Sunday, May 25, 2008

Pulau Batu Putih..putihlah mata kita ?

Keputusan Pulau Batu Putih, isu tuntutan pertindihan antara Malaysia dan Singapura. Ironisnya, keputusan ICJ sudah dijangkakan, dengan undian 14-6. Ini membuktikan hujahan daripada Pasukan Malaysia adalah lemah.
Semasa penulis sedang melanjutkan pelajaran disalah sebuah IPTA negara, pensyarah penulis ada berbincang sesama penulis dan rakan dalam kelas tentang Pulau Batu Putih, Beliau adalah salah seorang yang dirujuk oleh kerajaan Malaysia. malah rakan seakademik beliau iaitu Prof Dr Saripah daripada Jabatan Geografi UKM adalah salah seorang ahli Pasukan Malaysia.
Menurut, beliau persediaan daripada Pasukan Singapura sahaja sudah melemahkan mental pasukan Malaysia. Dengan barisan panel Pasukan Singapura yang tersusun nama hebat-hebat belaka dan mereka sanggup mengupah dengan nilaian ratusan ribu Singapore dollar bagi mengalahkan Malaysia.
Jika diikutkan apalah ada dengan Pulau Batu Putih, tetapi bagi jangkapanjang, imej, serangan moral dengan Malaysia , kerajaan Singapore sanggup lakukan apa sahaja bagi menggambarkan Singapura yang kecil yang dikelailingi oleh jiran yang besar kaya dan mewah hasil bumi terpaksa tunduk dan berlutut dengan Singapura yang kecil ini.
Moralnya, kerajaan Singapura mahu menjadi jaguhan, taiko, negara kecil serpihan malaysia ini jangan dipandang mudah dan diperkotak katikkan oleh nagara jiran. hasilnya kejayaan mereka ke atas pemilikan kekal Batu Putih telah melonjakkan moralk rakyat negaranya. Kekal imej , tampak hebat kempimpinan negara, walaupun kecil menjadi singa dan bersedia pada bila-bila masa akan menerkam mangsa jika mangsa itu alpa.
Pimpinan kita mudahnya, minta terima sahaja keputusan ICJ dan mudah berpuashati begitu sahaja... Inilah jenis pimpinan negara kita.......Itulah hebatnya Singapura bersama kepimpinannya.....


JOHOR BARU: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah, berkemungkinan mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman beliau berkata, isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.

"Saya percaya kerana keputusan mahkamah sebegitu rupa sehingga berkemungkinan ada pertindihan kawasan sempena dengan kedaulatan yang telah pun diberikan kepada Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah dan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh.

"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang bahan-bahan reka bentuk lanskap Masiff Design di sini, hari ini.
ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura menetapkan bahawa negara jiran itu mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Berdasarkan penghakiman, keputusan ICJ terhadap Pulau Batu Puteh itu dibuat merujuk surat pegawai yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 yang dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu kepada Singapura.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatin adalah milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura.

Jarak antara Terumbu Karang Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km manakala Terumbu Karang Selatin dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km.

Abdul Ghani berkata, kini jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan oleh kedua-dua negara untuk mengkaji kesan perundangan dan melaksanakan keputusan ICJ itu perlu menyelesaikan dahulu isu pertindihan hak kawasan terbabit.

Ditanya sama ada kerajaan perlu bertindak membesarkan Terumbu Karang Tengah melalui kaedah penambakan bagi membolehkan ia dihuni manusia, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan keputusan itu kepada kerajaan pusat.
Dengan penyelesaian oleh ICJ terhadap tuntutan bertindih di tiga pulau itu, Abdul Ghani berkata, selepas ini tidak timbul lagi isu berbangkit berkenaan pemilikan dan kedaulatan melibatkan pulaupulau lain di perairan Johor, termasuk Pulau Pisang.

"Kedaulatan dan hak milik Pulau Pisang adalah jelas, pendaftaran tanah (Pulau Pisang) itu adalah jelas hak milik Johor," katanya.

Pulau Pisang yang terletak di perairan Pontian itu turut menempatkan sebuah rumah api yang kini diuruskan oleh pihak berkuasa Singapura.

Di Melaka, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berharap jawatankuasa teknikal bersama Malaysia dan Singapura dapat menentukan sempadan baru perairan dengan secepat mungkin.

"Sempadan perairan ini penting untuk nelayan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baru Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggantikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat lebih 1,500 nelayan di Pengerang, Johor yang selama ini berharap untuk beroperasi di kawasan Pulau Batu Puteh, tidak kesampaian berikutan keputusan ICJ itu.

Katanya, Jabatan Perikanan juga menubuhkan satu pasukan untuk memperhalusi implikasi keputusan ICJ.
"Cuma kita berharap, ada beberapa perkara yang belum lagi diputuskan seperti Terumbu Karang Selatin, zon ekonomi eksklusif dan sempadan perairan, itu perlu diperhalusi," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berharap rakyat Malaysia khususnya di Johor dapat menghormati keputusan badan antarabangsa itu.

"Kita sudah guna landasan yang betul iaitu landasan antarabangsa. Mereka sudah buat keputusan, kita perlu hormat. Rakyat perlu bertenang dan terima keputusan ini sebaik mungkin," katanya.

Walaupun keputusan yang diputuskan oleh ICJ berhubung Pulau Batu Puteh tidak berpihak kepada Malaysia, diharapkan kerjasama antara keduadua negara ini dapat diteruskan bagi mengekalkan keharmonian yang telah lama terjalin. BERNAMA

Thursday, May 22, 2008

"Kembalilah Tun.." MT Umno Cetak E-mail
Oleh Bernama
Khamis, 22 Mei 2008

KL: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Umno berharap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat kembali kepada Umno suatu hari nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mesyuarat itu telah mengambil maklum bahawa Dr Mahathir telah mengutus surat secara rasmi untuk keluar parti.

"Saya bersedia menemui Tun pada bila-bila masa tetapi kini kita tahu pendirian dan kedudukan beliau. Jadi kita biarkan begitu buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam yang dipengerusikan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu malam.

Isnin lepas, Dr Mahathir mengumumkan keputusannya untuk keluar parti kerana beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang didakwanya gagal membela nasib orang Melayu di negara ini, dalam satu majlis politik di Alor Star, Kedah.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata mesyuarat khas itu turut membincangkan rangka pelan pemulihan politik Umno yang akan dijadikan landasan untuk bergerak dengan bersungguh-sungguh bagi memperkasakan parti serta mengembalikan kepercayaan anggota parti dan rakyat.

Selain itu, Najib berkata MT juga memutuskan untuk terus memberi sokongan kepada Abdullah untuk terus memimpin dan mengembalikan keyakinan anggota parti. Berhubung dakwaan terdapat anggota lain yang mengikut jejak Dr Mahathir keluar parti, Najib berkata setakat ini Umno belum menerima surat lain.

Ketika ditanya apakah MT ada membincangkan soal peralihan kuasa antara beliau dengan Abdullah, Najib menjawab,"tak ada dibincangkan, itu antara saya dengan Perdana Menteri."

Mengulas mengenai pendirian MT terhadap anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dikatakan tidak menghormati Presiden parti, beliau berkata MT juga tidak membincangkan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Pergerakan Pemuda.

"Perkara itu tidak dibincangkan hari ini. Kita akan dibimbing oleh Exco Pemuda," katanya.

Beliau berkata MT masih yakin dan percaya anggota parti amat setia kepada Umno dan akan terus kekal dalam Umno dan sekiranya ada masalah, perkara itu akan diselesaikan di dalam parti.


"Undi tidak yakin untuk guling BN" Anwar

"Undi tidak yakin untuk guling BN" Anwar Cetak E-mail


PEMPIMPIN Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata satu undian tidak yakin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah 'pilihan terbaik' untuk menggulingkan parti yang memerintah negara itu.

'Anda gunakan cara berperlembagaan untuk membuktikan sokongan majoriti dewan rakyat untuk mengetengahkan usul bagi mengalahkan perdana menteri itu,' kata Datuk Seri Anwar kepada wartawan di Singapura semalam.

Datuk Seri Abdullah, 68 tahun, kini menghadapi lebih banyak tekanan untuk meletakkan jawatan selepas parti campuran kerajaan yang dipimpin beliau, Barisan Nasional (BN), kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Keputusan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, 82 tahun, untuk keluar daripada Umno Isnin lalu adalah satu daripadanya.

Datuk Seri Anwar, yang memimpin pakatan tiga parti pembangkang utama Malaysia dan memerlukan 30 kerusi lagi dalam parlimen untuk mendapatkan kuasa majoriti, pula sedang cuba memujuk lebih ramai anggota parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, yang memenangi lima daripada 13 negeri dalam pilihan raya lalu.

Beliau, yang mengaku sudah memperolehi sokongan diperlukan bagi menjadi perdana menteri, bagaimanapun berkata beliau tidak akan berkhidmat dalam jawatan itu melebihi sedekad.

'Jika anda tidak dapat membawa perubahan bermakna dalam masa 10 tahun dalam jawatan, sudah tiba masanya untuk beredar,' kata Datuk Seri Anwar.


Analisis: Pilihan raya umum tergempar tidak mungkin?


SELEPAS 24 jam negara dikejutkan dengan 'bom politik' Tun Dr. Mahathir Mohamad, persoalan mengenai punca dan sebab yang membawa kepada tindakan keras lagi muktamad bekas Perdana Menteri itu masih belum jelas.

Meskipun Dr. Mahathir sudah menjelaskan dengan panjang lebar sebab berhubung pendiriannya termasuk menerusi blognya, tetapi ia masih kurang meyakinkan ramai.

Di sebalik persoalan-persoalan itu, termasuk sama ada siapa lagi yang akan membarisi keputusan Dr. Mahathir juga masih belum jelas. Setakat tengah hari tadi, empat orang sudah jelas dengan pendirian mereka.

Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, bekas Setiausaha Agung Ummo, Tan Sri Sanusi Junid dan pemimpin veteran dari Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah.

Kemungkinan beberapa pemimpin Umno yang tidak sebaris dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah pasti akan berbuat demikian.

Sedang rakyat masih mencari arah untuk menerima keputusan Dr. Mahathir, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam melontarkan idea bahawa negara akan berdepan dengan satu lagi pilihan raya umum, kali ini pilihan raya tergempar pula.
Oh! Sudah!

Kata beliau, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, tindakan Dr. Mahathir kemungkinan memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan pilihanraya umum sekali lagi.

Negara baru sahaja mengadakan pilihan raya umum ke-12 iaitu pada 8 Mac. Tempoh mandat yang diperoleh masih belum cukup 100 hari.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. BN hanya menguasai 140 kerusi manakala pembangkang pula 82 kerusi, sekali gus muncul desas-desus bahawa budaya melompat parti akan menjadi kenyataan bagi membolehkan barisan pembangkang, Pakatan Rakyat membentuk kerajaan peringkat persekutuan.

Malah, Shahrir, antara pengkritik kuat ketika krisis Umno 1987/88 menambah, keputusan Dr. Mahathir itu boleh mengakibatkan situasi di mana ramai ahli Parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan.

Beliau, kini Ahli Parlimen Johor Baru, juga berpandangan kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menubuhkan sebuah kerajaan baru atau mengadakan pilihanraya umum baru.

Bagaimanapun Presiden Pergerakan Just, Dr. Chandra Muzaffar, yang mengikuti perkembangan politik sejak empat dekad lalu menolak andaian sedemikian.

Sambil memberikan dua sebab, kata beliau, pembubaran Parlimen untuk memanggil pilihan raya tergempar adalah sesuatu yang tidak akan berlaku.

Pertama, jelas beliau, ahli-ahli Parlimen BN khususnya Umno tidak akan berbuat demikian dengan mengambil kira keperluan kedudukan dan status bagi mereka sebagai ahli politik.

Kedua, situasi semasa hanya merupakan isu kepimpinan, bukannya isu yang membabitkan BN secara keseluruhan.

"Oleh itu, saya merasakan tidak mungkin, tidak mungkin pilihan raya tergempar akan diadakan," katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu mStar Online, kerajaan baru meskipun berusia kurang daripada tiga bulan masih boleh dibubarkan.

Jadi, kerajaan persekutuan pimpinan Abdullah tidak ada halangan untuk berbuat demikian jika desakan dan keperluannya wujud.

Tetapi persoalan ialah adakah wujud keperluan dan desakan untuk berbuat demikian sudah mula wujud? Nampaknya, pandangan Chandra juga boleh diterima.

Malah ketika Umno menghadapi krisis kepimpinan 'mirip isu semasa' pemimpin Umno dan BN ketika itu, Dr. Mahathir sendiri tidak pernah membubarkan Parlimen.

Pilihan raya hanya diadakan pada tahun 1990 meskipun krisis sudah mula wujud sebaik sahaja pilihan raya umum 1986.

Tambahan pula ketika itu Umno dan BN tidak berhadapan dengan isu politik besar seperti sekarang di mana majoriti di Parlimen mengecil dan berhadapan dengan saingan pembangkang dan kehilangan kuasa kerajaan negeri di lima buah negeri.

Bagaimanapun pandangan Shahrir yang mengakui perkembangan terbaru sudah pastinya tidak membantu keadaan dalam Umno sekarang, lebih-lebih lagi ketika pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar (bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno) mendakwa beliau boleh menarik ahli-ahli Parlimen Bn melompat parti.

Perkembangan tersebut tegas beliau boleh mengurangkan jumlah ahli Parlimen dari Umno yang menjadi parti dominan BN, yang memerintah sekarang.

Pastinya Abdullah juga tidak mahu mengambil caturan politik yang digerakkan oleh Dr. Mahathir.

Jika Abdullah bertindak memanggil pilihan raya tergempar sekarang sudah pasti ia sama sekali tidak akan memanfaatkan BN dan Umno.

Sebaliknya ia boleh membawa kesan yang lebih buruk ketika wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak sudah memberikan kata dua dalam tuntutan mereka dan membuka ruang yang luas kepada tindakan melompat parti.

Tuesday, May 20, 2008

Sandiwara Dr M dan UMNo belaka ?

Kegemparan semalam dalam kancah politik negara, Dr M keluar UMNo. Dr M memberi sebab kerana Pak Lah masih menjadi PM. Alasan lain kerana ' this man don't no anything'.

Justeru, jika itulah keyakinan Dr M, Pak Lah juga boleh kata dan cakap . Dia tidak akan letak jawatan sebagai PM dengan syarat Dr M jangan masuk UMNO lagi.

Maka lakonan dan sandiwara dalam Umno tiadalah kesudahannya. Walaupun kata-kata Dr M itu terbit daripada lubuk hati dan keikhlasannya maka kita jangan rasa sedap sangat. Tugas kita kena diteruskan , apa yang terjadi adalah sebagai satu bonus, pejuang Islam dan rakan-rakan sealiran teruskan usaha bersungguh-sungguh, jangan lari daraipada landasan, tunaikan kebajikan kepada rakyat dengan sebaiknya. jadilah kita lebih baik hari nii daripada semalam dan kita lebih baik dari mereka.

Maka perjuangan ini untuk segala-galanya. Tetapi segala-galanya itu adalah untuk perjuangan kita.



Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru

Hari ini 16 Mei adalah Hari Guru. Dengan bertemakan Guru Cemerlang Negara Terbilang. Maka rata-rata sekolah bersama pelajar dan ibubapa PIBg bersama-sama menyusun sambutan peringkat sekolah masing-masing dengan pelbagai aktiviti dan program.
Maka tidak kiralah program itu berbentuk bagaimana, moralnya mesti disi dengan program memenuhi sambutan Hari Guru.
Sebagai bapa penulis merakamkan terima kasih kepada semua guru di Malaysia.. terima kasih cikgu.. Ini kerana penulis juga mempunyai guru yang mengajar untuk memanusiakan diri penulis.
Selamat bertuigas wahai guru-guru ku

Pakar kata sakit UMNO ..tinggal 2 ke 3 bulan bawa maut ?

Hujan yang disangka sampai ke petang tiba-tiba mendung tengah hari. Nasib UMNO dan BN semakin lebat dan hebat diperkatakan, ini menyebabkan ia bertambah sesak. Usianya semakin dikira dan dihitung dengan caountdown tarikh yang amat mengerunkan dirinya.
Apa pun ia sedang berusaha keras dengan mengadakan 'rawatan' susulan. Tidak mungkinlah orang yang banyak duit macam UMNO Bn ambil doktor biasa sahaja untuk merawatnya, tentulah doktor pakar luar negara sebagai pilihannya.
UMNO Bn tidak tertarik dengan rawatan cara hemodailisi doktor tempatan, dan pandangan pakar tempatan pun mahu dikesampingkan.
Hari ini orang yang mahu diterima masihat , bukan sahaja memberi pandangan menakutkan serta meninggalkan trauma kepada pesakit , tentang situasi sakitnya. Tetapi pandangan pakar ini menambahkan keparahan sakit dan trauma pesakit yang mahu dirawat. Pakar ini memberi pandangan bahawa mengikut firasat sakit nya itu dua bulan pun boleh mati,
Wah ! kegelabahan semakin parah jadinya, pandangan pakar ini mungkin diberi secara ikhlas bahawa sakit seumapa ini tiada harapan,dan signal lain mungkin pakar ini minta segera dapatkan rawatan pakar atau usahakan dengan apa-apa jalan supaya sakit ini diubati. Moralnya jangan tangguh lagi.
Semalam dan dua tiga hari belakangan ini, sakit UMNO berjangkit pada MCA regu molek , kelas dua layanan UMNO selama ini, bertambah parah dan nazak juga sakitnya. masing-masing tidak mahu mengaku siapa yang bawa penyakit berjangkit sekuat virus JE itu meresap dalam partinya. Masing-masing tunding menunding ?
Maka kita saksikanlah episod akan datang ?

Kerajaan 2 bulan pun boleh dibubar - SPR

Kerajaan semasa sama ada peringkat negeri dan persekutuan, yang berusia kurang tiga bulan, boleh dibubarkan bila-bila masa jika parti memerintah merasakan perlu berbuat demikian untuk mendapatkan mandat segar.

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kerajaan semasa jika berhasrat untuk membubarkan Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuka laluan bagi pilihan raya tergempar.

"Tiada peruntukan undang-undang yang mengatakan pembubaran tidak boleh dibuat (dalam masa tiga bulan selepas kerajaan dibentuk), tiada undang-undang," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau, menjadi budi bicara Perdana Menteri untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.Begitu juga bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Gabenor, kata beliau.

Negara tidak pernah menyaksikan perkembangan seumpama itu sebelum ini, tetapi peruntukan undang-undang tidak menghalang kerajaan semasa berbuat demikian.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan 15 bulan sebelum mandat tahun 2004 berakhir.Meskipun pilihan raya umum diadakan 8 Mac lalu tetapi mandat kerajaan semasa persekutuan bermula hanya apabila Parlimen mula bersidang.
Parlimen ke-12 mula bersidang 29 April lalu dan penggal pertama mesyuarat akan berakhir 27 Mei ini. Beberapa negeri juga telah mula mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Wan Ahmad mengulas demikian ketika ditanya sama ada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh dibubarkan meskipun berusia kurang daripada tiga bulan ketika 'suasana politik tidak menentu' ekoran dakwaan melompat parti akan berlaku dalam waktu terdekat.

Cakap-cakap mengenai isu berkenaan kini muncul ekoran dakwaan Pakatan Rakyat cuba memancing ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan baru persekutuan.

Ia juga muncul isu hangat di Dewan Rakyat sejak minggu lalu dengan beberapa wakil rakyat dari Sabah memberi 'kata dua' kepada kerajaan persekutuan agar memenuhi tuntutan mereka sebelum September ini.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN kehilangan kerusi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dengan hanya memenangi 140 bahagian manakala barisan pembangkang pula mendapat 82 bahagian Parlimen.

Selain itu, BN juga kehilangan kerajaan di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan.

Thursday, May 15, 2008

Moral UMNO ?

Sejak bila pula UMNo adalah 'pejuang moral'. Sejak bila pula UMNo mula mencakna 'moral'. Bercakap soal moral dan membandingkan moral BN dan pemimpin BN adalah mengumpamakan seperti langit dan bumi. Hatta sama ada mahu dirujuk kepada pemimpin - pemimpin UMNo yang beragama Islam itu sendiri pun.

Maka , bolehlah nak bercakap soal moral, tetapi cerminan moral adalah sebagai satu ucapan retorik dan falsafah suci sahaja semata-mata. Moral dalam UMno adalah sekadar papan iklan sahaja.

Perbuatan pembangkang tak bermoral

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, mengibaratkan perbuatan pembangkang menawarkan ganjaran jutaan ringgit dan jawatan untuk mempengaruhi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti seperti pelacur yang kehausan pelanggan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, perbuatan itu membuktikan sikap tidak bermoral serta corak kepemimpinan pembangkang yang amat rendah.

"Ada pemimpin parti tertentu saban hari merayu dan meramalkan kononnya ada (Ahli Parlimen BN) berminat datang kepada mereka dengan cara tidak bermoral, tetapi tindakan mereka itulah yang sebenarnya kemuncak kepada corak kepimpinan paling tidak bermoral.


"Maaf saya katakan, jika ada orang sanggup melanggani pelacur, orang itulah sendiri pelacur paling besar. Itulah sifat dan taraf moral yang ada pada pemimpin yang saban hari merayu dan mencari pelanggan untuk mendapatkan kepuasan kehidupan politik mereka.

"Saya percaya di kalangan (Ahli Parlimen BN), tiada pelacur politik kerana sikap seperti itu sentiasa kita tolak," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini semalam.

Beliau diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Pengurus Besar Bernama, Datuk Azman Ujang.

Dalam lawatan itu, beliau diberi taklimat mengenai operasi akhbar oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar. Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar.

Mengulas dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya ramai Ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat. Ahmad Shabery berkata dalam dunia politik moden setiap wakil rakyat bertanggungjawab terhadap pengundi mereka dan tidak mungkin sanggup menggadai maruah serta mengkhianati amanah yang diberi.

"Ini soal maruah kerana tindakan sedemikian bukan saja mengkhianati pengundi mereka, malah simbol yang mereka bawa. Mereka tahu mengkhianati harapan rakyat ialah perbuatan tidak bermoral dan saya percaya ia tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, walaupun ada pandangan tegas dikemukakan Ahli Parlimen BN, termasuk dari Sabah yang mahu kerajaan memberi perhatian serius kepada pembangunan di negeri itu, ia bukan bermakna mereka sanggup menyertai parti lain.

"Saya ada berbincang dengan mereka (Ahli Parlimen BN dari Sabah) dan tiada seorang pun yang mengeluarkan pandangan tegas itu mahu melompat parti atau sebagainya.

"Jadi, isu kononnya mereka mahu lompat parti tidak timbul dan saya ingin tegaskan bahawa kami ada maruah. Mereka (pembangkang) jangan anggap kami ahli politik atau pemimpin murahan yang boleh ditawarkan dengan wang atau pangkat," katanya.

Formula Persepakatan BN yang usang ?

Amaran Ghapur kepada rakan-rakan seBarisan : Jangan cabar kami.....Ini adalah laungan daripada lubuk hati seorang veteran politik negara dari Sabah.

Dalam BN tabiat memperlekeh-lekeh serta memperkcil-kecilkan orang lain, keupayaan orang lain, serta kebolehan orang lain dengan menganggap diri mereka sahaja yang kuat dan pandai. Penyakit buruk ini terpancar melalui ucapan mengampu Mohammad abdul aziz wakil rakyat Sri Gading dengan mempertikaikan wakil Sabah itu membangkit dan mengungkit perasaan tidakpuashati wakil-wakil BN daripada Sabah yang tidak diberi peranan penting dalam susunan kabinet Pak Lah.

Kabinet Pak Lah adalah susunan kabinet asal jadi, telah disusun sebegitu rupatelah mengundang pelbagai reaksi yang kurang senang daripada banyak pihak. Soal keseimbangan serta kekuatan politik BN yang menyumbang kepada kemenangan BN Pusat harus juga diambilkira, supaya hak sama rata kalangan rakan Bn serta kongsi kuasa yang dibanggakan mereka selama ini terungkai dn berbau busuk.

Sistem kongsi kuasa serta kaedah serta formula yang dibangga-banggakan selama hari ini , ternyata bukanlah pilihan dan formula terbaik. Dakwaaan Pakatan Rakyat meniru formula persepakatan BN , serta formula yang digunakan mereka adalah terbaik, nyata tidak baik dari segi hakikatnya.

Manifestasi formula usang 62 tahun yang dibangga-banggakan itu, terlerai dan jawaban jelas nyata adalah hari semalam bila kalangan ahli rakan kongsi BN membangkitkan ketidakpuashati mereka seperti berita di bawah ini.

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh hari ini memberi amaran kepada wakil rakyat yang lain supaya tidak mempersoal keikhlasan anggota dari Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) dan berhenti bertindak bagi pihak kerajaan dalam menjawab sebarang isu mengenai Sabah.

Sambil membidas Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) mengenai kenyataan beliau tentang anggota Parlimen Sabah semasa membahaskan usul terima kasih terhadap titah Diraja semalam, Abdul Ghapur berkata, sepatutnya di dalam BN, anggota tidak patut mencabar satu sama lain.

"Sri Gading masih berpemikiran penjajah, tidak terbuka. Apa yang saya titik beratkan ialah kita mahu BN diperbaiki, saya bercakap mengenai Sabah, pembangunannya, mengenai masalah pendatang tanpa izin...kenapa orang lain mahu mencabar kami," katanya semasa ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Mohamed menasihatkan wakil dari Sabah supaya tidak mempertikaikan pelantikan menteri-menteri oleh pucuk pimpinan dan jangan bongkak dan berbangga dengan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum lepas.

Abdul Ghapur berkata, setiap pandangan yang dibangkitkan MP Sabah di Parlimen ialah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat terutama isu pembangunan dan pendatang tanpa izin.

"Jangan salahkan kami (membangkitkan itu) sebab kalau mereka salahkan kami, penduduk Sabah akan mendesak kami berhenti daripada parti," katanya.

Ghapur berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut diberi masa untuk menangani masalah di Sabah.

"Tak apa... Pak Lah mungkin sedang memikirkannya, tetapi jangan tanya Sri Gading (Mohamed) untuk menjawabnya pada kami," katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafei Apdal menolak tanggapan bahawa anggota Parlimen dari Sabah yang membidas kerajaan Pusat pada persidangan Dewan Rakyat sebagai antiperpaduan dan anti-Semenanjung.

Kata beliau, anggota Parlimen Sabah hanya inginkan pendapat atau pandangan mereka diberi perhatian serta mendapat tindakan sewajarnya daripada kerajaan pusat.

"Anggota Parlimen dari Sabah bukan hendak bergaduh, cuma membangkitkan masalah yang timbul. Ini tidak boleh dijadikan tanggapan untuk mengatakan anggota Parlimen Sabah tidak suka akan perpaduan dan anti-Semenanjung.

"Ia bukan jalan untuk memecahbelahkan perpaduan. Apa yang mereka minta ialah lebih banyak pembangunan di Sabah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Mengenai keluhan berhubung pembahagian portfolio menteri yang kurang penting kepada Sabah, Shafie berkata: "Kita sudah biasa dalam keadaan ini. Apa yang diberi, kita terimalah." BERNAMA

Wednesday, May 14, 2008

Lim: Orkestra filharmonik satu pembaziran
Fauwaz Abdul Aziz | May 13, 08 9:08pm
RM130,000 sebulan? Itulah gaji bulanan yang dibayar kepada konduktor Orkestra filharmonik Malaysia (MP0).

Dan menurut ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, langkah mengekal konduktor dan anggota MPO yang ramai rakyat asing, adalah satu pembaziran wang Petronas.

lim guan engSetiausaha agung DAP itu membangkitkan isu tersebut sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Lim mendedahkan bahawa kos membiayai anggota MPO itu mencecah RM3.5 juta sebulan.

Menurutnya, 95 peratus pemuzik asing itu dibayar antara RM16,000 hingga RM28,000 sebulan dan mendapat dua bulan cuti bergaji setiap tahun. Konduktornya pula dibayar RM130,000 sebulan manakala penolongnya dibayar gaji RM50,000 sebulan.

Sejak 10 tahun ia ditubuhkan, kata Lim, kos pembiayaan orkestra tersebut berjumlah RM500 juta.

Lim juga mendakwa, bekas konduktor residen MPO, rakyat Malaysia - Ooi Chean See - telah meletakkan jawatan selepas tidak diberi peranan sewajarnya.

malaysian philharmonic orchestraSehubungan itu, beliau bertanya, mengapakah Petronas membelanjakan wang yang banyak tetapi tidak memberi faedah kepada pemuzik tempatan.

Katanya, pemuzik tempatan dipinggirkan manakala Petronas membelanja begitu banyak wang untuk melayan orang asing, terutama dari Eropah.

Menurut Lim, sikap tersebut yang membuat rakyat begitu marah dengan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Lim yang juga ahli parlimen Bagan, menggesa kerajaan supaya mengagihkan secara saksama perolehan dan keuntungan syarikat minyak nasional itu untuk faedah rakyat Malaysia, terutama yang miskin, bukannya mementingkan Pengeluar Kuasa Bebas (IPP).

Sebagai contoh, katanya, ia termasuk bayaran bonus RM6,000 setiap tahun kepada setiap keluarga dan ia tidak akan menjejaskan keuntungan Petroasn yang mencecah hampir RM80 bilion.

Mengenai pembelian jet pejuang Sukhoi dari Russia, Lim bertanya mengapa harga yang dipersetujui adalah AS$50 juta sebuah, sedangkan India membeli pesawat yang sama pada harga AS$40 juta sebuah.

Ramalan pelaburan


Sementara itu, menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak), dalam ucapannya, mempersoalkan unjuran bahawa 12 juta pekerjaan akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang, ke arah mewujudkan 23 juta peluang pekerjaan pada 2013.

Katanya, andaian hendaklah berdasarkan kepada angka-angka yang betul, kerana memandangkan keadaan ekonomi semasa dunia, angka tersebut mungkin terpaksa diubah.

Beliau juga mempersoalkan ramalan bahawa RM30 bilion akankhalid ibrahim

Mengenai keputusan kerajaan Selangor memberi bekalan 20 kubik meter air percuma, Khalid berkata, risiko pembaziran air diimbangi dengan sistem bil progresif di mana penggunakan air seterusnya akan lebih mahal.

Berhubung dakwaan Ahmad Maslan (BN-Pontian) bahawa pemberian bekalan air percuma itu boleh dianggap sebagai 'merasuah' rakyat, Khalid mencadangkan ahli-ahli Umno Selangor yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut, supaya jangan menerima bekalan air percuma dari kerajaan negeri.

Dengan itu, katanya, bekalan tersebut boleh disalurkan kepada sekolah agama, sekolah Cina dan sekolah Tamil.
dilaburkan dalam bidang hartanah, pelancongan dan sektor rekreasi memandangkan "bencana" yang menimpa Zon Bebas Pelabuhan Klang dan mempersoalkan faedah projek Iskandar Malaysia di Johor kepada negara.

Kerajaan terlalu banyak mengungkit ?

Setiap kali kerajaan umumkan sesuatu.Di sisipi dengan jumlah RM yang dibelanjaka. Camlah kita begitulah setiap kali kerajaan umumkan dalam masalah pelarasan gaji ke, atau apa-apa aje . Inilah cerminannya !

Terbaru berkenaan dengan jumlah RM subsidi yang perlu kerajaan belanjakan bagi menampung keperluaan beras kepada 25 juta rakyat negara ini.

Moralnya rakyat perlu sedar, kerajaan ibarat bapa, justeru menjadi tangungjawab bapa yang mengetuai keluarga membelanja, merancang dan mengambil rancangan itu dan ini.

Jika sudah tidak mampu dan letih berhentilah jadi ketua , bagilah pula dekat kumpulan kami. Jika kita sebagai bapa tentulah anak-anak akan persoalkan apalah bapa ni, sikit-sikit bangkitkan soal perbelanjaan yang bapa kena tanggung dan keluarkan dari koceknya. Bukankah ini tanggungjawab bapa, jika bapa ini tidak mahu membelanjakan wang walaupun sesen tak usahlah beranak dan kahwin.

Begitu lah juga dengan kerajaan kita, jika setiap sen setiap masa bangkitkan jumlah RM yang dibelanjakan , tak usahlah menjadi kerajaan. berhentilah sahaja. tapi kami rakyat taklah pula bertanya berapa banyak pendapatan kerajaan perolehi. Berapa banyak gaji tuan/bapa dariapada bahagian atau wang yang kami dapat.

justeru, hentikanlah bangkitkan itu dan ini, hadapi sebagai seorang bapa , jangan diungkitkan akan kebaiakan nanti tidka mendapat balasan kebaikan smaada di dunia atau akhirat. Maknanya kerajaan pun ada tanggungjawab kepada Allah, semua tidak terlepas, ingatlah pesanan itu ?


Sesuap nasi disubsidi - Kerajaan belanja RM2.2 bilion setahun kawal harga beras

KUALA LUMPUR 13 Mei – Setiap suap nasi yang dimakan oleh rakyat Malaysia disubsidi oleh kerajaan dan nilai subsidi itu kini melonjak sehingga RM2.2 bilion setahun.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM923 juta setahun untuk subsidi baja padi, subsidi harga padi, insentif pengeluaran padi, insentif peningkatan hasil dan insentif pengeluaran benih padi.

Ini bermakna setiap seorang daripada 140,000 pesawah di Malaysia menerima subsidi dan insentif sebanyak RM2,656 bagi sehektar tanah sawah yang mereka usahakan.

Baru-baru ini, apabila para pesawah merungut input pertanian telah semakin mahal, kerajaan memperuntukkan dana tambahan RM549 juta untuk subsidi infrastruktur, penyuburan tanah dan racun rumpai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed pada sidang akhbar di sini hari ini berkata, subsidi untuk beras kini bukan setakat diberi kepada pesawah, tetapi turut dinikmati secara langsung oleh berjuta-juta pengguna di Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk subsidi pembelian beras import selain melaksanakan empat langkah tambahan menangani kenaikan harga padi dan beras.

Menurut Mustapa, inilah kali pertama dalam sejarah kerajaan memberikan subsidi kepada pengguna secara langsung bagi membolehkan harga beras yang dijual di pasaran lebih rendah daripada kos sebenar.

Beliau berkata, subsidi RM725 juta itu diberikan kerajaan bagi menampung kos mengimport 500,000 tan metrik beras hancur 15 peratus dari Thailand dalam usaha menambah stok penimbal beras negara.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan berapa harga pembelian beras import tersebut, tetapi satu laporan agensi berita dari Bangkok menyatakan bekalan beras itu dibeli

oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada harga AS$1,000 (RM3,100) setan metrik.

Katanya, beras hancur 15 peratus itu akan mula dibawa masuk secara berperingkat mulai dua minggu lagi sebelum dibungkus semula sebagai beras Super Tempatan (ST) 15 peratus untuk dijual kepada pengguna pada harga kawalan RM1.65 dan RM1.80 sekilogram.

‘‘Kita lakukan semua ini untuk memastikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas ekoran krisis makanan global,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, beliau menjangkakan kerajaan mampu mengekalkan harga siling beras gred ST 15 peratus yang dikawal harganya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.

‘‘Harga beras di pasaran dunia semakin stabil sekarang.

‘‘Dengan syarat, tiada sebarang perubahan yang berlaku dari segi cuaca atau malapetaka di negara pengeksport beras, Malaysia akan mempunyai bekalan beras yang mencukupi pada harga yang stabil menjelang akhir tahun ini,’’ katanya.

Mustapa memberitahu, subsidi kepada para pesawah tidak dapat dielakkan kerana faktor keselamatan makanan selain menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat yang berpendapatan rendah dilindungi.

‘‘Kita tidak boleh membiarkan mereka terjejas dengan kenaikan harga padi dan beras,’’ tegasnya.

Beliau menjelaskan, harga beras ST 15 peratus, misalnya, dikekalkan pada harga sedia ada dan dikawal bertujuan untuk memenuhi keperluan pengguna berpendapatan rendah.

‘‘Dengan mengekalkan harga ini, pihak pengilang swasta dan Bernas akan menampung perbezaan harga itu menerusi keuntungan pengeluaran beras gred-gred Super Spesial Tempatan (SST) lima peratus dan SST 10 peratus serta keuntungan daripada jualan beras import oleh Bernas,’’ ujar Mustapa.

Malah, katanya, langkah kerajaan memperluaskan kawalan harga beras kepada gred SST lima peratus dan 10 peratus adalah bagi melengkapkan strategi kawalan harga beras.

‘‘Kerajaan telah memberikan subsidi yang begitu besar kepada 140,000 pesawah padi. Inilah rasional tindakan kita menjadikan beras SST lima peratus dan SST 10 peratus barang kawalan dengan harga siling masing-masing RM2.70 dan RM2.80 sekilogram,’’ ujarnya.

Kerajaan, kata Mustapa, perlu mengawal harga beras gred lebih berkualiti itu bagi memberi justifikasi kepada subsidi berbilion ringgit yang dibayar kepada para pesawah.

Tuesday, May 13, 2008

Syabas dan tahniah, Sultan Selangor tidak mudah terperangkap dan diperangkap oleh UMNo oleh jerangkap UMNO. UMNo cuba mengheret kes Karpal selepas isu karpal mengkritik campurtangan Sultan Perak dalam isu pertukaran pengarah JAIP,

Ikutilah kata dan nasihat dari baginda Al Sultan Selangor

KUALA SELANGOR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menggesa umat Islam di negeri ini agar tidak memperbesarkan isu remeh temeh hingga menjadi punca pertikaian; sebaliknya berusaha mengatasi masalah masyarakat yang lebih besar seperti perpaduan rakyat dan kemajuan Islam.

Baginda bertitah: "Segala sikap negatif seperti hasad dengki, tamak, perasaan curiga-mencurigai, tuduh-menuduh serta syak wasangka yang boleh mengakibatkan persengketaan perlulah dikikis dan dihindari sama sekali."

Sultan Sharafuddin bertitah demikian di Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri 2008 di Masjid Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Baginda juga menitahkan supaya bantuan kepada 5,042 fakir miskin di Selangor menerusi Lembaga Zakat Selangor ditambah terutamanya makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak, berikutan kenaikan harga barang makanan yang semakin meningkat.

Baginda turut menggesa pembekalpembekal yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor supaya menyampaikan bekalan makanan kepada golongan berkenaan dengan jujur dan amanah dan tidak mengurangi sukatan sambil mempastikan barangan makanan yang dibekalkan berkualiti baik.

Selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, baginda juga mengingatkan umat Islam agar mematuhi sebarang keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam negeri.

Baginda juga mahukan para ilmuan sentiasa bertanggungjawab dalam menyampaikan ajaran Al-Quran kerana sebarang penyelewengan dan penyimpangan dalam mereka menghuraikan Al-Quran akan mewujudkan ketidakseimbangan, kerosakan dan gangguan kepada umat Islam.

Pada tilawah itu, Juara Qari disandang oleh Mohd Noor Abdul Rahman, 33, yang mewakili daerah Klang sementara Juara Qariah ialah Norfaizah Panut, 19, dari daerah Hulu Langat.

Mereka masing-masing membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, pakej umrah, sepersalinan pakaian dan sijil penyertaan.

Mohd Noor adalah guru kelas kemahiran Al-Quran di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, sementara Norfaizah pelajar jurusan Syariah di sebuah institusi Islam di Kota Baharu, Kelantan.

Apa yang menarik pada tilawah ini ialah Norfaizah yang mendapat markah 78.33 peratus menewaskan ibunya, Jaliah Simin yang merupakan johan menunggu dan naib johan pada kali ini yang mendapat markah 77 peratus. BERNAMA

Hina raja marah , jual tanah dak ape... Mana Pemuda UMNO ?

Raja-raja Melayu dipertahankan, tetapi Tanah Melayu atau tanah dibumi Melayu ini dijual serta digadaikan kepada orang asing.

Perjuangan kosmetik UMNo dan sandiwara UMNo, bila sahaja menghidu dan mencium peluang untuk kepentingan diri dan parti cukup cepat. Tambahan pula dengan media massa utama yang dikuasai mereka bertindak mengerjakan isu ini bersungguh-sungguh.

Mana pemuda UMNo masa kes Sultan-sultan dan raja-raja Melayu dipelekeh dan diperhinakan semasa isu imunti raja-raja dicabut. Bukalah lipatan sejarah Negara. Di bawah adalah bukti segala-gala kebobrokan UMNo dan BN, kaki hipokrit.

Benarlah kata veteran UMNO Dato Aziz Tapa, saya dulu orang-orang UMNo berjuang utamakan parti dulu, tapi la ni saya lihat didulukan diri sendiri, kaum kerabat dan sahabat handai serta rakan taulan kemudian baru UMNO.


Nah tengok sendiri kelaku UMNO....


Adnan nafi terlibat isu jual tanah

KUANTAN 12 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang mendakwa beliau terlibat dengan penjualan tanah di mukim Ulu Luit, Maran.

Menurut beliau, dakwaan itu juga seolah-olah menuduhnya menyalahgunakan kuasa untuk tujuan itu.

Mengikut rekod, ujarnya, beliau langsung tidak terlibat dengan penjualan tanah tersebut sebaliknya, Ahmad Tajuddin yang telah menandatangani surat perjanjian antara tiga parti yang bertarikh 27 April 2004.

Beliau berkata, perjanjian tiga parti itu ditandatangani antara UMNO Pahang, Rangkaian Delima Sdn. Bhd. dan Prosper Trading Sdn. Bhd. (Prosper Trading) sebagai pembeli.

''Dia (Ahmad Tajuddin) yang ada dari mula lagi, baik sebelum tanah dijual dan semasa dijual. Tandatangan dia pun ada, sedangkan tandatangan saya satu pun tak ada, bila dia buat tuduhan begini, orang melihat seolah-olah saya yang salah guna kuasa," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas mengenai urusan penjualan tanah Badan Perhubungan UMNO Pahang kepada dua buah syarikat bukan bumiputera yang disiarkan oleh TV3 semalam.

Menurut laporan berkenaan, tanah ladang kelapa sawit seluas 12,000 hektar di Kampung Paya Rambutan di mukim Ulu Luit, Maran itu dijual dengan harga RM600 juta.

Mengikut surat hak milik tanah, tanah tersebut menjadi hak milik UMNO Pahang pada 3 Jun 1980, namun dijual kepada Prosper Trading untuk dimajukan berdasarkan pencapaian syarikat itu yang berjaya memajukan pelbagai projek lain.

Adnan berkata, walaupun dijual kepada Prosper Training, tidak timbul isu tanah itu dijual kepada bukan bumiputera kerana syarikat tersebut merupakan satu daripada anak syarikat yang bernaung di bawah Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) yang juga agensi milik kerajaan negeri.

''Jadi secara tidak langsung kerajaan negeri juga mendapat pendapatan hasil tanaman kelapa sawit di ladang itu," katanya.

Sambil menyatakan rasa dukacita terhadap tindakan Ahmad Tajuddin, beliau berkata, hal tersebut sepatutnya dibincangkan di dalam parti dan bukan secara terbuka kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi.

''Saya sebenarnya tidak mahu menjawab isu ini, tapi nanti orang kata benda ini benar. Jadi saya terpaksa tampil untuk beritahu keadaan sebenar.

''Saya sangat sedih dengan hal ini. Begitu juga dengan laporan berita TV3 yang mendakwa tanah itu dijual dengan keluasan 12,000 hektar pada harga RM600 juta. Ia memang tidak benar, sedangkan tanah yang terlibat tidak sampai pun 400 hektar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Tajuddin termasuk memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim.

''Saya harap dia bersedia, berhubung soal memecat dia dari UMNO atau tidak, semuanya terpulang kepada pihak atasan UMNO," ujar Adnan.

-ends