Tuesday, August 02, 2011

Mana dia Rakyat Di dahulukan ?

Tentu rakyat kawasan bandar faham dengan apa yang berlaku terhadap para pekerja syarikat percetakan Dawama Sdn Bhd di Hulu Klang.

Bermula awal Ramadhan mereka nampaknya akan diberhenti, ini adalah gara-gara syarikat mereka gagal untuk beroperasi walhal kontrak percetakan sehingga 2014.

Malangnya syarikat yang kerjanya mencetak bekalan buku teks kepada anak-anak kita bersekolah hadapi masalah, tiada pemimpin yang cakna dan turun bertanggungjawab bagi menyelesai kemelut ini.

Jika mereka boleh bill out banyak syarikat, jika mereka boleh membeli sebentuk cincin berharga US24.2 juta. Apalah sangat dengan hal syarikat percetakkan Dawama.

Yang kita tahu Dawama ini, tiada hubungan langsung dengan mereka dan anak mereka dan mereka tiada kepentingan dan berkepentingan. Ini adalah rakyat marhein sahaja.

Inilah sebahagian nasib rakyat kita.



Apa kami nak makan?


SEBAHAGIAN daripada hampir 400 pekerja Dawama berpiket selepas diarah bercuti tanpa gaji di Hulu Klang semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 380 pekerja syarikat percetakan dan pemasaran buku, Dawama Sdn. Bhd. (Dawama) di Hulu Klang dekat sini kini hilang punca pendapatan apabila diberi notis cuti tanpa gaji dengan tiada tempoh tamat berkuatkuasa mulai semalam.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan kesedihan di kalangan pekerja dan keluarga masing-masing yang kesemuanya beragama Islam memandangkan ia dilakukan tanpa notis serta serentak dengan hari pertama umat Islam berpuasa semalam.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama, Zainal Alwit berkata, pihak pengurusan hanya memberi alasan syarikat menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi harian termasuk bayaran gaji kakitangan.

"Sehingga kini, pihak syarikat tidak memberikan kata putus sampai bila cuti tanpa gaji ini dibuat.

"Soalnya, sampai bila hendak tunggu? Bagaimana kami boleh menampung kos sara hidup keluarga lebih-lebih lagi Aidilfitri semakin hampir," katanya ketika ditemui di pekarangan kilang syarikat itu semalam.

Sebelum itu, seramai 80 kakitangan menyertai demonstrasi aman di hadapan kilang sebagai membantah keputusan syarikat.

Dawama yang beroperasi sejak September 2002 diberi kontrak mencetak serta mengedarkan buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melalui kontrak yang akan berakhir pada 2014.

Zainal berkata, terdapat sebilangan kakitangan menerima surat daripada bank menyatakan mereka tidak melunaskan pinjaman peribadi sedangkan potongan gaji dilakukan syarikat bermula November 2010 sehingga Februari lalu.

No comments: