Monday, August 03, 2015

Rasionalisasilah dengan ulasan ini tentang FGV pulak ?

Berita dan ulasan parah lagi membarah. Belumpun selesai isu 1MDB, sesalur DB ke akuan peribadi PM sejumlah RM2.6 billion. Ikutilah analisa dan ulasan jujur daripada seorang penganalisa berbangsa Cina.

Berasionalisilah kita dengan ulasan ini, jangan beremosi dan bersentimen rasisme laagi....

Kisah GLC yang bermula dengan megah tetapi kini rebah ke tanah – Chean Chung
Published: 3 August 2015 9:54 AM
Apabila Felda Global Ventures Holdings (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012, ia merupakan projek penyenaraian kedua besar di dunia selepas Facebook.
Pada masa itu harga pasaran FGV adalah sebanyak RM4.45 dan pernah mencapai RM5.50 buat seketika dahulu. Kini selepas 3 tahun, harga saham FGV pada 24 Julai 2015 hanyalah sekadar RM1.67. Dalam tempoh tiga tahun, ia merudum teruk sebanyak 70%. Modal pasaran pada waktu puncak adalah kira-kira RM20 bilion dan kini ia hanya bernilai RM6 bilion - susut teruk sebanyak RM14 bilion.
Penurunan yang drastik ini menyebabkan FGV disingkirkan daripada senarai indeks 30 FBM KLCI.
Di samping itu, apabila disenaraikan di Bursa, FGV memperoleh sejumlah RM9.93 bilion dana. Kini, dana tersebut hanya tinggal RM100 juta sahaja. Apa jadi dengan Felda, projek yang diusahakan dan dibangga-banggakan kerajaan Malaysia sejak tahun 1950-an ini?
Pengerusi FGV Tan Sri Isa Abdul Samad, tokoh yang dibekukan keahlian Umno selama 3 tahun ekoran penglibatan dalam wang politik berhujah, kita tidak boleh membandingkan FGV dengan konglomerat lain kerana 70% pendapatan FGV adalah daripada hasil kelapa sawit.
Namun begitu, pada tahun 2014, syarikat yang mempunyai bahagian perniagaan perladangan kelapa sawit yang lebih besar seperti Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan United Plantations (UPL) juga tidak mengalami penurunan keuntungan yang ketara, sebaliknya UPL mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 4%.
Malah, apa yang dikatakan ketua Pegawai Eksekutif FGV Mohd Emir juga menimbulkan keraguan. Beliau menyalahkan kejatuhan harga minyak sawit mentah (CPO) sebagai punca keruntuhan harga saham FGV. Tetapi, tiada sebuah syarikat kelapa sawit tersenarai yang mengalami penurunun yang begitu dramatik seperti FGV. Persoalannya, apakah punca berlakunya perkara ini? Di sini marilah kita mengimbas kembali satu peristiwa pelaburan yang berkaitan dengan FGV baru-baru ini.
Pada 12 Jun 2015, FGV mengumumkan ia akan memperuntukkan USD679 juta untuk membeli 37% saham sebuah syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia yang dikenali sebagai Eagle High (di bawah penguasaan Kumpulan Rajawali Capita). Apa yang wajar diteliti ialah tiada sebuah pun broker sekuriti yang menganggap transaksi tersebut munasabah.
Maybank Securities misalnya percaya, harga pembelian USD17,400 bagi setiap hektar ataupun bersamaan dengan 770 Rupiah harga sesaham adalah terlalu mahal. Harga terakhir transaksi Eagle High hanya mencatat 450 Rupiah, maka harga pembelian FGV adalah 71% lebih tinggi daripada harga pasaran.
Selain itu, Bloomberg Securities juga menganggarkan Nisbah Harga Perolehan (P/E) 2015/2016 akan mencapai 52/38 kali dan pendapatan sesaham dalam masa jangka pendek akan menjadi negatif.
CIMB Securities juga berpendapat harga pembelian itu terlalu tinggi dan FGV perlu membayar USD174.5 juta terlebih dahulu, ataupun 23% daripada harga pembelian sebagai deposit. Selepas peralihan 37% saham kepada FGV, walaupun kumpulan Rajawali hanya memegang 28.5% saham, ia masih mengekalkan kawalannya ke atas Eagle High.
Selepas pengumuman dibuat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), salah satu pihak pemegang saham FGV, yang juga merupakan tempat simpanan hasil titik peluh daripada berjuta-juta rakyat, membantah urusniaga tersebut kerana harga pembelian adalah terlalu tinggi.
Akhbar "The Edge Financial Daily" melaporkan wakil KWSP berkata, "Jika lebih mahal daripada harga pasaran 30% masih boleh diterima. Tetapi lebih daripada harga pasaran 70% jelas menunjukkan urusniaga (price deal) yang amat tidak munasabah." Harga saham FGV turut menjunam sejurus selepas pengumuman itu dibuat.
Mengapakah pengambilalihan yang tidak rasional tersebut diluluskan? Terdapat khabar angin, pemilik Rajawali merupakan kawan baik Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, secara jelas boleh dikatakan ia bersangkut paut dengan kroni kapitalisme yang diamalkan Umno/Barisan Nasional selama ini.
Ini bukan urusniaga luar biasa pertama yang berlaku. Sebelum ini, terdapat juga pengambilalihan loji minyak di Amerika Syarikat, kilang kacang soya di Kanada, hotel mewah di United Kingdom serta pelan pengambilalihan lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras FGV. Ini menimbulkan keraguan: kewujudan FGV adalah untuk kepentingan rakyat ataupun satu mainan modal sahaja?
Walaupun FGV dianggap sebagai entiti komersil, tetapi ia lebih menyerupai projek kejuruteraan sosial dan politik.
Jika ia merupakan organisasi komersil semata-mata, Isa pastinya tidak akan menyandang begitu banyak jawatan pengerusi di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Kumpulan Pelaburan FELDA (FIC) dan Felda Holdings Bhd. Lebih-lebih lagi, entiti komersil tidak memerlukan seorang tokoh politik veteran untuk mengetuai kumpulan perladangan terbesar di dunia!
Pembangunan industri strategik boleh membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara. Korea, Taiwan dan Jepun mencapai tahap negara maju melalui pembangunan industri strategik yang didorong kerajaan.
Namun begitu, ekoran korupsi yang membarah dalam institusi negara, rasuah dan penyelewengan berleluasa, penjawat awam dipolitikkan, pilihan raya tidak bersih, media tidak bebas dan penekanan masyarakat sivil, Malaysia mengalami masalah “kegagalan kerajaan”.
Ini bermaksud segala usaha untuk menggemblingkan usaha negara dan rakyat di bawah nama kemajuan ekonomi akan tersisih daripada matlamat asal, malah menjadi kubang amalan ambil untung atas angin (rent-seeking) kroni dan mereka yang berkuasa.
Untuk terus memenuhi selera mereka yang semakin besar, projek-projek sebegini akan mengalami proses pengkorporatan, penswastaan dan pemodalan, dan diikuti dengan projek-projek mega yang akhirnya menjadi projek gajah putih.
Hari ini, pengarah-pengarah FGV menikmati gaji lumayan dan mengunjungi seluruh dunia untuk membincangkan urusniaga-urusniaga korporat. Dalam pada itu, lebih daripada 4,458 peneroka menyaman Felda dan mendakwa pihak pengurusan menipu Kadar Perahan Gred (KPG) hasil kelapa sawit peneroka. Mereka yang menyaman Felda ini dinafikan hak untuk berkongsi dividen serta duit raya FGV.
Inilah yang akan berlaku apabil kerajaan gagal dan GLC bertindak di luar kawalan. – 3 Ogos, 2015.
* Penulis merupakan Adun Semambu dan juga ketua Penerangan AMK.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: