MESIR: DOKTRIN ISLAM-POLITIK DICABAR
Posted in Artikelon 24th Aug 2013 |
PERTEMBUNGAN DOKTRIN
Kedudukan Mesir sebagai hub intelektual dunia Islam telah menyaksikan kelahiran berbagai aliran Islam yang berupaya menguasai kelompok yang bersaing atas nama Islam. Mendasari perkembangan di Mesir adalah pertembungan doktrin Sekular -Liberal dan Islam.
SALAFIYAH vs ISLAHIYAH
Jika kita melusuri perjuangan pemikiran Islam pasca Khilafah, kelompok Islam membentuk dua aliran antara Salafiyah yang rigid interpretasi teksnya dan Islahiyah yang agak kontemporari fahaman teksnya mengikuti perkembangan semasa. Muncul dalam kelompok Islahiyah ini individi-individu di kalangan ulamak yang mempelopori pemikiran Islam terkini dengan suntikan makna pada zaman yang dilaluinya.
Tokoh seperti Mohd Abduh, Rasyid Redha dan sebelumnya Jamaludin Al Afghani menjadi mercu tanda pemikiran pada persimpangan umat Islam mencari identiti politik yang hilang dengan proses kejatuhan Khilafah sehingga tahun 1924.
Namun kemunculan seorang tokoh yang bernama Hassan Al Banna bukan sahaja meninggalkan bekas perbahasan intelektual tetapi yang lebih penting telah membentuk satu pergerakan yang mempunyai organisasi paling tersusun yang menguasai pemikiran massa di atas nama Ikhwan Al Muslimun atau Muslim Brotherhood.
SALAFIYAH
Golongan salafi yang fahaman teks Al Quran dan Hadisnya yang agak kaku tidak banyak melahirkan tokoh-tokoh besar kerana kemunculan mereka adalah merupakan status-quo kepada mainstream yang ada semasa kejatuhan Khilafah tetapi ia telah melahirkan kelompok yang anti kemodenan dan Barat lalu menjadi benih awal kepada kemunculan ekstrimism dan militan dalam perjuangan mereka.
Kelompok Gamaah Islamiyah, Hijrah Wa Takfir dan terkini Al Qaeda adalah sebenarnya manifestasi kebencian kepada Barat dan disokong dengan interpretasi totok kepada teks-teks Al Quran dan Hadis yang ada.
LIBERAL-SEKULAR
Kelompok ini mahukan Islam dalam bentuknya yang bebas dari hambatan institusi kawalan moral lantas meletakkan hak individu untuk memilih gaya dan cara hidupnya mengikut pilihannya dan tidak mahu dipaksa dan dipantau oleh polis moral.
Mereka melihat aspek syariah sebagai diskriminasi terhadap kaum wanita. Mereka mahukan interpretasi Islam yang bebas dan menganggap politik dan Islam tidak boleh bersatu. Mereka tidak menolak agama, tetapi menolak parti Islam dan negara Islam yang mereka dakwa teokratik.
MENGISI REVOLUSI RAKYAT
Kekosongan period transisi regim kuku besi kepada suara rakyat menyaksikan konfrontasi Sekular-Liberal dan Islam tidak dapat dielakkan. Perkembangan rampasan kuasa tentera disokong oleh kelompok Sekular-Liberal kerana menganggap pengaruh Ikhwan melalui kemenangan Morsi akan membawa negara Mesir kepada pemerintahan agama lalu menafikan hak demokratik rakyat menentukan halatuju negara.
Golongan Sekular-Liberal mewajarkan sokongan mereka terhadap rampasan tentera tempoh hari dengan membawa doktrin anti-political-Islam. Walaupun perbahasan ini jauh dari capaian rakyat awam yang rata-ratanya kais pagi makan pagi di Mesir, namun doktrin ini cuba dipaksakan kepada rakyat Mesir bahawa Morsi mewakili Islam-Politik yang akan menghuru-harakan Mesir dan membawa Mesir ke belakang.
Biarlah ini satu dakwaan kosong sebenarnya dan Tentera yang mencipta suasana huru-hara di Mesir namun implikasi doktrin anti-Islam Politik adalah mesej yang kuat kepada seluruh dunia Islam bahawa mereka harus menentang Islam-Politik dan ini bermakna menentang parti Islam dan cita-cita politik Islam walaupun tak semestinya mereka menantang Islam sebagai agama ritual dan spiritual.
PEMIKIRAN POLITICAL-ISLAM
Tesis ini di kemukakan pada awal 90an oleh Oliver Roy dalam bukunya ‘”The Failure of Political Islam” di mana istilah Political-Islam itu dikaitkan dengan kemenangan kelompok Islam melalui politik yang melahirkan neo-fundamentalism. Politik yang diceburi oleh kelompok ini lebih banyak melahirkan sikap anti-Baratnya melalui kebimbangan mereka terhadap aspek moral dan keruntuhan akhlaq dan gagal membawa program ekonomi sosial dan politik yang mampu mengubah keadaan.
Oliver Roy amat berhati-hati untuk tidak melonggokkan kesalahan itu kepada Islam kerana di kalangan Islamist ada yang menggarap persoalan politik melalui adaptasi kepada perkembangan di Barat dan berpandukan kepada panduan Islam yang sebenar. Menarik dalam hujah Oliver ialah beliau menganggap kelompok neo-fundamentalism adalah anti-tradisi ilmu malah cuba menentukan peranan ilmu mengikut selera mereka melalui kuasa politik yang ada kepada mereka.
Rumusan Oliver ialah kemunculan Islam-Politik adalah gambaran kepada anti Barat dan kemodenan tanpa satu program sosio-ekonomi dan rakyat yang dikuasainya akan memberontak kerana mereka tidak dapat menikmati hasil kemodenan dan pembangunan maka negara akan huru-hara. Akhirnya lahirlah pemikiran ‘kegagalan Islam-Politik’ (the failure of political Islam) sebagai tema yang diangkat.
MENCABAR TESIS INI
Di kalangan intelektual Sekular-Liberal, ide ini sudah mula didengungkan bagi mewajarkan rampasan kuasa ke atas Morsi. Persoalannya ialah, adakah Morsi mewakili konsep Islam-Politik yang dikemukakan oleh Oliver Roy?
Adakah pemikiran rasmi Ikhwan mendasari neo-fundamentalism?
Adakah pengalaman Algeria, Sudan dan Afghanistan sama dengan proses demokrasi yang dilalui oleh rakyat Mesir?
Adakah kewajaran rampasan tentera kerana Mesir di kancah perang saudara dengan kemenangan Morsi?
Jawapan kepada persoalan yang banyak ini akan membawa kita untuk mencabar teori Oliver Roy yang diaplikasikan oleh golongan Sekular-Liberal dalam meyakinkan orang ramai bahawa menjatuhkan Morsi adalah menyelamatkan Mesir dari Islam-Politik.
IMPLIKASI
Semua kelompok Islam yang bergerak di medan siyasah (politik) harus mengambil serius apa yang saya lontarkan dalam artikel ini kerana pertembungan doktrin merentasi batas geografi dan masa. Selagi Islamist di medan politik tidak membuktikan Islam adalah merentasi sekadar kuasa dan tidak menjurus kepada konsep ketamadunan yang lebih luas skopnya selagi itu tanggapan teori ‘kegagalan’ ini akan menghantui semua pihak.
Islam yang diusung dan diperjuangkan mesti memberi makna kepada keadilan sosial, erti kemanusiaan, erti kebebasan bersuara, keamanan hubungan antara agama dan erti kerajaan yang adil. Kemenangan parti Islam di medan politik bukan kemenangan anti-Barat tetapi ia kemenangan Keamanan Manusia Sejagat dan pastinya kemenangan Islamist perlu menghormati lunas-lunas demokrasi dalam melihat julat kepelbagaian yang ada.
Penegasan kepada suntikan makna Islam yang lebih luas cakupannya dan capaiannya akan menjadikan teori Oliver Roy dan pengusungnya dicabar untuk kita membentuk tesis baru iaitu “The Success of Political Islam”.
PERTEMBUNGAN BERTERUSAN
Morsi telah diharamkan haknya untuk membuktikan teori sukses ini oleh Tentera yang disokong oleh golongan Sekular-Liberal. Saya meyakini bahawa pemikiran Morsi yang didasari oleh Rahmatan Lil Alamin sesekali bukan neo-fundamentalism. Ikhwan pula terkenal dengan sikap keterbukaan mereka kepada pertembunagn Islam dan Barat.
Para ulamak dan ilmuan Ikhwan senantiasa mencari-cari titik pertemuan pembinaan tamadun dengan berdialog dan bertukar pandangan. Ikhwan juga tegas dalam soal menuntut hak dan menentang penindasan. Apa yang berlaku di dataran Nahda di Rabiah Adawiyah adalah suara menuntut Hak.
Tiada yang berani mengatakan tindakan rampas kuasa adalah wajar kecuali golongan Sekular-Liberal yang totok anti Islam-Politiknya. Mereka mendapati tentera akan memenuhi kehendak mereka kerana mereka tidak ada asas sokongan rakyat di akar umbi.
Dengan pembebasan Mubarak dari penjara dan dikenakan tahanan di rumah dan Morsi serta pimpinan Ikhwan dipenjarakan, kita hanya mampu bertanya apakah prinsip awalan ini yang hendak diasaskan dalam mengisi Revolusi Rakyat 2011 yang dahagakan kebebasan dan demokrasi?
Apakah ini kes awalan yang hendak diasaskan oleh golongan Sekular-Liberal bahawa demokrasi hanya untuk mereka dan bukan untuk gologan Islam?
Wajar bagi Islamist di medan siyasah mencabar semua prinsip ini dengan kekuatan hujah dan intelektual yang ampuh.