Friday, October 14, 2011

PRU 13 BILA TANYA UTUSAN

PRU13 semakin dekat tetapi bila?

Oleh AZNAN BAKAR

"PILIHAN Raya Umum Ke-13 hanya tinggal dua tiga hari lagi." Itu ungkapan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan ketika berucap pada majlis Penerangan Perdana Barisan Nasional Wilayah Persekutuan Ahad lalu.

Tetapi Ahmad tidak bermaksud Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 benar-benar akan diadakan esok lusa. Apa yang dimaksudkan, ia boleh berlangsung pada bila-bila masa. Yang memerlukan semua pihak terlibat sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Secara perbandingannya pun, PRU13 memang makin dekat. Jika dibanding dengan tahun lalu, tahun ini tentu lebih dekat. Bulan ini pula pasti semakin dekat ke tarikh PRU13 berbanding bulan lepas.

Semakin hari, mandat yang diberikan kepada BN pada pilihan raya umum 2008 semakin mendekati tarikh akhir iaitu Mac 2013. Berdasarkan peruntukan undang-undang, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mandat itu tamat.

Mengambil congakan mudah, kerajaan BN sekarang ada masa hingga Mei 2013 sebelum mengadakan PRU13. Tetapi dalam sejarah pilihan raya umum negara, kerajaan tidak pernah tunggu sampai tarikh akhir untuk membubarkan Parlimen.

Selalunya pada penghujung tahun keempat dan awal tahun kelima Parlimen dibubarkan untuk membolehkan rakyat memberi mandat baru kepada kerajaan.

Jadi bila tarikh PRU13? Mulai Mac tahun depan, mandat yang diberikan kepada kerajaan sekarang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu bakal memasuki tahun kelima.

Sebab itu, pelbagai pihak kini mula sibuk meramal dan mencongak. Tetapi tidak siapa mengetahui tarikh sebenar. Ramai orang boleh membuat ramalan dan congakan. Hanya Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak sahaja memiliki ilham bila Parlimen akan dibubarkan.

Tetapi ramai pemerhati dan penganalisis sama ada yang bertauliah atau tidak, meramalkan pemimpin BN tidak akan tunggu hingga tempoh maksimum.

Najib tentunya tidak akan genap lima tahun sebelum menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Persoalannya sekarang, apabila dikatakan PRU13 itu semakin dekat ialah bila?

Berapa dekat yang dikatakan semakin dekat itu? Adakah pada tahun ini? Awal tahun depan? Pertengahan tahun depan? Atau akhir tahun depan?

Setakat ini ramai yang meramalkan PRU13 akan diadakan pada hujung tahun ini. Salah satu tarikh yang diberikan ialah pada November tahun ini. Lebih tepat lagi ialah 11 November.

Alasannya, 11 ialah angka kegemaran Najib. Sama seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memilih angka tiga dan 13 ketika mengumumkan PRU12 lalu.

Tarikh itu masuk akal juga. November ialah waktu cuti persekolahan yang membolehkan sekolah-sekolah digunakan sebagai pusat mengundi. Tetapi tarikh 11 November tidak mungkin kerana ia jatuh pada hari Jumaat.

Beberapa pemerhati pula berkata, November atau Disember terlalu suntuk untuk Perdana Menteri membubarkan kerajaan.

Ini termasuk masih terdapat beberapa negeri yang beliau belum lawati yang mana ia merupakan prasyarat sebelum kerajaan dibubarkan.

Untuk melengkapkan lawatan ke seluruh negara itu, ia sekurang-kurangnya memerlukan masa hingga hujung tahun, iaitu hujung Disember.

Tetapi adakah cukup dengan satu pusingan lawatan sahaja sebelum kerajaan dibubarkan? Bagaimana dengan negeri-negeri yang kritikal? Tentunya ia memerlukan sekurang-kurangnya sekali lagi kehadiran Perdana Menteri.

Selain itu, belanjawan yang dianggap sebagai terbaik yang dibentangkan baru-baru ini juga memerlukan sedikit masa untuk diluluskan.

Tidak mungkin pilihan raya diadakan sebelum apa yang dibentangkan itu diluluskan oleh Parlimen dan manfaatnya diterima oleh rakyat.

Parlimen yang sedang bersidang sekarang pula hanya akan selesai pada Disember ini. Jika faktor itu diambil kira, November sudah boleh dikira terkeluar daripada senarai untuk diadakan pilihan raya.

Jangan pula lupa musim haji yang baru saja bermula. Ini juga perlu diberi pertimbangan dalam mengadakan pilihan raya kerana sejumlah pengundi kini berada di Tanah Suci.

Kumpulan jemaah terakhir hanya akan kembali ke tanah air pada Januari tahun depan.

Adakah mungkin pilihan raya umum diadakan ketika sebahagian daripada rakyat negara ini sedang memberi tumpuan menunaikan Rukun Islam kelima?

Bagaimana pula dengan dua akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dimansuhkan?

Jika, dua akta itu mahu direalisasikan sebelum PRU13, sudah tentu akan mengambil sedikit masa.

Tentunya, ramai dari kalangan pengundi mahu melihat akta baru tersebut sebelum mereka memilih kerajaan baru. Jika itu yang dihasratkan, sudah tentu ia tidak mampu direalisasikan pada tahun ini.

Pendek kata, untuk mengadakan PRU13 pada penghujung tahun ini, masanya terlalu suntuk.

Bukan sahaja suntuk daripada segi penyusunan jentera oleh BN, tetapi juga dalam melaksanakan segala perancangan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Berdasarkan congakan mudah itu, ada yang pendapat paling cepat PRU13 diadakan ialah pada Mac 2012.

Cuti penggal persekolahan pada pertengahan Mac dilihat masa yang sesuai untuk rakyat keluar memilih kerajaan baru. Itu pun, ada pemimpin BN merasakan Mac bukan masa yang sesuai kerana ia masih terlalu dekat. Banyak lagi persediaan perlu dibuat sebelum mereka berhadapan dengan pilihan raya.

Mengenal pasti calon, menyelesaikan masalah dalaman parti-parti komponen dan menggerakkan jentera akar umbi merupakan antara isu yang masih membelenggu BN ketika ini.

Setelah hujah ini diambil kira, maka timbul satu lagi tarikh yang kemungkinan PRU13 akan diadakan iaitu pada penghujung Mei atau awal Jun tahun depan.

Masa itu merupakan cuti persekolahan yang panjang yang akan memudahkan sekolah-sekolah dijadikan pusat mengundi.

Apa pun, seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak, PRU13 dianggap yang paling mencabar kepada BN ekoran situasi politik dan ekonomi yang mencabar.

Tamparan hebat pada PRU12 yang menyebabkan BN hilang kelebihan dua pertiga di Parlimen pastinya terasa hingga ke hari ini.

Najib tentunya mahukan mandat yang besar bagi membolehkannya melakukan transformasi seperti yang dirancang. Di bahunya kini terpikul tugas yang cukup berat untuk memastikan BN terus diyakini rakyat dalam memimpin negara.

Begitu juga di pihak Pas, DAP dan PKR. Penguasaan mereka di empat negeri sekarang ini tentunya mahu dipertahankan.

Masa yang panjang hingga sekurang-kurangnya tahun depan sebelum PRU13 diadakan tentunya akan memberi kelegaan.

Yang pasti, tidak ada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat bila PRU13 akan diadakan. Ia sentiasa penuh dengan kejutan.

Seperti kata Najib pada majlis penerangan itu, PRU13 boleh berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang.

No comments: