Monday, August 01, 2011

Utusan Penyesat Masyarakat Melayu Malaysia

Petanda pilihanraya makin hampir, pertama bila ahli-ahli PAS masuk Umno berbondong-bondong, dan PAS hampir kekeriangan ahli. Ini adalah antara 'kerja-kerja' Utusan bagi menggambarkan pilihanraya semakin hampir dan dekat.

Kedua, Anwar akan diserang daripada pelbagai sudut, ketiga Pakatan pembangkang akan melatah atas beberapa isu terutama soal pembahagian kerusi.

Hari ini sahaja kita lihat Utusan masih tetap tidak berputus asa, gabungan pembangkang diusik dan diganggu. Selepas gagal melabelkan Anwar sebagai peliwat, diikuti sebagai pengkhianat, agen yahudi atau agen asing, Anwar terima bantuan luar untuk gulingkan kerajaan.

Kini lebih lunak Anwar dikatakan disisih oleh rakan-rakan. Macam Anwar disisih sedangkan yang mempertautkan antara pembangkang itu adalah Anwar dan beliau adalah sebagai mentornya.

Justeru jelas antara penipu Utusan, dan sememang kerja Utusan adalah sebagai Penyebar Berita Penipu terunggul di Malaysia. Ramai tegar Umno menjadikan Utusan sebagai 'kitab' rujukan mereka. Itulah khurafat besar buat masyarakat Melayu kini.



Pembangkang mula sisih Anwar


Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar bersama Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan lain-lain pemimpin pembangkang mengenai pilihan raya kecil Kota Seputeh selepas mesyuarat khas Pakatan Rakyat di Parlimen pada 2009.


PADA 25 Julai lalu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chandra Muzaffar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah liabiliti kepada pembangkang.

Pelbagai masalah moral yang melumuri Penasihat PKR itu telah menyebabkan dua rakan sekutu parti tersebut iaitu Pas dan DAP pening kepala. Mereka memerlukan Anwar tetapi Anwar sendiri banyak masalah.

Justeru bukanlah satu yang menghairankan apabila wujudnya dakwaan bahawa pembangkang kini terutamanya Pas berusaha memancing Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai pembangkang bagi menggantikan Anwar.

Pelawaan itu didakwa dilakukan memandangkan majoriti pemimpin-pemimpin pembangkang mungkin semakin yakin bahawa Anwar tidak akan terlepas dalam kes liwat melibatkan pembantu peribadinya Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Oleh itu pembangkang perlu mencari alternatif bagi memastikan pakatan mereka tidak kehilangan nakhoda.

Tengku Razaleigh dipilih mungkin kerana berdasarkan rekod bahawa beliau pernah menyatukan pembangkang suatu ketika dulu melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif.

APU melibatkan kerjasama antara Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan beliau dengan Pas, manakala Barisan Alternatif pula melibatkan S46 dengan DAP.

Dua kerjasama berkenaan diwujudkan kerana pada masa itu, Pas dan DAP tidak boleh berada sekapal berbanding sekarang yang sudah boleh tidur satu katil, satu bantal, satu selimut biar pun mimpi berbeza.

Bagaimanapun penulis tidak berhasrat untuk menghuraikan soal kedudukan atau pendirian Tengku Razaleigh, apa yang hendak ditegaskan ialah bagaimana sokongan terhadap Anwar semakin luntur dalam pakatan pembangkang sendiri.

Sememangnya sentimen tidak mahukan Anwar bukanlah baru malahan ia sudah lama wujud terutamanya di kalangan penyokong-penyokong Pas. Mereka merasakan masalah moral Anwar banyak menjejaskan kredibiliti pakatan pembangkang dari semasa ke semasa.

Menurut pengikut Pas mereka sudah letih apabila perlu berhujah setiap masa bagi mempertahankan Anwar dan ini termasuklah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan itu yang terpaksa ‘bersilat’ bagi membela Anwar dalam isu melibatkan moral ketua pembangkang berkenaan.

Malahan kadang kala dalam tindakan itu, imej Pas sebagai sebuah parti Islam terjejas. Ia termasuklah apabila Abdul Hadi membuat kenyataan bahawa rakaman video tidak boleh menjadi saksi kerana ia adalah ‘besi’.

Kenyataan itu biar pun menggembirakan Anwar dan penyokongnya tetapi menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat. Pas dilihat benar-benar tersepit kerana terpaksa berhujah apa sahaja untuk mempertahankan Penasihat PKR tersebut demi kepentingan politik bersama.

Pas juga semakin tersepit apabila dilihat terlalu bergantung kepada Anwar demi meraih kuasa sehingga sanggup mengenepikan yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Parti itu berbuat demikian bukan kerana merasakan tidak bersalah tetapi terpaksa melakukan sandiwara politik demi kepentingan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun akhirnya, Pas mungkin mula menyedari bahawa Anwar tidak selamanya perlu dibela. Alternatif perlu dicari bagi memastikan tidak berlaku kekosongan jika Anwar terpaksa kembali ke penjara Sungai Buloh.

Oleh itu, mahu tidak mahu demi survival politik pembangkang terutamanya dalam mencapai impian ke Putrajaya, pengganti Anwar perlu dicari.

Pas tidak mahu memilih di kalangan pemimpin DAP untuk menjadi ketua begitu juga DAP mereka sudah pasti sampai kiamat pun tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin Pas menjadi ketua pembangkang selagi mereka ada kekuatan. Justeru alternatif di luar pakatan dicari dan Tengku Razaleigh dilihat pemimpin paling layak.

Anwar sudah pastilah kecewa dengan perkembangan ini kerana tidak menyangka bahawa Pas akan mengamalkan politik tikam belakang.

Di hadapan umum, mungkin Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain akan menafikan apa yang sedang berlaku tetapi secara tersirat Anwar sememangnya sudah tidak diperlukan lagi oleh pembangkang.

Tambahan pula, satu kajian baru-baru ini menunjukkan sokongan rakyat termasuklah di kalangan kaum India dan Cina terhadap Anwar semakin merudum di seluruh negara.

Ia ditambah pula dengan jumlah kehadiran ke majlis-majlis ceramah Anwar yang dikatakan merosot teruk. Sokongan yang semakin merosot kepada Anwar juga turut menyeret parti pembangkang yang lain terutamanya Pas.

Semua ini memberikan petunjuk kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain terutamanya Pas bahawa Anwar bukanlah harapan baru mereka, sebaliknya Anwar adalah bebanan yang harus dilepaskan jika pembangkang berhasrat meraih sokongan rakyat.

Apatah lagi berbanding dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain sama ada daripada DAP mahupun Pas tidak pernah berlaku di kalangan mereka yang berhadapan dengan dakwaan masalah moral yang begitu buruk seperti mana dihadapi oleh Anwar.

Semua ini sudah tentulah telah lama berada dalam kotak pemikiran pemimpin-pemimpin pembangkang yang pada mulanya melihat Anwar ‘anugerah Tuhan’ untuk mereka.

Apa pun sudah jelaslah kini bahawa Anwar tidak lagi pemimpin kebal atau ulung dalam pembangkang. Beliau kini perlu bersedia untuk disingkirkan bila-bila masa.

Anwar mungkin akan berusaha untuk menghalang apa yang dirancang itu menjadi kenyataan tetapi ia sekurang-kurangnya memberi isyarat kepada beliau bahawa sudah ada gerakan untuk menyingkirkan beliau daripada menerajui pembangkang.

Hasrat menyingkirkan Anwar itu juga menunjukkan selama ini Pas dan DAP amat memahami sejauh mana kekuatan PKR.

Jika PKR kuat sudah pastilah tidak akan wujud usaha untuk menggantikan Anwar sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang tetapi PKR tidak ada apa-apa kekuatan.

Selama ini PKR wujud atas ehsan Pas dan DAP, jika kedua-dua parti itu tidak memberi bantuan sewajarnya, PKR tidak akan ke mana.

Ia termasuklah bersikap baik hati seperti mana ditunjukkan oleh Pas yang sanggup mengorbankan kerusi selamat mereka kepada PKR demi kerakusan ingin berkongsi kuasa, kesudahan Pas pula yang dilihat bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ – satu status yang sepatutnya disandang oleh PKR jika dikaji dari segi sejarah parti masing-masing.

Apa pun Anwar kini semakin memahami betapa bahayanya politik tikam belakang - satu amalan politik yang tidak asing lagi bagi beliau sama ada semasa dalam pembangkang atau kerajaan suatu ketika dulu.

No comments: