Empat belas daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang dalam pemilihan parti itu Sabtu lepas mengambil keputusan meletak jawatan sebagai protes berhubung pemilihan tersebut. 

Suriyani Lamai, yang mengetuai protes itu, berkata mereka mengambil keputusan itu kerana menganggap banyak perkara meragukan dalam proses pemilihan berkenaan.

"Kami mengambil keputusan meletak jawatan beramai-ramai kerana kami tidak puas hati," katanya dalam sidang berita hari ini yang turut dihadiri kesemua 14 ahli jawatankuasa bahagian itu.

Selain Suriyani, yang memperoleh undi terbanyak, turut meletak jawatan ialah Masnah Lama, Hindun Abu Bakar Titingan, Salmah Maidin, Astika Tahir, Nurida Abu Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar, Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche dan Muliati Engkeng.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samat yang turut hadir dalam majlis itu berkata pihaknya telah menghantar laporan bantahan ke ibupejabat Umno pusat kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu dan berharap Jawatankuasa Pemilihan Umno memberi keputusan secepat mungkin.

"Jika boleh, sebelum 19 Oktober ini dan pemilihan semula diadakan secara adil," kata Hamisa.

Dalam pemilihan itu, beliau tewas kepada Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi bagi jawatan Ketua Wanita bahagian dan menurut Hamisa, beliau memperoleh 384 undi berbanding 417 yang diraih Cahaya manakala 10 undi lagi rosak.

Wanita Kalabakan, katanya, mempunyai 825 perwakilan yang layak mengundi pada kali ini tetapi 764 orang yang hadir pada mesyuarat Sabtu lepas. 

"Saya curiga dari mana dapat 47 undi yang lebih itu. Beberapa perwakilan telah pulang dan tidak sempat mengundi," dakwanya. 

Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan proses pemilihan kali ini, yang didakwanya dicampuri banyak pihak.

"Ketika proses pengundian, ramai yang tidak berkenaan seperti kaum lelaki masuk ke dalam pusat pengundian. Ini tidak sepatutnya berlaku," dakwa Hamisa.

Bagaimanapun, Hamisa yang yakin dengan keputusan Umno pusat kelak setelah menghantar bantahan, meminta anggota Wanita Umno Kalabakan supaya bertenang dan meneruskan perjuangan parti.

- Bernama