Friday, March 28, 2014

POLITIK PERKAUMAN YANG MEMBUSUKKAN HIDUPAN MANUSIA DAN KEMANUSIAAN


Bancian Di Myanmar Yang Bakal Mencetuskan Ketegangan Baru

Diterbitkan: Rabu, 26 Mac 2014 5:18 PM

Etnik Rakhine Di Myanmar membantah kehadiran masyarakat Rohingya yang mereka anggap sebagai pendatang asing.
YANGON: Kali terakhir Myanmar menjalankan bancian kebangsaan ialah 30 tahun yang lalu dan tahun ini, ketika negara itu sedang dalam proses transisi dari pemerintahan junta tentera kepada kerajaan awam, Myanmar akan sekali lagi melancarkan bancian bagi menentukan jumlah sebenar penduduknya. Namun adalah dikhuatiri eksesais ini akan mencetuskan ketegangan baru di kalangan masyarakat berbilang etnik Myanmar yang sudah pun bermusuhan antara satu sama lain sejak berabad lamanya.
Myanmar melihat bancian yang bakal dijalankan ini sebagai satu eksesais yang sangat penting bagi membolehkan mereka merancang masa depan pembangunan negara itu dengan lebih teliti dan tersusun khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial.
Tidak ada siapa pun yang mengetahui dengan sebenarnya berapakah jumlah penduduk Myanmar buat masa ini.
Umum pada asasnya menerima jumlah 60 juta orang sebagai angka yang paling hampir tetapi itu berasaskan kiraan daripada bancian terakhir yang dilakukan 30 tahun yang lalu.
Angka tersebut menurut para pakar tidak termasuk jumlah masyarakat Islam Rohingya yang dianggap bukan sebagai warganegara oleh kebanyakan warga Myanmar dan etnik majoriti yang lain.
Walaupun masyarakat Rohingya telah berhijrah ke Myanmar sejak berabad lamanya tetapi generasi mereka seterusnya masih dilihat senagai pendatang dan bukannya warganegara Myanmar.
Menurut rancangan kerajaan Presiden Thein Sein, di bawah bancian yang bakal dijalankan itu, sejumlah 100,000 orang petugas akan bergerak ke seluruh pelusuk negara itu mulai 30 Mac ini hingga 10 April bersama-sama dengan 41 soalan yang mesti dijawab oleh setiap isi rumah.
Hasil daripada bancian dan jawapan yang diperolehi melalui 41 soalan ini, akan membantu pembuat dasar menentukan apa bentuk sumber yang diperlukan untuk membangunkan negara ini daripada soal pelajaran, kesihatan sehinggalah kepada perumahan dan pengangkutan. Maklumat ini juga akan membantu pelabur luar dalam membuat keputusan untuk melabur.
Namun bancian ini berhadapan dengan satu masalah besar iaitu soalan tentang bangsa dan etnik telah pun mencetuskan ketegangan terutama di wilayah Rakhine di utara, yang hubungan tegang antara mereka dengan etnik Rohingya selalunya berakhir dengan keganasan dan kematian.
Sejumlah 280 orang telah terbunuh manakala 140,000 orang lagi dipaksa untuk meninggalkan rumah kediaman mereka ekoran keganasan antara dua etnik ini.
Juga, etnik Rakhine khuatir etnik Rohingya akan menggunakan proses pengumpulan maklumat mengenai latarbelakang etnik ini boleh membuka laluan kepada mereka untuk menuntut hak kewarganegaraan yang selama ini ditentang oleh etnik-etnik yang lain.
Penentangan ini sudahpun bermula dengan masyarakat dari etnik Rakhine melancarkan protes di Sittwe, Rakhine pada 16 Mac lalu. Beribu orang dari etnik ini termasuk sami Buddha berarak memprotes untuk tidak membenarkan masyarakat Islam di negeri Rakhine menulis perkataan etnik Rohingya sebagai satu bangsa di dalam borang bancian itu nanti. \
Walaupun daripada 135 senarai etnik dan suku kaum di dalam borang bancian itu tidak tertulis nama etnik Rohingya, tetapi terdapat ruangan yang tertera "Lain-lain Bangsa" - yang etnik lain khuatir akan digunakan sebagai alasan kukuh untuk mengiktiraf kehadirian mereka (Rohingya) secara sah di negara itu.
Oleh yang demikian etnik Rakhine telah pun mengumumkan yang mereka akan memboikot bancian tersebut jika etnik Rohingya dibenarkan menulis nama etnik mereka di dalam borang bancian tersebut.
Untuk menambah burukkan keadaan, mereka telah menerima sokongan daripada kumpulan sami radikal Wirathu, yang sebelum ini telah menjelajah ke seluruh negara untuk mengingatkan betapa bahayanya bancian ini untuk masa depan Myanmar.
Zaw Aye Maung, pengerusi Parti Demokrasi Nasionaliti Rakhine yang juga menteri hal ehwal Rakhine untuk wilayah Yangon berkata, bancian ini dianggap berbahaya kerana ia akan digunakan oleh etnik Rohingya untuk "mengesahkan status kewarganegaraan mereka' di Myanmar.
"Ini akan mencetuskan kekusutan pada masa hadapan," tegasnya. Kini adalah dianggarkan 1.3 juta Rohingya menetap di Myanmar.
Kerajaan Myanmar secara rasminya tidak menganggap mereka sebagai sebahagian daripada etnik Myanmar tetapi sebaliknya adalah imigran Bangladeshi.
Status mereka di Myanmar adalah sebaik warga tanpa negara.
Akibatnya, perjalanan mereka terhad dan mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan yang berterusan dan segala keperluan asas yang dinikmati oleh seorang warganegara.
Namun begitu, Daniel Gray, seorang analis Asia untuk sebuah firma British, Maplecroft berkata, terdapat juga kebimbangan di kalangan pemimpin dan pembuat dasar, jumlah penduduk Rohingya yang semakin membesar akan meninggalkan impak yang juga besar ke atas pola sosio-ekonomi negara itu kerana ia juga bermakna angka dan peraturan masyarakat Islam akan bertambah dalam sebuah negara yang didominasi oleh penganut fahaman Buddha.
 
Bancian 1983 menunjukkan penganut agama Islam mewakili empat peratus daripada populasi keseluruhan Myanmar. Jumlah tersebut sudah tentulah bertambah satu kali ganda atau dua kali ganda sekarang.
Jika trend ini berterusan mengikut Gray, sudah tentulah ia memberi ancaman kepada masyarakat berfahaman Buddha di negeri itu.
Dan kumpulan ekstremis mungkin akan menggunakan data terbaru dari bancian ini sebagai sebab untuk melancarkan keganasan terhadap satu kumpulan yang lain.
Buat masa ini adalah dipercayai, etnik minoriti membentuk 40 peratus daripada populasi Myanmar.
Dan mereka juga merungut yang mereka tidak dibawa berunding terlebih dahulu dalam proses bancian yang akan dijalankan ini.
Keseluruhannya, terdapat 135 ruang petak untuk responden menandakan mereka berasal dari kumpulan etnik mana.
Maka mereka mempunyai asas yang kukuh untuk mempercayai bahawa sistem klasifikasi itu akan digunakan untuk kepentingan politik.
Malah dalam beberapa kes tertentu, kumpulan etnik yang disenaraikan di dalam petak klasifikasi etnik di dalam borang bancian itu nanti mempunyai pula sub-divisyen tertentu.
Misalnya untuk etnik utama Chin, mempunyai pecahan 53 sub-divisyen pula mengikut suku-suku tertentu, yang mana biasanya nperkampungan atau suku kaum mana.Kumpulan etnik yang pelbagai di Myanmar merungut yang bancian ini akan memecah belahkan lagi suku kaum masyarakat Myanmar dan rasa sangsi terhadap rancangan kerajaan untuk mencapai perdamaian dengan etnik-etnik yang berbalah di wilayah yang jauh berhampiran dengan sempadan.
Etnik Kachin misalnya khuatir tindakan ini akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan suku kaum yang lebih kecil dan oleh yang demikian memecah belahkan lagi hubungan antara etnik di negara itu.




No comments: