Wednesday, August 08, 2012

Rakyat Ditakut-takutkan dengan perkataan diturunkan

Marilah kita merenung bersam apa yang Dato Presiden PAS nyatakan melalui tulisan dan pandangan beliau tentang Melayu dan politik Melayu bawaan UmnoBn.

Niat sebenar umnopro adalah bagi menimbulkan kesangsian terhadap kuasa dan kekuasaan melayu yg dicanang-canangkan bakal dikuburi oleh PR pada pilihanraya yng akan datang.

Ancaman dan ugutan emosi adalah usaha-usaha membina persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan alternatif PR yang bakal duduki Putrajaya. 

Tawaran PR melalui Projek Buku Jingga hingga kini masih rakyat gagal fahami mesejnya. Rakyat semakin risau jika semua benda diturunkan.

Utama dan pertamanya bilamana Umnopro bakal diturunkan daripada Putrajaya.



Umno hadiah kerusi kepada MCA, MIC dan Gerakan

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,07 Ogs 2012

Isu  yang sering dicampak oleh media khadam UMNO ialah 90 kerusi untuk DAP, tujuannya untuk memikat pengundi Melayu supaya terus bersama UMNO, walaupun sudah ada keraguan yang banyak terhadap kemampuan UMNO memimpin negara bersama rakan-rakannya, khususnya dengan penyertaan beberapa tokoh UMNO dan pegawai tinggi kerajaan yang bersih dan tidak berkepentingan bersama PAS. Memang rakyat Melayu yang jahil sepak terajang politik tidak nampak dengan hakikat yang nyata berlaku di lapangan seluruh negara.


Perlu dikaji bahawa beberapa senario pilihanraya menunjukkan DAP terus bertapak di kawasan majoriti bukan Islam. DAP tidak mampu bertapak di kawasan majoriti Melayu, jumlah sebenar yang mampu bagi DAP untuk menang  tidak sampai lebih daripada 50 kerusi. Kedudukan DAP yang kuat ini  sehingga MCA, MIC dan Gerakan (rakan sejawat UMNO) tersingkir dalam beberapa kali pilihanraya dan akhirnya  hilang  kuasa di Pulau Pinang dan tersingkir di banyak tempat di peringkat Parlimen. Maka UMNO terpaksa merancang untuk menyelamatkan kuasa  semata-mata, walaupun menjual maruah agama dan bangsanya sendiri.


Keadaan menunjukkan bahawa DAP sekadar berkemampuan lebih kurang  jumlah kerusi tersebut sehingga tidak ada alasan untuk menjadi parti mengepalai kepimpinan negara, dengan kadar itu daripada jumlah semuanya 222 kerusi di parlimen. Maka yang lebih daripada itu adalah  rebutan di antara PAS, PKR Melayu dan UMNO dengan sedikit berbeza di Malaysia Timur bagi bumiputera. Di sinilah juga maka DAP bersama menerima asas yang sudah ada dalam Perlembagaan Negara yang telah disalah urus oleh UMNO bersama BN. DAP menerima kedudukan Islam adalah agama persekutuan, serta hak yang adil kepada agama-agama yang lain. Hak istimewa bumiputera dan hak yang adil terhadap kaum yang lain, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan hak bahasa ibunda berbagai kaum, dan menerima konsep raja berperlembagaan.


Sesiapa yang mengkaji secara mendalam di sepanjang perjalanan pilihanraya mencetuskan kesedaran betapa UMNO adalah  parti sekular pragmatik yang lebih bertujuan untuk mempertahankan kuasa  semata-mata, tanpa agenda yang sebenar mempertahankan Melayu dan Islam, lebih malang dan zalim apabila menyalahkan pihak lain yang boleh mencetuskan kekacauan dan UMNO hanya ingin mengambil kesempatan dengannya bagi meneruskan kuasanya.


Sikap pemimpin UMNO dan langkah politik  mereka mendedahkan perjuangannya yang sebenar, bukan sahaja Islam dan Melayunya diperkuda dengan topeng hak istimewa, bahkan kerusi Islam dan Melayu yang telah diakui oleh semua kaum lain dihapuskan oleh UMNO, demi menyelamatkan rakan sejawatnya, MCA, MIC dan Gerakan.


Kepada sesiapa yang  membaca politik UMNO akan menemui betapa UMNO menyerahkan banyak kerusi campuran, majoriti Islam dan Melayu di seluruh negara kepada rakan sejawatnya MCA, MIC dan Gerakan bagi menyelamatkan kuasa semata-mata. Walaupun PAS meletakkan calonnya di kawasan tersebut, UMNO wajib mengalahkan PAS walaupun dengan politik wang tanpa batas khususnya membeli pengundi-pengundi Melayu Islam di kawasan yang dihadiahkan kepada MCA dan Gerakan. Jentera UMNO dikerahkan bermati-matian, termasuk guru-guru agama  bagi menunjukkan kesetiaannya kepada MCA, MIC dan Gerakan.


Dipihak yang lain pula UMNO menggunakan kuasa majoriti di parlimen menambah kerusi di peringkat negeri dan pusat. Hanya di negeri-negeri dan kawasan Melayu kuat UMNO sahaja dilakukan penambahan kerusi dengan jumlah dan persempadanan yang sangat tidak seimbang  dan dengan sengaja tidak menambah kerusi di negeri-negeri dan kawasan-kawasan di pantai timur dan utara semenanjung yang besar majoriti Islam dan Melayunya (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis). Ada kawasan yang jumlahnya lebih daripada lapan puluh ribu dan sempadannya lebih besar daripada negeri Melaka dan Perlis, seperti Baling, Gua musang, Kemaman dan sebagainya, tidak berubah sejak berpuluh tahun. Di Johor, Sabah dan Sarawak dibanyakkan kawasan tambahan dan sebahagiannya dihadiahkan kepada MCA, MIC dan Gerakan  dan rakan-rakannya yang lain.


Adapun kenyataan pemimpin UMNO bahawa DAP akan menguasai seluruh negara sekiranya BN kalah dengan  provokasi  perkauman,  adalah satu cara yang zalim, demi mencapai kemenangan dengan apa cara, walaupun  boleh menyebabkan kebencian di kalangan kaum dalam masyarakat majmuk. Sepatutnya kaum Melayu dan Islam diperkasakan pengetahuan politik, bukannya diperbodohkan, khususnya melalui media arus perdana berbahasa Melayu yang digunakan menjadi khadam dan hamba abdi UMNO.


UMNO yang gagal menunjukkan  contoh Islam dan sifatnya yang sebenar kepada kalangan bukan Islam, bahkan menunjukkan amalan yang mencalarkan imej Islam. Contoh tidak adil terhadap semua, contoh rasuah, menggunakan kuasa yang bercelaru, pemimpin yang terlibat segala jenis skandal silih berganti dan skandal digunakan untuk menundukkan pemimpin mengikut contoh politik kaum Yahudi. Dalam masa yang sama memperbodohkan rakyat dengan politik wang dan media terhadap kaumnya sendiri.


UMNO yang menunjukkan sifat pemimpin yang berlagak menjadi Tuhan, Maha suci daripada segala kesalahan dan kekal berkuasa selama-lamanya, melakukan apa sahaja terhadap pemimpin dan parti kalangan bangsanya sendiri, walaupun dengan cara merempuh dasar konsep perlembagaan, seperti tidak melaksanakan konsep Federalisme  apabila PAS memimpin Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak, dengan melakukan tindakan yang lebih keras daripada negeri yang dikuasai oleh kaum lain, seperti terhadap Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan, Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika berada dalam Malaysia. Maka UMNO tidak layak menjadi pelakon pahlawan Melayu menentang DAP.


UMNO jangan menyalahkan parti bangsa lain kerana Melayu bumiputera masih lambat untuk mengejar kefahaman bangsa lain, UMNOlah yang menghilangkan jatidiri Melayu Islam di Singapura  dan negeri-negeri Melayu pantai barat semenanjung dan kelemahan bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak disebabkan berebut jawatan parti untuk merebut kekayaan. Cukuplah baki orang Melayu dan bumiputera dengan sejarah yang terlalu dekat, peristiwa  kematian Bank Bumiputera yang berada di bawah ketiak UMNO, kerana di mana adanya pejabat bahagian UMNO maka di bawahnya Bank Bumiputera  dan yang terbaru Bank Pertanian diubah nama kepada BANK AGRO, seronok dengan nama orang putih, inilah dia bahasa jiwa bangsa, sehinggalah bahasa kebangsaan dikecilkan tulisannya dan berada digaris yang direndahkan dalam segala iklan di Malaysia bukannya di England.


UMNO hanyalah teringat kepada agama dan bangsanya sepenuh semangat ketika hampir pilihanraya dan di masa kempen pilihanraya. Menggunakan sebanyak duit untuk meraih kemenangan, kemudian menyalahgunakan duit dan kuasa selepas kemenangan. Perkara ini tidak berlaku di zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, oleh kerana ini maka ramai kalangan  UMNO lama dan bekas pegawai kerajaan bersama PAS dan mengharapkan PAS ganti UMNO.


Perkembangan menarik juga berlaku di kalangan bukan Islam dan Melayu, apabila media bahasa ibunda mereka agak terbuka, tidak seperti media khadam Umno yang membodohkan bangsanya sendiri, Apabila sedikit kuasa yang penuh cabaran dan sekatan kepada PAS dilaksanakan terhadap kaum bukan Islam dilaporkan oleh media bahasa cina dan tamil , menyebabkan bukan Islam dan bukan Melayu mengundi calon PAS yang menentang calon MCA , MIC dan Gerakan.


Dalam ruangan ini PAS berusaha untuk menyelamat secara khusus, kaum Islam dan Melayu supaya mengubah kepercayaan mereka terhadap UMNO dalam masa yang lama, kepada memberi kepercayaan kepada PAS memimpin kaum Islam dan Melayu khususnya bersama Pakatan Rakyat dengan Negara Berkebajikan yang adil untuk semua.


ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

No comments: