'Misi Jepun tak berbaloi'Rajagobal (dua dari kanan) terus dikritik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia.
Pengorbanan Harimau Malaya sepanjang Ramadan sia-sia 

Kuala Lumpur: "Kalau dengan kelab divisyen dua Jepun pun kalah 5-0, macam mana keputusannya apabila skuad Harimau Malaya bertemu Barcelona, 10 hari lagi.” 

Itu sindiran pedas bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Hassan selepas skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal menamatkan siri latihan dan aksi persahabatan di Tokyo, Jepun dengan kekalahan memalukan 5-0 kepada pasukan tangga ke-11 liga divisyen dua negara itu, Tokyo Verdy, semalam. 
Terdahulu, skuad Rajagobal tewas kepada dua kelab divisyen satu Jepun iaitu Shimizu S-Pulse 2-0, Khamis lalu dan Shonan Bellmare 5-0, dua hari kemudian, sekali gus secara keseluruhan dibolosi 12 gol dengan skuad negara gagal menjaringkan sebarang gol.