Motif Aziz Bari?
Awang tidak terkejut dengan kenyataan pensyarah indang-undang, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari mempersoalkan titah peringatan Sultan Selangor berhubung isu cubaan memurtadkan orang Islam. Ramai tahu siapa sebenarnya Abdul Aziz. Awang bukan mahu membuat tuduhan liar tetapi ia sudah menjadi rahsia terbuka sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin.
Kecenderungan politiknya kepada pembangkang cukup jelas. Pensyarah hebat seperti Abdul Aziz akan selalu mencari kewajaran untuk menjayakan misi politiknya. Tidak boleh secara halus, dibuat secara terbuka tetapi masih berselindung atas nama akademik. Lalu Awang musykil Abdul Aziz yang dianggap pakar perlembagaan oleh sesetengah pihak mempersoalkan tindakan Sultan Selangor sebagai `bukan sesuatu yang lazim dan tidak konsisten’.
Menurut beliau, campur tangan baginda perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam. Memang lain macam nadanya dan amat tidak wajar. Pada Awang, perbuatan Abdul Aziz itu sendiri di luar kelaziman. Maka kita boleh faham mengapa ramai menyifatkan tindakan beliau sebagai biadap.
Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, baginda selaku ketua agama Islam negeri mempunyai hak mutlak terhadap hal ehwal Islam. Telitilah kenyataan Sultan Selangor, ia sedikitpun tiada cacat cela serta tidak terkeluar daripada bidang kuasa baginda.
Sebagai orang Islam, Awang menjunjung kasih ke atas Sultan Selangor kerana komited menjaga kepentingan Islam, yang jelas termaktub dalam Perlembagaan negara. Jadi, tidak timbul sama sekali bahawa tindakan baginda tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam. Awang melihat tindakan Abdul Aziz sebagai cubaan untuk menutup mulut Raja-Raja Melayu dalam melaksanakan peranan sebenar. Jika Raja dan Sultan tidak boleh menyentuh soal agama, apakah mereka hanya menjadi raja untuk ceremonial semata-mata?
Lagipun, apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor berhubung isu murtad itu adalah benar. Sebagai rakyat bertanggungjawab, Abdul Aziz sewajarnya akur dan mendokong kebenaran. Jika beliau mendakwa dirinya pro-kebenaran mengapa bersikap sebaliknya? Apakah siasatan JAIS yang mendapati berlaku usaha memesongkan akidah umat Islam, bukan kebenaran?
Walaupun pendakwaan tidak dilakukan kerana keterangan yang diperolehi tidak mencukupi namun hakikat berlaku cubaan memurtadkan orang Islam, adalah nyata. Kalau bukan JAIS, apakah beliau mahu percayakan pihak yang satu lagi?
BISIK-BISIK MINGGUAN AWANG SELAMAT
No comments:
Post a Comment