Tuesday, October 22, 2013

Audit 2012: Tangkap Kambing Hitam dan Hukum juga Hantu Jembalang .atau Puaka.....

Heret segera penjawat awam yang melakukan penyelewengan dengan kadar segera. Jangan ditangguhkan tindakan. Rakyat mahu semua pesalah yang pecah amanah ini dihukum. Penjawat awam seumpama ini, janganlah disimpan kerana menjadi barah dalam institusi atau organisasi.

Apa yang kita bimbangi, takut-takut penjawat awam yang menyeleweng itu sebagai kambing hitam. Kerana dalangnya dalah HANTU JEMBALANG yang memakan semua muntah yang telah dimuntahkan oleh kambing hitam tadi.





Tindakan Tegas Ke Atas Penjawat Awam Terlibat Salah Guna Kuasa, Urus Tadbir
 
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau salah urus tadbir sehingga menyebabkan kerugian kewangan seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata secara umumnya, terdapat tiga langkah yang akan diambil oleh kerajaan mahupun swasta setiap kali laporan audit dikeluarkan bagi memastikan pengurusan aset dan kewangan yang baik secara berterusan.
"Kesalahan paling serius seperti penyalahgunaan kuasa atau salah urus tadbir dalam proses dan prosedur dan menyebabkan kerajaan rugi, akan dikenakan tindakan yang lebih keras," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel pada sesi Simposium Pasaran Modal Dunia di sini, Selasa.
Terdahulu, pada sesi panel Abdul Wahid berkata pengurusan dan prosedur yang lemah boleh dibetulkan segera dengan menambah baik proses dan melatih pegawai bagi memastikan mereka mengetahui proses dan prosedur di jabatan masing-masing.
Bagi kesalahan yang tidak membabitkan kehilangan wang atau kerugian yang teruk, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin selepas siasatan dijalankan.
Namun bagi kesalahan yang melibatkan kerugian kewangan kerajaan, tindakan serius boleh diambil, bergantung kepada keputusan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Secara konsepnya, apa yang dilaksanakan oleh pihak swasta boleh dilaksanakan pihak kerajaan. Bagi swasta, sekiranya kesalahan serius, ada panel inkuiri dalaman yang akan melihat sama ada terdapat kesalahan yang serius, tahap kesalahan dan hukuman yang sesuai.
Jadi terpulang kepada Ketua Setiausaha Negara untuk melihat (bagaimana ia boleh dilaksanakan)," katanya.
Satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan meneliti Laporan Ketua Audit 2012 telah ditubuhkan, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai SPRM, Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.
Jawatankuasa ini dijangka mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas ke atas penjawat awam yang didapati terbabit dalam sebarang penyelewengan dan salah laku dalam sistem tadbir urus kewangan di pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
SPRM kini menyiasat 15 kes berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Wahid juga berkata dalam konteks kerajaan mahu berbelanja secara berhemah untuk menghadapi cabaran masa depan, ia juga perlu memastikan semua perbelanjaan dilakukan secara bertanggungjawab.-BERNAMA

No comments: