Saturday, July 28, 2007

Bila ada orang merasakan dia kuat, bila ada kuasa besar yang merasakan dia kuat, bila dunia melihat kuasa besar barat kuat daripada kuasa Islam, walaupun realiti kini begitu sepatutnya para ilmuan mesti 'mencanai' dan memprogramkan agar kebangtkitan kuasa Islam itu dibangkitkan, sebagai umat Islam sekurang-kurang kita berjuang melalui ruang dan peluang yang sedia ada pada kita, kita takut apa yang mahu kita akan jawab depan Allah, apakah sumbangan kita sebagai umat Islam dalam memperjuangkan Islam. Umapama tulisan di bawah ini kot-kot mana mesti kita kaitkan dengan kuasa Islam, mari kita ikuti kupasan dan analisis ikhlas penulis ini dalam Utusan Msia pada hari ini.... di bawah tajuk rencana yang berbunyi
Rusia kembali saingi AS
Oleh: MD. SHUKRI SHUIB

Kebangkitan Rusia sebagai satu kuasa alternatif kepada Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai satu keperluan dalam dunia global masa kini. Dunia kini nampaknya semakin didominasi oleh struktur mutlak yang memihak kepada satu kuasa unilateral iaitu AS dan sekutunya. Jika sewaktu era Perang Dingin, persaingan AS dan Kesatuan Soviet (USSR) dilihat telah membentuk satu dua yang seolah-olah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu blok demokrasi yang didukung AS dan blok komunis di bawah dokongan pengaruh Soviet.

Namun, selepas kejayaan blok demokrasi meruntuhkan Kesatuan Soviet yang mengepalai blok komunis pada dekad 1990-an, maka satu persatu negara komunis berubah ideologi. Akhirnya, dunia hanya tinggal China, Korea Utara, Cuba serta Vietnam yang ketara dengan sifat komunis-sosialis mereka. Blok komunis yang menjadi alternatif kepada dunia pada masa tersebut, dan merupakan musuh ketat kepada AS serta sekutunya telah berjaya dimusnahkan.

Pasca Perang Dingin memperlihatkan AS terpaksa mencari musuh baru bagi dijadikan sebagai bahan propaganda serta demi memastikan industri persenjataan mereka terus hidup, maka Islam dinobatkan sebagai satu ancaman kepada blok Barat yang diketuai AS. Akhirnya satu Perang Dingin yang baru bermula secara rasmi sejak 11 September 2001 dinobatkan. Islam disinonimkan dengan keganasan, yang akhirnya mewujudkan sentimen negatif serta menjadi satu fobia di dunia Barat. Islamofobia merebak bukan sahaja di dunia Barat tetapi juga keseluruh dunia secara global. Maka, wujud masalah baru kepada dunia. Perang Dingin terus berlaku, dengan aktor yang berlainan.

Bagi Tun Dr. Mahathir, bagi membendung kerakusan Barat yang memperlihatkan ketuanan AS yang semakin tidak terkawal, terutamanya dalam diskriminasi terhadap dunia Islam, maka Rusia dicadangkan agar segera mengukuhkan situasi politik dan bersedia bangun untuk menjadi kuasa besar semula sebagai mengimbangi kekuatan AS dalam percaturan politik dunia. Ini jelas digambarkan sewaktu berucap di Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Kuala Lumpur sebelum beliau bersara pada Oktober 2003.

Kebangkitan Rusia sebagai satu kuasa alternatif adalah berkaitan rapat dengan beberapa faktor. Dua faktor utama kenapa Rusia mampu menjadi kuasa pengimbang kepada AS adalah kerana faktor sejarah itu sendiri. Sejarah telah menunjukkan bahawa Rusia yang dahulunya Kesatuan Soviet begitu efektif dalam memastikan selama hampir 50 tahun AS terpaksa memikirkan dengan mendalam kepada setiap tindakan yang bakal dilakukan dalam percaturan negara tersebut di arena antarabangsa.

Kini, tanpa kehadiran kuasa pengimbang, maka setiap keputusan dibuat tanpa perlu berfikir panjang, dan diimplementasikan tanpa limitasi dan batasan tertentu. AS seolah-olah polis dunia secara tidak rasmi.

Keduanya, Rusia mampu menjadi penimbang kepada AS disebabkan oleh faktor kekuatan pertahanan serta keupayaan pengaruh yang masih dimiliki oleh bekas kuasa besar tersebut. Dengan memiliki kuasa veto serta menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, Rusia mampu memberikan pengaruh besar kepada setiap keputusan oleh badan dunia tersebut.

Berbanding China, Rusia dilihat lebih berani berkonfrontasi serta berkeupayaan untuk bertindak, berlawanan dengan AS dan sekutunya. China dilihat dalam perspektif politik antarabangsa, adalah aktor gergasi yang senyap serta sering mengambil sikap tertutup dalam setiap pengundian di Majlis Keselamatan PBB. Ini merugikan masyarakat antarabangsa yang sebelumnya mengharapkan China mampu muncul sebagai alternatif kepada AS.

Berbanding Rusia, China adalah kuasa yang lebih berorientasikan kewangan berbanding politik. Sekiranya Rusia mampu berkembang pesat, serta memiliki keupayaan kewangan yang stabil, tidak mustahil AS akan berhadapan dengan satu kuasa pengimbang yang cukup hebat dalam membentuk semula geopolitik antarabangsa yang kini dilihat sebagai anarki atau tidak berperaturan.

Tindakan AS memperluaskan jaringan pertahanan negara tersebut meliputi rantau Eropah Timur yang jelas bersempadan dengan Rusia memperlihatkan ia sebagai satu ancaman ke atas negara bekas Kesatuan Soviet tersebut. Konfrontasi antara Vladimir Putin dan George W. Bush pada persidangan negara maju, Kumpulan 8 baru-baru ini memperlihatkan kepada dunia, bahawa Rusia semakin tidak senang dengan tindak-tanduk AS yang semakin berani memperluaskan hegemoninya sehingga mampu membentuk jaringan kuasa meliputi negara-negara yang dahulunya sekutu rapat bagi Rusia itu sendiri.

Rusia melahirkan secara terang-terangan sikap kontra serta dengan jelas menentang keras setiap rancangan AS bagi menempatkan perisai peluru berpandu di Poland dan Republik Czech yang dilihat memagari Rusia dalam bentuk persenjataan serta dengan mudah ia akan mendedahkan Rusia kepada ancaman AS.
Rusia yang begitu bimbang akan kepungan doktrin strategi keselamatan AS melalui penempatan sistem pertahanan di bawah rancangan sistem pertahan baru anjuran AS di Eropah Timur telah memperlihatkan sikap kontra Rusia menerusi kepimpinan Presiden Putin yang akan bersara 2008 ini.
Dalam tempoh hampir bersara, Putin mengambil langkah drastik bagi memastikan Rusia tidak terancam dengan doktrin peluasan kuasa AS di mana pada 15 Julai 2007, Putin bertindak membatalkan penyertaan Rusia dalam Perjanjian Tentera Konvensional Eropah (CFE) yang bermatlamatkan sebagai satu mekanisme bagi mengawal senjata di Eropah yang ditaja AS serta Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Tindakan tersebut juga dengan jelas menunjukkan bahawa Rusia tidak lagi terikat dengan sebarang komitmen dalam perjanjian kawalan senjata yang sebelum ini disertainya. Walaupun tindakan tersebut dibantah AS dan NATO, namun ketegasan Rusia untuk terus menidakkan bantahan tersebut memberikan isyarat kepada dunia bahawa Rusia kini sedang mengorak langkah menempatkan semula kedudukannya sebagai pemain terpenting di arena politik antarabangsa setelah sekian lama mendiamkan diri sejak tamatnya Perang Dingin di Eropah pada 1990.
Dengan peningkatan bajet pertahanan Rusia sebanyak 29 peratus berbanding tahun kewangan 2006, tahun 2007 memaparkan satu peningkatan usaha bagi memartabatkan semula kedudukan strategi pertahanan negara bekas komunis tersebut.
Tindakan Rusia di era Putin yang dilihat semakin rapat dengan OIC serta juga mahu menganggotai Komuniti Asia Timur (EAC) yang dicadangkan ASEAN dilihat mampu memberikan impak berkesan kepada perubahan geo politik dunia yang didominasi AS masa kini. Rusia jelas alternatif baru dalam politik antarabangsa.
Masyarakat dunia kini sedang melihat Rusia, dan bagi Barat, ia sebagai ancaman, namun, bagi dunia yang sedang tertindas, Rusia adalah alternatif kuasa kepada anarki AS masa kini.
- MD. SHUKRI SHUIB ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

No comments: