Raja dan kerajaan perlu harmoni - Raja Nazrin
|
|
KUALA KANGSAR - Keharmonian hubungan Raja dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah (gambar), semalam.
"Untuk itu, kerajaan pimpinan Menteri Besar hendaklah memahami asas ini, demi menjalin hubungan yang baik antara Raja dan Kerajaan. Menteri Besar hendaklah dapat menjadi jambatan penghubung yang berkesan, menghubungkan Raja dengan rakyat dan rakyat dengan Raja," titahnya pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Kali Ke-43 di Istana Iskandariah di sini.
Raja Nazrin bertitah dalam pada itu Raja dan istana adalah pelindung kepada adat dan kebesaran kerajaan yang sejarahnya di bumi ini bertunjangkan kerajaan Melayu.
"Oleh itu adat istiadat dan kesopanan istana tidak harus sama sekali dicemari. Adat istiadat dan kesopanan istana pada setiap masa hendaklah dipertahankan, dihormati dan tidak harus dicemari," titahnya.
Menurut Raja Nazrin institusi Raja yang merupakan sebahagian dari sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu kekal relevan dan memenuhi peranan secara berkesan sepanjang masa dari zaman kolonial Inggeris membawa kepada era pasca merdeka yang memilih sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
"Dalam setiap fasa waktu, Institusi Raja terus kekal, berupaya melakukan pengubahsuaian dari segi peranan dan pendekatan, berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat dapat bernaung, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan," titahnya.
Raja Nazrin turut mengalukan-alukan kehadiran buat pertama kalinya Menteri Besar Perak yang baru Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di dalam Dewan Negara Perak.
Baginda turut merakamkan penghargaan bagi pihak Sultan Perak Sultan Azlan Shah terhadap bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali atas khidmatnya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment