Apa yang ada dalam Belanjawan 2014? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual membentangkannya di Parlimen pada jam 4 petang ini.

Beliau pagi ini mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk membentangkannya.

Belanjawan pertama selepas pilihan raya umum ke-13 ini mendapat perhatian pelbagai pihak, antaranya ekoran spekulasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditentang hebat pembangkang, akan diperkenal.

Malaysiakini akan melaporkan secara langsung intipati pembentangan dari masa ke semasa. 

Sebagai alternatif, pembaca juga boleh mengikuti perkembangan yang sama di laman Twitter kami, @mkini_bm atau di Facebook.

Siaran langsung pembentangan belanjawan bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' di Parlimen dan analisisnya juga boleh ditonton di www.kinitv.com/live.
4.54pm: Peruntukan untuk projek juga melibatkan menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan peruntukan RM312 juta. 

Terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kuantan akan dinaik taraf. 

Melaksanakan fasa kedua projek HSBB dengan kerjasama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion.

Kelajuan Internet akan dinaikkan kepada 10 Mbps. 

Meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

Bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut akan dipasang dalam tempoh tiga tahun, melibatkan kos RM850 juta.
    
Bank Negara Malaysia akan mengetuai usaha merangka Akta Penyelesaian bagi melindungi hak penguat kuasa 'close-out netting' menerusi kontrak kewangan.

Memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Indeks Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Instrumen Sukuk. 

Mewujudkan Dana SRI yang dilabur dalam syarikat senaraian.
4.48pm: Bajet 2014 akan peruntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek:
  • Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk Peruntukan Operasi manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. 
  • Pada 2014, kutipan perolehan Kerajaan Persekutuan dianggarkan RM224.1 bilion, peningkatan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013. 
  • Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014. 
  • Pelaburan swasta dijangkakan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus kepada KDNK, terutama dalam industri minyak dan gas, industri tekstil, peralatan pangangkutan dan pembangunan hartanah.
  • Pelaburan awam dianggar mencecah RM106 bilion.
  • Projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316-kilometer. 
  • Projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, Gemas ke Johor Bahru.
  • Projek-projek yang dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; projek loji regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID, Pengerang.
  • Kerajaan akan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pembangunan di lima wilayah koridor ekonomi. 
  • Projek Agropolitan dan industri berasaskan kelapa sawit akan dilaksanakan di Koridor Pembangunan Sabah, Taman Perindustrian Samalaju dan hab Halal di Koridor Wilayah Sarawak. 
  • Pelan Induk Sektor Perkhidmatan akan dilancarkan tahun depan.
  • Pelan Induk Sektor Logistik dan Dasar Penerbangan Nasional akan digubalkan.
  • Memperuntukkan pinjaman mudah RM3 bilion di bawah Dana Pembangunan Maritim menerusi Bank Pembangunan Malaysia.
  • Menggantikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang,  pusat pengurusan trafik udara baharu dengan kos RM700 juta akan dibina di KLIA.