Thursday, July 28, 2011

UM: Suratkhabar Biro Penerangan Umno Yang Jelas

Apa lagi yang Umno mahukan ? Bila parti PAS mengambil sikap dan bersikap berlembut, PAS dituduh dan dikatakan mengikut telunjuk DAP atau menjadi Pak turut PKR sahaja, PAS juga pernah dilabelkan mereka menjadi Kuda Tunggangan kepada DAP bermacam-macam lagi label tuduhan dan fitnah . Semua kerana sikap PAS itu.

Bagi kali ini, selepas kerajaan dicadangkan oleh PR dalam pilihanraya menggunakan dakwat pencelup bagi celup jari pengundi apabila mahu mengundi, BN dan kerajaaan memberi alasan tidak sesuai kerana orang Islam mahu sembahyang dakwat yang digunakan tidak serap air dan wuduk dikatakan tidak sah. Justeru kerajaan membatalkan dan menarik balik penggunaan dakwat pencelup ini semasa PRU12 yang lalu.

Kini, kerajaan beria-ia sangat mahu gunakan teknologi canggih dengan menggunakan sistem cap jari kaedah biometrik. Maka gerakan membiometrik kini digerakkan dengan mendaftar semula semua PATI yang datang ke Malaysia meliputi pekerja Bangla, indo, Vietnam, dan lain-lain.

Isunya, kaedah biometrik adalah amat mahal serta tidak praktikal berbanding dakwat. namun kerajaan berkeras kerana mahu ikut perkembangan teknologi semasa.

Dan malangnya PAS hanya memberi pandangan bahawa biometrik adalah mahal dan tidak praktikal berbanding dengan dakwat. ia jauhlebih berkesan dan menjimatkan itu sahaja. dan adalah wajar dalam negara demokrasi semua pihak memberi pandangan terhadap apa yang mereka mahukan itulah darjah kebebasan dan kebebasan itu sendiri termaktub dalam perlembagaan.

Jika kerajaan yakin dan percaya sangat dengan keberkesanan sistem ini, dengan jujur tanpa berniat untuk memanipulasi maka lah sila jalan dan laksanakan. Jangan jadikan ia sebagai satu senjata kerajaan bagi menempelak rakyat pada satu hari yang menyatakan itu ini.

Kita yakin kerajaan berniat menjadikan ia sebagai senjata pelbagai serampang. dan kebimbangan inilah yang cuba disuarakan. Jika semua sistem dan intitusi bersikap jujur, perasaan syak wasangka tidak akan timbul dan akian ditimbulkan. dan kerajaan sendiri cuba dan akan cuba menghindari apa yang diwas-waskan atau yang diragui pembangkang. Itu sahaja.

Dengan melabelkan dan meletakkan PAS dikandang orang salah dengan menyatakan cadangan biometrik oleh kerajaan ditolak mentah-mentah oleh PAS, adalah satu tuduhan melulu dan mengambil asas yang salah. Jika kerajaan dapat menjamin dan memberi jaminan akan memutihkan daftar pemilih, pulih dan bersihkan undi POS maka menolak mentah-mentah itu boleh difikirkan .


Menilai keberanian Pas

APAKAH sebenarnya yang Pas mahu? Apakah Pas benar-benar berani?

Itulah persoalan yang perlu dijawab oleh kepimpinan baru parti itu yang dilihat begitu teruja menjadi 'jaguh' kepada pakatan pembangkang apabila sejak kebelakangan ini begitu lantang bersuara.

Jika pada 9 Julai lalu, kepimpinan Pas telah menunjukkan keberaniannya dengan mengerahkan ahli-ahlinya turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram Bersih, terbaru mereka menolak pula mentah-mentah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

Mungkin kerana keterujaan selepas mengubah dasar perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan, istilah berunding dan berbincang seolah-olah tidak wujud lagi dalam kamus politik kepimpinan Pas, justeru mereka tidak mahu berbincang atau mendengar dahulu penjelasan SPR.

Corak berpolitik Pas sejak terbentuknya barisan harapan pilihan raya parti berkenaan selepas muktamar baru-baru ini, kini lebih menjurus kepada konfrantasi dan demonstrasi bukanlah lagi bertoleransi.

Oleh itu, ia menimbulkan kekeliruan dan persoalan apakah penolakan terhadap penggunaan sistem biometrik itu benar-benar dilakukan setelah membuat kajian atau ia lebih bermotif politik semata-mata.

Mungkin Pas ingin menunjukkan kepada sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa mereka hebat berpolitik.

Namun persoalannya apakah Pas hanya berani berhadapan dengan SPR, berani bertelingkah dengan UMNO, berani menyerang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berani berbalah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi apakah Pas akan benar-benar berani untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?

Kalau kepimpinan baru Pas merasakan mereka sudah cukup hebat berpolitik maka mereka juga perlu menunjukkan 'kehebatan' itu apabila berunding dengan PKR dan DAP dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketika ini sudah ada cabaran kepada Pas untuk bertanding antara 120 hingga 130 kerusi Parlimen bagi membolehkan parti tersebut menjadi peneraju utama dalam pakatan pembangkang.

Cabaran berkenaan bukan sahaja dilontarkan oleh Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Kota Setar, Datuk Yusof Ismail, malahan oleh blogger-blogger yang mungkin sudah muak dengan 'keberanian tidak bertempat' Pas.

Mereka melihat Pas begitu bercita-cita tinggi untuk menggantikan UMNO malahan di mana-mana pun pemimpin Pas 'menjaja' bahawa parti itu jauh lebih baik daripada UMNO.

Tetapi malangnya 'nafsu besar' itu tidak seiring dengan persoalan apakah Pas benar-benar berani hendak memberitahu PKR dan DAP bahawa Pas perlu dominan dalam pakatan pembangkang.

Setakat ini, pemimpin Pas meletakkan sasaran untuk bertanding 80 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang, lebih 14 kerusi daripada jumlah pada tahun 2008 iaitu 66 kerusi.

Maknanya, Pas mahu bertanding lebih kerusi daripada PKR dan DAP. Pada tahun 2008, PKR bertanding di 97 kerusi dan menang 31 kerusi manakala DAP bertanding 47 kerusi dan menang 28 kerusi.

Soalnya, daripada mana Pas akan mendapat 14 lagi kerusi Parlimen bagi meletakkan calon-calonnya? Apakah DAP akan memberi laluan? Atau apakah Pas hendak mengambil semula kerusi yang diberikan kepada PKR?

Beranikah Pas yang kini dilihat begitu ghairah untuk berkongsi kuasa dengan kedua-dua parti itu berkeras dan menunjukkan kejaguhan seperti mana mereka berhadapan dengan UMNO, BN, SPRM, SPR dan PDRM?

Penulis percaya hasrat untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen atau menjadi dominan dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi indah yang mengasyikkan bagi Pas.

Cita-cita itu tidak akan tercapai dan ia sekadar impian seperti mana mereka diperdayakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam 'impian 16 September'.

'Keberanian' pemimpin-pemimpin Pas hanya terbatas di luar lingkungan pakatan pembangkang sahaja tetapi dalam kerjasama dengan PKR dan DAP, Pas sekadar menjadi 'pak turut'.

Jika berhadapan dengan UMNO, BN dan agensi kerajaan, Pas begitu bermati-matian melakukan serangan tetapi percayalah keberanian berkenaan tidak akan sampai ke mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.

PKR sudah pasti tidak akan menyerahkan kembali kerusi Pas yang mereka tandingi pada tahun 2008 kerana ia melibatkan banyak kawasan selamat, begitu juga DAP yang tidak akan sesekali menyerahkan kerusi mereka kepada Pas.

Semangat setiakawan seperti mana ditunjukkan oleh UMNO yang bersedia menyerahkan kerusi kawasan selamat kepada MCA atau MIC sama sekali tidak akan berlaku dalam pakatan pembangkang.

Dalam pakatan berkenaan masing-masing ingin berkuasa apatah lagi PKR dan DAP amat memahami keghairahan Pas untuk berkongsi kuasa bersama mereka.

Kerana itulah Pas menjadi satu-satunya parti pembangkang dalam sejarah politik negara sanggup mengorbankan dasar perjuangannya - satu tindakan yang sama sekali tidak akan dilakukan oleh PKR apatah lagi DAP.

Oleh itu PKR dan DAP tidak akan melayan tuntutan Pas apabila tiba masa perundingan pembahagian kerusi dilakukan kerana percaya serta yakin bahawa keberanian Pas bertempat.

Pas hanya berani terpekik terlolong di jalanan, menunjuk hebat di hadapan rakyat dengan membuat pelbagai tohmahan kepada kerajaan BN tetapi pasti akan tunduk kepada kehendak PKR dan DAP.

Justeru adalah diharapkan kepimpinan baru Pas tidak terlalu ghairah hendak menjadi jaguh dalam berhadapan dengan UMNO, BN dan agensi kerajaan kerana kesudahannya bukan Pas yang akan meraih keuntungan sebaliknya PKR dan DAP.

Dan paling malang bagi Pas pula keberanian tidak bertempat parti itu hanya akan menyebabkan rakyat terutamanya orang Melayu menolak mereka dalam pilihan raya nanti.

Malahan orang Melayu juga tahu Pas tidaklah seberani mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP. Isu penjualan arak di Selangor dan larangan beroperasi kepada 13 pusat hiburan di Kedah pada bulan Ramadan sudah menjadi bukti sejauh mana keberanian Pas dalam berpolitik.

TAJUK-TAJUK BERIT


No comments: