1 / 1 
PADA Ogos tahun ini, golongan doktor klinik swasta dan hospital yang diwakili Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr N K S Tharmaseelan meminta yuran khidmat rundingan dinaikkan sebanyak 30 peratus. Langkah rayuan MMA ini berikutan langkah kerajaan yang hanya mencadangkan peningkatan 14 peratus pada tahun lepas.

Beliau tidak berpuas hati kerana orang ramai sanggup membayar khidmat menggunting rambut atau makan yang lebih tinggi daripada kos rawatan perubatan. Beliau juga membandingkan kos pemeriksaan tukang paip yang mengenakan caj antara RM50 hingga RM100 untuk setiap pemeriksaan yang didakwa melebihi caj pemeriksaan doktor ke atas pesakit.

Pada pandangan penulis, bukan semua orang pergi ke salon semata-mata untuk membayar kos menggunting rambut yang mahal. Jadi, menyatakan caj menggunting rambut adalah lebih mahal daripada yuran perkhidmatan perundingan (termasuk kos ubat-ubatan) pengamal perubatan am (general practitioner) adalah perbandingan yang tidak sesuai kerana ia adalah bentuk generalisasi (mengumumkan semua perkara). Realiti tidak begitu.


Nasib gulung tikar

Begitu juga apabila presiden MMA menyatakan caj harga makanan yang lebih mahal daripada caj perkhidmatan perundingan pegamal perubatan umum. Seperti pembaca sedia maklum, bukan semua orang mampu membayar lebih RM50 untuk seorang sekali makan.

Penulis tiada kena mengena dengan MMA. Namun penulis adalah antara pengguna yang peka dengan perkembangan ekonomi semasa. Penulis bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden Persatuan Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga Malaysia (TPA), Paul Cheok iaitu jumlah pesakit semakin bertambah.

Beliau menjelaskan realiti tersebut atas dasar ketidaksetujuannya terhadap permintaan presiden MMA untuk menaikkan caj pembedahan. Pertambahan bilangan pesakit berkunjung sama ada ke hospital/klinik awam atau swasta dipercayai bertambah secara berkadar terus dengan pertambahan bilangan penduduk negara.

Jadi, pada hemat penulis kenaikan caj perkhidmatan perundingan dicadangkan Kementerian Kesihatan sebanyak 14.5 peratus adalah wajar.

Mereka yang mampu membayar caj menggunting rambut atau makan RM50 untuk setiap jenis perkhidmatan tersebut boleh memilih sama ada untuk pergi mendapatkan khidmat pengamal perubatan am atau pengamal perubatan pakar. Untuk mendapatkan perkhidmatan kelas pertama dan selesa, sudah tentu mereka memilih perkhidmatan hospital atau klinik pakar.

Menyentuh mengenai sesetengah doktor gulung tikar pula, pada pandangan penulis ia adalah adat orang berniaga. Buka klinik dan hospital dengan mengadakan khidmat perundingan (biasanya hanya beberapa minit) disertai menjual ubat-ubatan adalah sejenis bisnes.

Sebahagian daripada mereka yang gulung tikar mungkin bukan berpunca daripada kenaikan kos operasi bulanan tetapi berpunca daripada faktor lain seperti mutu perkhidmatan yang rendah, membuka klinik di kawasan yang memang kurang pesakit untuk mengunjunginya dan faktor pengurusan yang kurang cekap.

Mungkin dalam sedikit masa lagi, presiden MMA akan mengajukan permintaan sama iaitu menaikkan yuran perkhidmatan perundingan 30 peratus dengan alasan kos operasi bulanan meningkat akibat kenaikan harga petrol/diesel baru-baru ini.

Jika Kementerian bersetuju menaikkan lagi yuran perkhidmatan perundingan dalam setahun dua ini seperti yang disuarakan  presiden MMA ini, maka yang membayar kos perubatan yang meningkat nanti ialah pengguna.


Jejaskan pelanggan

Sebelum ini memang ada suara dari MMA pada 2010 yang menyatakan perniagaan klinik swasta merosot. Punca kemerosotan bilangan pesakit yang menggunakan khidmat klinik swasta tidak dinyatakan.

Pada pendapat penulis, mungkin semakin ramai penduduk Malaysia yang semakin sihat. Sedia maklum Klinik1 Malaysia yang mengenakan caj perkhidmatan yang amat berpatutan. Ia mungkin menjadi pilihan baru kepada golongan yang kurang mampu dan golongan yang mengamalkan sikap jimat-cermat.

Rencana pengarang MMA itu juga dipetik sebagai berkata pesakit yang mampu membayar rawatan kesihatan perlu mempunyai akses ke pusat rawatan kesihatan swasta pada kos yang berpatutan. Pada pandangan penulis kenaikan caj perkhidmatan perundingan sebanyak 30 peratus yang diajukan presiden MMA bukanlah kos yang berpatutan.

Sebagai sebuah persatuan menjaga kepentingan ahlinya yang terdiri daripada golongan doktor, sudah tentu MMA cuba sedaya-upaya mengetengahkan cadangan demi cadangan yang mendatangkan faedah kepada ahli yang berdaftar dengannya. Namun caj perkhidmatan dicadangkan kerajaan pada tahun lepas sepatutnya disambut baik.

Mungkin ramai pesakit akan berfikir berkali-kali untuk mendapatkan khidmat perundingan di klinik swasta apabila yuran perkhidmatan perundingan dinaikkan sebanyak 30 peratus? Apatah lagi dalam situasi sekarang kebanyakan harga barangan bukan kawalan dan perkhidmatan dikesan sudah meningkat berikutan pengumuman kerajaan menaikkan harga petrol/diesel?

Hospital dan klinik panel mungkin tidak terjejas namun klinik swasta hidup bergantung kepada pesakit yang datang keluar duit poket sendiri akan mengalami bahana tersebut (kekurangan kunjungan pesakit).

Jika ini benar-benar berlaku, walaupun ketika caj perkhidmatan hanya dinaikkan 14 peratus seperti dicadangkan kerajaan janganlah pula MMA memberi alasan yang terus-menerus boleh dijadikan bahan tertawa. Alasan dilihat bijak MMA, namun dilihat sebagai alasan untuk kepentingan ekonomi kalangan ahli MMA oleh golongan pemerhati.

Presiden MMA menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan doktor adalah kaya dan tamak. Realitinya menurut beliau ramai doktor bergelut dengan peningkatan kos utiliti, sewa dan gaji. Ada juga yang gulung tikar.  Hakikat sama ada doktor tamak atau tidak tiada siapa yang mengetahui kecuali ALLAH dan tuan punya diri. Kalau dikatakan tujuan menjadikan profesion doktor terutama doktor pakar di hospital swasta dan tuan punya klinik untuk mudah menjadi kaya ia adalah realiti.

Penulis tidak bermaksud untuk mengira duit orang iaitu pendapatan doktor terutama yang berkhidmat di hospital/klinik swasta. Namun seperti dinyatakan presiden MMA, caj RM100 ribu untuk perkhidmatan perubatan tertentu bukan perkara pelik. Jadi, tidak hairan jika terdapat doktor pakar sektor swasta yang mengambil gaji berpuluh ribu sebulan. Sudah tentu dengan duit sebanyak itu mereka mampu membeli dan menyelenggarakan kereta mewah seperti Mercedes sport yang berharga lebih dari RM200 ribu!

Kepada pengguna, penulis cadangkan puliharalah kesihatan agar ia sentiasa cemerlang. Kesihatan cemerlang tidak memerlukan ubat-ubatan doktor swasta atau Klinik 1 Malaysia. Jalanilah hidup secara sihat dan holistik.

Antara cara mudah menjaga kesihatan adalah buka fikiran dengan menimba ilmu baharu dalam bidang ilmu perubatan moden, nutrisi atau perubatan alternatif. Ia akan membantu  anda membuat perbandingan, pertimbangan dan pilihan bijak bagi mengurus kesihatan diri sendiri.