Melayu dan Islam.

Ini kerana jika tersalah pertimbangan, orang bukan Melayu, yang selama ini memberi sokongan kepada kerajaan sudah pasti akan 'terasa' pedih hati walaupun dalam sesetengah insiden yang sedemikian, mereka memang bersalah. Apa yang boleh kita lihat, sebarang bentuk tindakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyelesaikan insiden-insiden seperti itu boleh dianggap seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak'.

Biasanya, usaha penyelesaian masalah secara 'menarik rambut dalam tepung ini' sangat cerewet dan rumit. Ini mungkin kerana 'rambut' yang ingin 'ditarik' tersebut mungkin sudah 'reput', manakala 'tepung' yang ingin dijaga supaya tidak 'selerak' itu mungkin sebenarnya sudah 'keras'.

Kita tidak menafikan perlunya hidup bertolak ansur dalam konteks masyarakat berbilang kaum tetapi peranan dan tanggungjawab kerajaan selaku 'pemerintah yang tegas dan bijaksana' tidak wajar sekali dipinggirkan. Dalam hal ini, pihak yang benar perlu dibela, manakala pihak yang secara terang-terang melakukan kesalahan mesti dihukum dengan sewajarnya tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Semua insiden yang disebutkan sebelum ini adalah benar berlaku, manakala 'pelapornya' pula tidak mempunyai sebarang niat yang terselindung.

Masjid dan surau adalah rumah Allah SWT yang suci lagi bersih dan perlu dihormati. Orang bukan Islam, tidak kira dari mana-mana parti politik pun tidak boleh memasuki ruang solat utama masjid dan surau hanya kerana mereka ini 'berhadas besar'. Sebaliknya, mereka boleh memasuki ruang di sekitar kawasan masjid, dan bukannya di ruang utama solat.

Nama ketua agama negeri, sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan mesti disebut oleh khatib dalam setiap sesi khutbah yang dijalankan.

Tindakan menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam tidak pernah berlaku sebelum ini, dan orang yang menyebutnya sudah pasti ada maksud 'negatif' yang terselindung walaupun orang itu bergelar 'ustaz' atau 'tok guru'.

Sebagai rakyat Malaysia pula, adalah tidak salah untuk menjadi kreatif dalam pelbagai bidang seni termasuk muzik dan mengubahsuai lagu. Tetapi, apakah dengan tindakan 'memperolok-olokkan' lagu kebangsaan negara sendiri dengan unsur-unsur mencemar imej negara, individu tertentu, orang Melayu dan agama Islam boleh menjadikan seseorang itu kreatif?

Apa yang jelas di sini adalah Namewee ialah seorang yang sangat kreatif, tetapi beliau juga seorang yang sangat tidak beradab sopan terhadap negaranya sendiri.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu provokatif berbaur perkauman dan agama sebagaimana yang sedang 'hangat' melanda negara ketika ini.

Kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga ke saat akhir untuk mengambil tindakan kerana ia dikhuatiri mungkin agak terlewat. Kegagalan kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam hal ini akan memberi gambaran negatif dalam kalangan rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam di negara ini bahawa mereka akan terus menjadi punching bag di negara sendiri, manakala bagi orang bukan Melayu pula, adalah tidak mengapa menjadikan orang Melayu dan agama Islam sebagai bahan kreatif dan senda gurau atas alasan hak dan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi.

Kita perlu ingat bahawa demokrasi adalah untuk semua, bukan untuk satu golongan sahaja. Hak kebebasan bersuara dan hak untuk kreatif dalam muzik tidak bermakna kita boleh mencemarkan imej negara sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia


No comments: