Sunday, August 23, 2015

MP & ADUN PAS perlu kosong kerusi semua kerana DAP atau Cina ?

Perbalahan yang tidak menguntungkan, cabar mencabar sesama 'ahli' amat memalukan . bercakap soal Islam dan kepimpinan Islam. Keutamaan adalah mestilah rakyat, jangan kerana emosi, dendam dan sebagai pimpinan melatah sampai begitu sekali.

Sebalik rakyat dan ahli yang tidak faham hanya menjadi pemerhati, sambil itu mereka menilai atas apa yang 'kita' bergelar pemimpin dan kepimpinan lakukan terhadap mereka (rakyat).

Malah, atas nama "islam" dan parti Islam perbalahan kita jadi buruk dan memburuk islam itu sendiri. Persepsi dan imej islam diburukan oleh orang islam.

dan atas nama islam juga kita selalu menyalahkan orang lain. Jika apa-apa yang berlaku di Malaysia yang salah adalah DAP dan Cina. jika luar daripada Malaysia adalah salahnya Yahudi dan Israel. Itulah kerja-kerja mudah kita, termasuk pimpin dan kepimpinan dari dulu kini dan selama, kini berjangkit kepada pimpin dan kepiminan atas nama islam oleh parti islam.


Sertai parti lain: Ahli Parlimen,
ADUN Pas perlu kosong kerusi

ALOR SETAR 22 Ogos – Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang mahu menyertai parti lain perlu mengosongkan kerusi dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Abdul Hadi Awang
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan ter­sebut perlu memandangkan me­­reka telah berbai’ah semasa menerima tawaran untuk bertan­ding menjadi wakil rakyat.
Beliau berkata, kini terpulang kepada maruah pemimpin ber­ke­naan untuk mengosongkan ke­rusi masing-masing seperti yang dijanjikan.
“Mengikut Perlembagaan parti, keahlian mereka gugur secara au­tomatik jika mereka menyertai parti lain.
“Terpulang kepada mereka ke­rana mereka maklum dan me­ngetahui mengenai bai’ah yang dibuat. Sepatutnya kena kosongkan kerusi jika su­dah menyertai parti lain,” katanya.
Beliau mengulas ber­hubung peng­libatan bebe­rapa pemimpin dan ahli Pas dengan penubuhan parti baharu dikenali se­bagai Parti Amanah Rakyat yang dijangka di­tubuhkan pada 31 Ogos ini, dalam satu sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini hari ini.
Barisan kepemimpinan parti ba­haru tersebut dijangka dibarisi oleh bekas pemimpin Pas yang gagal mendapat tempat ketika Muktamar Pas pada Jun lalu.
Pada masa sama, Abdul Hadi ber­kata, Pas masih sebuah parti yang kuat dan terus mendapat sokongan pel­bagai lapisan ma­sya­rakat termasuk golongan pro­fe­sional.
Jelasnya, parti me­nerima seba­nyak 9,000 permohonan baharu untuk menjadi ahli tetapi buat masa ini hanya 6,000 yang mampu diproses.
“Kita boleh bangkit menjadi se­buah parti Islam yang kukuh dan mendapat sokongan dari dalam dan luar negara.
“Kita pernah menghadapi ca­baran yang lebih besar daripada ini, oleh itu kita perlu sentiasa isti­qamah dan yakin bahawa Islam ada­lah penyelesai masalah dan penyelamat,” katanya.

Apakah rasional desak SPRM siasat DEIG – Zakaria Adam

Biarlah kita politik berpada-pada....


Apakah rasional desak SPRM siasat DEIG – Zakaria Adam


Malaysia digemparkan lagi dengan isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang  mula dibangkitkan Adun Pelabuhan Klang, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang DUN yang lalu apabila beliau mempertikai ketelusan DEIG yang kegiatannya didakwa disorok di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) kerana takut diaudit.

Penubuhan itu turut dipertikai pemimpin Barisan Nasional, khususnya di Selangor, yang bimbang dana milik kerajaan negeri disalah guna DEIG. Menurut menteri besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, semua dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana masih belum ada sebarang transaksi dibuat dan DEIG masih sebuah syarikat bernilai RM2.

Kaji kewujudan DEIG

Prinsip utama DEIG ditubuhkan adalah untuk menyelaraskan dan menyatukan aset dalam MBI yang memiliki 12 anak syarikat bernilai RM6.3 bilion dalam bentuk tanah dan hartanah. Dulu kita ada State Secretary Incoprated (SSI) yang menguruskan aset kerajaan negeri.

Pada 1994 kerajaan negeri tak berupaya, maka SSI dipindah kepada MBI dan matlamat masih sama. Sepanjang penubuhan MBI kesemua anak syarikat gagal beri pulangan dan bayar dividen pada kerajaan negeri.

Apakah ini perlu diteruskan dalam keadaan mereka punya aset besar tetapi tidak boleh bagi pulangan kepada kerajaan negeri, sedangkan pulangan itu penting untuk kita teruskan pembangunan negeri.

Kegagalan cipta nilai baru dan nilai tambah pada hartanah tersebut State Secretary Incoprated (SSI) dan menyebabkan kerugian besar pada negeri. Matlamat kita menubuhkan DEIG adalah untuk menguruskan pelaburan dari 12 anak syarikat itu secara profesional dengan tujuan mencipta nilai tambah pada aset sedia ada.

Peranan DEIG

DEIG entiti baru yang berperanan untuk terlibat dalam pelaburan aset kerajaan negeri. Sebagai contoh ada tiga anak syarikat di bawah MBI dalam bidang yang sama iaitu hartanah. Sudah tentu ada persaingan, maka kita gabungkan menjadi entiti di bawah DEIG dan dibentuk dalam beberapa kluster.

Salah satunya adalah hartanah , pendidikan, kesihatan dan unisel akan diletak bawah pendidikan, anak syarikat berkenaan akan terlibat untuk dapatkan hasil untuk biayai universiti. DEIG akan diuruskan secara profesional.

DEIG sudah beroperasi?

DEIG belum beroperasi hanya akan beroperasi pada suku pertama 2016, DEIG tidak ada aset maka dakwaan DEIG syarikat RM2 uruskan aset RM6.3 bilion adalah satu pembohongan dan fakta yang salah.

DEIG ditubuhkan Mei 2015, pada peringkat awal memang ada dua pemegang saham iaitu CEO dan COO MBI kerana akhirnya DEIG akan dimiliki MBI. Dalam mana pembentukan syarikat memang perlukan dua orang pemegang saham, untuk daftar nama syarikat.

Dua bulan kemudian, pada Julai 2015 DEIG menjadi milik penuh MBI. Fakta pertama saya nak tegaskan adalah tidak benar DEIG dimiliki dua individu kerana saya serah sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS). Faktanya sekarang DEIG dimiliki penuh MBI.

DEIG belum beroperasi, jadi apakah yang sedang dilakukan ketika ini?

Kita hanya akan beroperasi tahun depan, kerana matlamat kita dari tahun penubuhan hingga hujung tahun ini kita akan perkemaskan urus tadbir korporat kerana kita mahu DEIG ini diurus dengan prinsip ke bertanggungjawab, ketelusan dan mesti diikat dan dikawal dengan peruntukan undang-undang yang jelas.

Kita sedang berbincang dengan penasihat undang-undang segala aktiviti dan penyata kewangan DEIG boleh diteliti dan disemak Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC). Saya juga sudah umumkan, Jawatankuasa Pilihan Negeri boleh memanggil pada bila-bila masa panggil DEIG untuk beri keterangan.

DEIG dimiliki MBI maka sebarang aktiviti dan pelaburan kemudian akan terkandung dalam akaun yang disatukan di bawah MBI dan di bentang pada sidang Dun. Itu antara contoh perbezaan kita dengan Khazanah milik kerajaan.

Rasional Sisatan SPRM ke atas DEIG

Jadi apa rasional pelbagai pihak mendesak SPRM menjalankan siasatan terhadap DEIG sedangkan DEIG belum beroperasi hanya akan beroperasi pada suku pertama 2016? Hari ini di dalam Mingguan Malaysia menerusi ruang Awang Selamat http://www.utusan.com.my/rencana/bisik-bisik/analisis-mingguan-bisik-bisik-awang-selamat-1.127533#sthash.qqgJDLjs.dpuf, pelbagai pihak mahu perkara itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain BN dijangka memohon semakan kehakiman bagi membatalkan DEIG.

Janganlah kita jadikan siasatan SPRM sebagai isu untuk berpolitik. Ingatlah semua, SPRM adalah sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.

Sebagai Anak Malaysia, saya menyeru semua pihak agar berfikiran waras berhubung isu DEIG ini.

Jangan jadi pak lawak untuk cakap benda yang kita sendiri tidak fahami..

Jangan samakan situasi DEIG dengan SRC mahupun 1MDB...ni semua adalah perkara yang berbeza sama sekali.

Ada Akal fikirkanlah bersama. Jangan Dayuskan fikiran masyarakat lain. – 23 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Saturday, August 22, 2015

Macam-Macam: Dana RM2.6b untuk hadapi DAP, Yahudi ?

Dana RM2.6b untuk hadapi DAP, Yahudi


Seorang pemimpin Umno mendakwa derma diberi pihak tertentu dari Timur Tengah kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bertujuan untuk membiayai perjuangan melawan DAP "yang dibiayai Yahudi".
Ketua Umno Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, jika parti itu kalah dalam pilihan raya, DAP yang disokong Yahudi akan berkuasa.
"Rakan-rakan (di kalangan) pemimpin Islam menyedari ancaman DAP ini.
"Kalau kerajaan Islam Malaysia tumbang, rosaklah perjuangan Islam seluruh dunia," katanya di mesyuarat tahunan Umno bahagian itu di Johor hari ini.
Ahli Parlimen Sri Gading itu bercakap demikian merujuk kepada dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 2013 lalu.

Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'

Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'
Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'
Mat Sabu ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.

DIGELAR ‘pengkhianat parti’ antara cemuhan yang diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, MOHAMAD SABU selepas beliau menubuhkan Gerakan Harapan Baru. Bagaimanapun, bagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, beliau ada sebab tersendiri untuk meneruskan langkah politiknya bersama Harapan Baru yang juga bermakna akan ‘menguburkan’ perjuangannya hampir 40 tahun bersama Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR danMUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI serta juru foto ROSLI TALIB bersama Mat Sabu bagi memahami hala tuju beliau sebagai Pengerusi Harapan Baru serta perasaan beliau mengenai hubungannya dengan Pas yang kini tinggal sejarah.

Kenapa hendak tubuh Harapan Baru?

Pada abad 15 Hijrah, dikatakan abad kebangkitan semula Islam dan umatnya. Berlaku dua peristiwa besar di awal abad. Pertama Rusia masuk Afghanistan dan munculnya mujahidin atas nama Islam mereka lawan Rusia.

Kedua, revolusi Islam di Iran yang meletakkan tidak barat dan tidak timur, Islam yang terbaik. Mujahidin berjaya lawan Rusia dan Rusia berundur dari Afghanistan.

Tapi mujahidin gagal mentadbir. Antara kumpulan-kumpulan mujahidin berlaku pergaduhan dan pertempuran yang ada pihak mengatakan rakyat Afghanistan terbunuh lebih banyak daripada ketika Rusia menyerang.

Kegagalan itu menyebabkan munculnya Taliban yang memerintah dengan kasar dan tiada ulama muktabar dirujuk. Maka berlakulah pelbagai bentuk hukuman atas nama syariat dengan berbagai-bagai cara termasuk mengebom tempat sejarah seperti patung Buddha.

Perbuatan pemerintahan Taliban itu mengundang tentangan semua pihak termasuk Barat yang amat curiga dengan gerakan Islam. Akhirnya Taliban dijatuhkan oleh AS, sekutunya dan negara Islam yang lain.

Kononnya diberikan demokrasi di Afghanistan tetapi pertelagahan sehingga hari ini walaupun dua presiden sudah berlalu. Keamanan tidak berlaku di sana. Antara kumpulan Islam bertelagah menyebabkan negara huru-hara, rasuah begitu tinggi dan kemiskinan berleluasa. Iran terus membina kekuatan dalaman dan luaran.

Di Timur Tengah berlaku ‘Arab Spring’ di mana rejim-rejim diktator jatuh, termasuk di Tunisia dan Mesir. Ikhwanul Muslimin keluar daripada pengharaman terlibat dalam pilihan raya dan menang dalam pilihan raya di peringkat parlimen dan presiden. Ikhwan juga memerintah lebih kurang satu tahun lepas itu, ditumbangkan oleh rejim tentera.

Sebelum itu, golongan NGO membuat demonstrasi menentang pemerintahan Ikhwan. Di Timur Tengah muncul kumpulan-kumpulan kecil. Mula-mula dianggap pertembungan sesama mazhab di Syria, tetapi ia berterusan kepada pertembungan antara kumpulan-kumpulan dan satu kumpulan mengkafirkan kumpulan yang lain, dengan panggilan takfiri.

Sehingga ada tujuh lapan kumpulan di Syria, berbelas kumpulan di Iraq bertelagah satu sama lain dan mengkafirkan satu kumpulan lain yang mereka tidak suka. Timur Tengah dilanda huru hara, di Iraq, Syria, Mesir, Tunisia, Yaman, Somalia, Pakistan, Afghanistan. Boleh dikatakan dunia Islam berada dalam keadaan berkeceramuk, penyakit takfiri ini melanda gerakan Islam.

Kalau tidak dikawal ia juga akan melanda parti Islam di Malaysia. Walaupun belum lagi parah , tetapi bunga-bunganya telah ada. Oleh itu saya merasakan gerakan Islam perlu membuat tajdid (perubahan) di  Malaysia dan seluruh dunia.
 
Maka selepas muktamar Pas (Jun lalu), apabila sekumpulan aktivis ditolak dalam muktamar melalui perancangan yang rapi, maka ia menjadi satu peristiwa yang mendatangkan satu perkara baru. Iaitu kami merasakan perlu untuk membuat satu pembaharuan kepada parti Islam. Begitulah juga dengan gerakan Islam yang lain termasuk Ikhwan di Mesir dan di mana-mana supaya Islam ‘rahmatan lil alamin’ itu dapat diangkat kembali.

Dengan dasar Islam dikekalkan tetapi pendekatan kita akan dibuat atas sifat rahmatan lil alamin. Tajdid ini perlu dan barangkali 10 hingga 50 tahun lagi Harapan Baru ini perlu kepada tajdid baru.

Tetapi buat masa sekarang kami (Harapan Baru) perlu kepada pembaharuan dalam pendekatan Islam itu kepada orang ramai khasnya kepada bukan Muslim.

Maka inilah yang lahirnya Harapan Baru dan Harapan Baru hanya nama sementara dan darinya akan lahir sebuah parti yang sifatnya inklusif. Kita anggap tajdid kepada parti Islam yang juga diperlukan di seluruh dunia sekarang ini.

Idea penubuhan Harapan Baru daripada siapa?

Saya telah pun melihat perkara ini ketika saya berada dalam parti Islam lagi. Munculnya unsur-unsur takfiri yang meletakkan ini kumpulan liberal, ini munafiq haraki, ini peguam neraka, ini peguam syurga. Gelaran-gelaran itu mempunyai unsur awal takfiri yang kalau dibiarkan ianya merbahaya kepada parti, umat Islam dan negara.

Oleh itu, langkah untuk mengelakkan perkara ini salah satunya perlu tajdid dan pembaharuan. Inilah kita kemukakan Harapan Baru di samping kita terus merujuk kepada pandangan-pandangan tokoh terkenal seperti Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi.

Dalam masa yang sama kita turut merujuk kepada ulama kontemporari seperti Yusuf Qardawi, Tariq Ramadan dan pandangan dari Barat dan Timur, yang perlu kita rujuk, di samping pandangan pada 14 Hijrah.

Dan tajdid perlu dibuat sebab satu perkara yang cukup penting saya lihat ialah akhlak Islam iaitu intergriti dilaksanakan oleh orang-orang bukan Islam. Contohnya kita ambil orang Umno, Pas yang ucap dua kalimah syahadah dan saya tidak kategorikan dasar pegangan politik mereka.

Kalau kita hendak melihat negera yang paling rendah rasuah semuanya negara bukan Islam, di Sweden, Finland, Denmark, Singapura, New Zealand. Sedangkan negara Islam yang keluarkan  graduan agama itu antara paling tinggi rasuah. Sifat integriti ada pada orang Jepun dan Barat tetapi tidak ada pada orang Islam.

Bagi saya perjuangan mencantumkan semula akidah dan akhlak ini menjadi keutamaan di abad ini, iaitu budaya Islam seperti era kerajaan Umar Abdul Aziz. Dengan kelemahan yang ada pada saya, saya nampak usaha ini perlu dipertegaskan kembali.

Kita lihat integriti Tok Guru Nik Abdul Aziz, beliau dipuji oleh semua pihak tetapi di sudut pemerintahan kita belum sampai ke tahap integriti  tertinggi. Kalau dibandingan dengan mereka yang bukan beragama Islam, intergriti mereka adalah amalan Islam seperti di negara Barat, maju, yang menyebabkan mereka meninggalkan jauh negara Islam dan orang Islam.

Sedangkan ajaran Islam paling tinggi dan mulia tetapi diamalkan oleh orang lain. Usaha ini mesti diperteguhkan.
 
Teruk sangatkah Pas sampai hendak tubuh Harapan Baru?

Sebelum jadi seperti negara Timur Tengah, amalan takfiri, dan sebagainya biar kita tonjolkan kepada masyarakat untuk membuat pembaharuan. Supaya ia tidak sampai ke peringkat parah, seperti mana yang berlaku di Syria, Iraq. Sehinggakan satu kumpulan dapat menyembelih satu kumpulan yang lain, menjual wanita di pasar, mengebom rumah ibadat orang lain.

Kita belum sampai ke peringkat itu. Jadi biarlah kita buat satu tajdid, bila satu keadaan belum parah lagi. Kalau tengok keadaan yang berlaku di Timur Tengah sekarang ini entah berapa tahun mereka hendak keluar daripada kemelut yang ada.

Harapan Baru bawa konsep baharu?

Ya, bahkan saya menyeru kepada gerakan Islam yang lain di seluruh dunia, kita bincang supaya ada pembaharuan. Tidak kira sama ada di Jordan, Mesir, (bawa model baharu untuk disebarkan). Misalnya di Mesir, bila
Ikhwan memerintah macam juga di sini, syariat dalam pengertian menghukum itu ikut yang awal, bukan keadilan sosial.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW menekankan syariat dan keadilan sosial. Contohnya, satu perlima rampasan perang digunakan semaksimum mungkin, hingga Nabi tiada harta ditinggalkan demi keadilan sosial.

Sedangkan di negara orang Islam, keadilan sosial tidak menjadi agenda utama. Kita ambil contoh Sweden, pelarian apabila didaftar sahaja sebagai pelarian mereka diterima di Sweden seperti ada hak untuk hidup, berlindung, rumah dan sebagainya disediakan.

Dibandingkan negara Islam melayan pelarian, dan bagaimana Nabi Muhamamad di Madinah menjaga orang yang datang ziarah termasuk diberi makan oleh Nabi di Suffah, keluarganya dan para sahabat. Model sosial ini kita lihat dalam gerakan Islam kurang dititik beratkan kalau dibandingkan dengan NGO dan negara Barat, yang praktiskan sebahagian ajaran Islam.

Inilah yang kita akan utarakan, saya sudah sebut dalam muktamar. Kenapa apabila isu kemiskinan orang mencari Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), orang tidak mencari kita, ulama, ustaz. Apabila sebut isu kekotoran
orang cari Wong Tack, kenapa orang tidak mencari golongan Islam.

Sedangkan Islamlah agama yang menitik beratkan soal kebersihan, alam sekitar. Perkara inilah yang perlu kita utarakan. Sebab itu Harapan Baru mengundang semua pihak termasuk Abim, Ikram, aliran kiri, kanan muslim dan non muslim memberi pandangan dan terlibat, dan kita kekalkan dasar Islam, jadi bersifat inklusif ini yang kita tekankan.

Harapan Baru sebarkan dasar Islam yang lebih inklusif. Adakah ini bermakna parti Islam di negara ini gagal laksanakan?

Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Saya kata kita perlu reform kerana kita tidak tekankan soal keadilan sosial, lebih kepada syariat dalam bentuk hukum. Itu bukan kita kena ketepikan. Tetapi soal ini, kita
lihat A Samad Said kenapa pilih DAP, Aziz Bari pilih DAP? Di antaranya soal integriti.


Intergriti ini adalah ajaran Islam yang paling tinggi, yang dibuat oleh pemerintah sama ada Nabi Muhammad, Umar al-Khattab, Saidina Ali dan lain-lain. Di sudut membina integriti pemerintah, inilah yang kita lihat
gerakan Islam kurang menekankan. Bahkan atas nama Islam kita lihat, di Malaysia bila mendapat kuasa terlibat dalam skandal lembu, Tabung Haji dan penyelewengan itu dan ini.

Kalau dibandingkan dengan negara bukan Islam yang dahulunya buruk tetapi mereka mengamalkan nilai Islam. Ini yang kita hendak utarakan kembali. Itu yang kita hendak tekankan semula. Saya pun sudahtunggu lama perkara ini. Saya ingat dalam 10 ke 15 tahun saya cakap mengenai perkara ini. Saya nampak mesti ada wadah baru untuk jelmakan perkara ini.

Kalau ‘reform’ tidak boleh dengan Pas? Mengapa perlu tubuh platform lain?

Saya tidak nampak boleh. Saya nampak pelantikan Majlis Syura Ulama Pas tidak ke arah untuk membuat reform. Tetapi cadangan penubuhan parti ini bukan dari saya. Saya baru balik dari Timur Tengah dan rakanrakan
saya berkumpul di Johor. Mereka panggil saya untuk bincang dan merekalah yang cadangkan penubuhan wadah baru dan saya lihat ada keperluannya.


Maknanya idea ini sebenarnya sudah lama diusahakan ketika masih bersama Pas?

Rungutan tidak berpuas hati terhadap perjalanan gerakan Islam di dunia ini memang dah lama. Malah, saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mempunyai pandangan yang sama dalam isu politik antarabangsa. Cuma dalam pendekatan masyarakat awam ini barangkali di situ ada sedikit perbezaan.

Sebelum ini anda kata Pas sudah tidak relevan, kenapa sebelum bertanding relevan, selepas kalah tidak?

Saya tidak bercakap seperti itu. Apabila saya kata perlu reform pergerakan Islam, mereka (wartawan) kata ia bermaksud Pas tidak relevan. Tafsiran wartawan, bukan dari mulut saya. Saya tidak menyebutnya. Saya
kata semua pergerakan Islam perlu reform termasuk Pas.

Adakah DAP punca perbalahan dalam Pas sehingga wujudnya Harapan Baru?

Saya tidak mahu komen itu, bohong semua itu. Itu pembohongan yang nyata, orang yang bankrap politik yang cakap begitu.

Harapan Baru nak tarik siapa?

Tidak kira kita akan tarik semua orang, termasuk ahli Pas, Umno, tiada parti dan non muslim. Malah, kami dapat sambutan yang amat baik dari kalangan orang bukan Islam. Kita tidak letak sasaran angka, tetapi saya
yakin ramai (sokongan). Anak-anak muda juga selalu bertanya bila mahu jadi parti.

Jadi bagaimana anda menerangkan kepada ahli Pas yang mungkin kecewa dengan penubuhan Harapan Baru?

Tidak apa, jiwa Pas saya lagi tinggi. Saya hampir 40 tahun dalam parti. Orang kata pengkhianat parti tetapi hampir 40 tahundalam parti. Mereka (ahli Pas) faham, insya-Allah. Tengoklah bila parti daftar nanti kita umpama buka ‘pintu bah’ untuk semua orang.

Adakah Harapan Baru bakal senasib dengan parti serpihan Pas yang lain?

Tidak sebab parti itu jalankan kerjasama dengan Umno. Misalnya Berjasa dengan Umno, Hamim juga dengan Umno. Kami tidak. Kami bekerjasama dengan pembangkang.

Sebagai ahli Pas yang telah menyertai parti itu sejak 1978, bagaimana anda melihat mengenai isu bai’ah dalam Pas?

Isu bai’ah ini saya tidak mahu ulas dari sudut hukum hakam sebab saya bukan berlatar belakang agama. Saya berpandu kepada pandangan Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang dan pandangan ulama-ulama luar dan sebagainya. Jadi, saya pandu pandangan mereka itu sebab saya sendiri tidak mahu pandangan peribadi sebab saya bukan dari bidang agama.

Selepas Harapan Baru ditubuhkan, adakah anda ada menerima sebarang ugutan atau cemuhan?

Ya, hampir setiap hari. Tetapi saya sudah ‘mangli’ (lali). Macam-macam gelaran saya terima. Paling teruk saya digelar ‘anjing DAP’. Kebanyakannya yang mengecam itu tiada nama, mereka berselindung. Tetapi saya tiada
masalah dengan kecaman itu kerana saya meletakkan kebergantungan tinggi kepada ALLAH serta yakin dengan perjuangan.

Bagaimana hubungan anda dengan pemimpin Pas yang menang dalam muktamar lalu? Masih berhubung?

Saya tidak tumpu kepada itu. Saya tumpu kepada usaha bertemu orang ramai sama ada Islam atau bukan Islam untuk minta sokongan dan pandangan. Ini yang saya buat sekarang.

Ada tak ahli atau pemimpin Pas yang mahu pujuk anda kembali ke parti itu?

Tiada. Tetapi bagi saya Pas telah meninggalkan satu perjuangan yang besar. Saya nampak jasa Pas lebih banyak kepada saya berbanding jasa saya kepada Pas. Saya berterima kasih untuk itu tetapi saya berpandangan perlu ada wadah baru.
 

Friday, August 14, 2015

DSAI- selesaikan masalah kepimpinan PKR Khalid Ibrahim vs Saifuddin Nasution


Syabas , PKR dan Anwar ata susaha murni anda menyelesaikan masalah orang-orang nya. Mana-mana pimpinan Melayu Islam kena belajarlah daripada beliau. Walaupun beliau (Anwar) ni bukan maksum..

Anwar memang hebat.... Ini bukti ketokohannya

Anwar Ibrahim Hanya dibenarkan Keluar Penjara 1 jam untuk Menghadiri Perbicaraan Saman Tan Sri Khalid dan PKR (Saifuddin Nasution) .. 

Dalam Tempoh yang Singkat itu Anwar bisa menyelesaikan Kemelut Parti..Bisa Mendamaikan pertembungan 2 pihak dan kepimpinan dalam Parti PKR.. 

Akhirnya mereka mencapai perdamaian di luar Mahkamah..ini lah sebenar benar Quality seorang Pemimpin.. Mempunyai Qualiti kepimpinan sebagai seorang Perdana Menteri dan penyatu dalam parti Politik..

Seorang Pemimpin yang Baik bukan mencari titik perbezaan, tetapi mencari titik persamaan.. sebagaimana Nabi bisa Menyatukan Kaum Anshar dan Muhajirin..

Surah al-Hasyr ayat  : 

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ 
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu)

 Apa yang Berlaku di dalam PAS ? bagaimana contoh kepimpinan yang di pamer di dalam PAS ? hanya kerana Perbezaan pendapat.. mereka menghukum, mentakfir , melabel sesama Jemaah..

Perubahan itu harus bermula daripada pemimpin itu sendiri.. jika pemimpin nya gagal meraikan Adabul Ikhtilaf.. gagal menunjukkan adab dan Akhlak.. kepimpinan dan apa yang dpimpin itu akan rosak..

 Surah An Nahl ayat 90:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ 
Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Thursday, August 06, 2015

Sebuah harap ..daripada rakyat yang mengharap !

Keadaan semakin berkemacuk gara-gara 1MDB. Kini, sasaran dan punca penyelesian masalah berkenaan tidak jelas. Tujuan dan tatacara penyiasatan menjadi mangsa yang dipolimik. Hasil akhir tidak ditagih.

Semua gaga-gara permainan politik dan politik yang dimain-mainkan. rakyat juga ternganga. Rakyat semakin dihimpit dan terhimpit. Masih ada yang mengharapkan serta meletakkan harapan kepada yang diharapkan. itulah mentelaiti rakyat dan pengundi kita. 

Walaupun pengundi di negera Ukraine telah tongsampahkan 'wakil rakyat' mereka ke dalam tomg sampah. Berpunca daripada harapan yang diletakkan kepada wakil-wakil mereka yang tidak ditunaikan atau dilakanakan . Kita sampai bila ? 

Kita sampai bila ? Permainan ini mahu dihentikan ? di manakah integriti, akuantabiliti, atau ti ti yang lain bagai yang mereka laungkan. Di manakah para pejuang keadilan ? Mana pergi dan hilangnya 'taring' pembangkang ? manakah kuasa bangkangan mereka. 

Sepatutnya pembangkang mengepalai bankangan berkenaan? kenapa mereka senyap. jadi kepada siapa lagi yang mahu diharap.

Mungkin, kita kali ini cuma mampu harap kepada diri kita ? jadi boleh harapkan diri kita ? semua yang kita harap kini tertiarap dan meneriarap sahaja ...

itulah sebuah harap...

1MDB: Timbalan Pengarah Operasi Khas SPRM Dipanggil Beri Keterangan

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2015 4:37 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Polis memanggil Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan berlaku kebocoran maklumat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob mengesahkan keterangan pegawai kanan suruhanjaya itu akan direkod pada pukul 3 petang, Rabu.
"Keterangannya akan diambil hari ini," katanya.
Kang Sai adalah pegawai SPRM ketujuh yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Pada Selasa, dua pegawai bahagian sama dirakamkan pada pukul 5 petang di IPD sama.
Sehari sebelum itu, seorang lagi pegawai bahagian berkenaan, Tuan Roslan Tuan Mat dipanggil untuk membantu siasatan kes sama.
Pada Isnin juga, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama dua jam menyoal siasat Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohd Zin di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, manakala Ketua Bahagian Forensik Datuk IG Chandran disoal selama tiga jam di Akademi SPRM di Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada Sabtu, polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.
Dokumen berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikat SRC International serta komputer riba telah dirampas oleh pihak polis.
Tindakan ini dilakukan selepas penangkapan bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kebocoran maklumat tersebut.
Sarawak Report telah menerbitkan draf kertas pertuduhan kononnya dibocorkan oleh pasukan penyiasat 1MDB.
Sebelum itu, seorang pegawai kanan penguatkuasa SPRM  dari unit perisikan membuat laporan di IPD Putrajaya, menafikan  SPRM telah membocorkan maklumat mengenai siasatan 1MDB itu.

Monday, August 03, 2015

Rasionalisasilah dengan ulasan ini tentang FGV pulak ?

Berita dan ulasan parah lagi membarah. Belumpun selesai isu 1MDB, sesalur DB ke akuan peribadi PM sejumlah RM2.6 billion. Ikutilah analisa dan ulasan jujur daripada seorang penganalisa berbangsa Cina.

Berasionalisilah kita dengan ulasan ini, jangan beremosi dan bersentimen rasisme laagi....

Kisah GLC yang bermula dengan megah tetapi kini rebah ke tanah – Chean Chung
Published: 3 August 2015 9:54 AM
Apabila Felda Global Ventures Holdings (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012, ia merupakan projek penyenaraian kedua besar di dunia selepas Facebook.
Pada masa itu harga pasaran FGV adalah sebanyak RM4.45 dan pernah mencapai RM5.50 buat seketika dahulu. Kini selepas 3 tahun, harga saham FGV pada 24 Julai 2015 hanyalah sekadar RM1.67. Dalam tempoh tiga tahun, ia merudum teruk sebanyak 70%. Modal pasaran pada waktu puncak adalah kira-kira RM20 bilion dan kini ia hanya bernilai RM6 bilion - susut teruk sebanyak RM14 bilion.
Penurunan yang drastik ini menyebabkan FGV disingkirkan daripada senarai indeks 30 FBM KLCI.
Di samping itu, apabila disenaraikan di Bursa, FGV memperoleh sejumlah RM9.93 bilion dana. Kini, dana tersebut hanya tinggal RM100 juta sahaja. Apa jadi dengan Felda, projek yang diusahakan dan dibangga-banggakan kerajaan Malaysia sejak tahun 1950-an ini?
Pengerusi FGV Tan Sri Isa Abdul Samad, tokoh yang dibekukan keahlian Umno selama 3 tahun ekoran penglibatan dalam wang politik berhujah, kita tidak boleh membandingkan FGV dengan konglomerat lain kerana 70% pendapatan FGV adalah daripada hasil kelapa sawit.
Namun begitu, pada tahun 2014, syarikat yang mempunyai bahagian perniagaan perladangan kelapa sawit yang lebih besar seperti Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan United Plantations (UPL) juga tidak mengalami penurunan keuntungan yang ketara, sebaliknya UPL mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 4%.
Malah, apa yang dikatakan ketua Pegawai Eksekutif FGV Mohd Emir juga menimbulkan keraguan. Beliau menyalahkan kejatuhan harga minyak sawit mentah (CPO) sebagai punca keruntuhan harga saham FGV. Tetapi, tiada sebuah syarikat kelapa sawit tersenarai yang mengalami penurunun yang begitu dramatik seperti FGV. Persoalannya, apakah punca berlakunya perkara ini? Di sini marilah kita mengimbas kembali satu peristiwa pelaburan yang berkaitan dengan FGV baru-baru ini.
Pada 12 Jun 2015, FGV mengumumkan ia akan memperuntukkan USD679 juta untuk membeli 37% saham sebuah syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia yang dikenali sebagai Eagle High (di bawah penguasaan Kumpulan Rajawali Capita). Apa yang wajar diteliti ialah tiada sebuah pun broker sekuriti yang menganggap transaksi tersebut munasabah.
Maybank Securities misalnya percaya, harga pembelian USD17,400 bagi setiap hektar ataupun bersamaan dengan 770 Rupiah harga sesaham adalah terlalu mahal. Harga terakhir transaksi Eagle High hanya mencatat 450 Rupiah, maka harga pembelian FGV adalah 71% lebih tinggi daripada harga pasaran.
Selain itu, Bloomberg Securities juga menganggarkan Nisbah Harga Perolehan (P/E) 2015/2016 akan mencapai 52/38 kali dan pendapatan sesaham dalam masa jangka pendek akan menjadi negatif.
CIMB Securities juga berpendapat harga pembelian itu terlalu tinggi dan FGV perlu membayar USD174.5 juta terlebih dahulu, ataupun 23% daripada harga pembelian sebagai deposit. Selepas peralihan 37% saham kepada FGV, walaupun kumpulan Rajawali hanya memegang 28.5% saham, ia masih mengekalkan kawalannya ke atas Eagle High.
Selepas pengumuman dibuat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), salah satu pihak pemegang saham FGV, yang juga merupakan tempat simpanan hasil titik peluh daripada berjuta-juta rakyat, membantah urusniaga tersebut kerana harga pembelian adalah terlalu tinggi.
Akhbar "The Edge Financial Daily" melaporkan wakil KWSP berkata, "Jika lebih mahal daripada harga pasaran 30% masih boleh diterima. Tetapi lebih daripada harga pasaran 70% jelas menunjukkan urusniaga (price deal) yang amat tidak munasabah." Harga saham FGV turut menjunam sejurus selepas pengumuman itu dibuat.
Mengapakah pengambilalihan yang tidak rasional tersebut diluluskan? Terdapat khabar angin, pemilik Rajawali merupakan kawan baik Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, secara jelas boleh dikatakan ia bersangkut paut dengan kroni kapitalisme yang diamalkan Umno/Barisan Nasional selama ini.
Ini bukan urusniaga luar biasa pertama yang berlaku. Sebelum ini, terdapat juga pengambilalihan loji minyak di Amerika Syarikat, kilang kacang soya di Kanada, hotel mewah di United Kingdom serta pelan pengambilalihan lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras FGV. Ini menimbulkan keraguan: kewujudan FGV adalah untuk kepentingan rakyat ataupun satu mainan modal sahaja?
Walaupun FGV dianggap sebagai entiti komersil, tetapi ia lebih menyerupai projek kejuruteraan sosial dan politik.
Jika ia merupakan organisasi komersil semata-mata, Isa pastinya tidak akan menyandang begitu banyak jawatan pengerusi di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Kumpulan Pelaburan FELDA (FIC) dan Felda Holdings Bhd. Lebih-lebih lagi, entiti komersil tidak memerlukan seorang tokoh politik veteran untuk mengetuai kumpulan perladangan terbesar di dunia!
Pembangunan industri strategik boleh membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara. Korea, Taiwan dan Jepun mencapai tahap negara maju melalui pembangunan industri strategik yang didorong kerajaan.
Namun begitu, ekoran korupsi yang membarah dalam institusi negara, rasuah dan penyelewengan berleluasa, penjawat awam dipolitikkan, pilihan raya tidak bersih, media tidak bebas dan penekanan masyarakat sivil, Malaysia mengalami masalah “kegagalan kerajaan”.
Ini bermaksud segala usaha untuk menggemblingkan usaha negara dan rakyat di bawah nama kemajuan ekonomi akan tersisih daripada matlamat asal, malah menjadi kubang amalan ambil untung atas angin (rent-seeking) kroni dan mereka yang berkuasa.
Untuk terus memenuhi selera mereka yang semakin besar, projek-projek sebegini akan mengalami proses pengkorporatan, penswastaan dan pemodalan, dan diikuti dengan projek-projek mega yang akhirnya menjadi projek gajah putih.
Hari ini, pengarah-pengarah FGV menikmati gaji lumayan dan mengunjungi seluruh dunia untuk membincangkan urusniaga-urusniaga korporat. Dalam pada itu, lebih daripada 4,458 peneroka menyaman Felda dan mendakwa pihak pengurusan menipu Kadar Perahan Gred (KPG) hasil kelapa sawit peneroka. Mereka yang menyaman Felda ini dinafikan hak untuk berkongsi dividen serta duit raya FGV.
Inilah yang akan berlaku apabil kerajaan gagal dan GLC bertindak di luar kawalan. – 3 Ogos, 2015.
* Penulis merupakan Adun Semambu dan juga ketua Penerangan AMK.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.