Thursday, January 27, 2011

Islam: Percaya dan yakin

Dengan hanya berbekalkan persepsi dengan sedikit ilmu Barat, penulis yang bernama kamal ahmad merelakan dirinya menjadi penulis tamu dan penulis upahan murahan Umno Bn.

Beliau gagal memahami agama sebagai cara hidup dan islam itu sesempurna agama dan cara hidup. Ini mencakup soal keyakinan dan percaya, dua perkataan berbeda. Sepertilah juga fitnah dan pendedahan maklumat gagal dibedakan.

Begitulah sdr Kamal Ahmad beliau percaya Islam, beliau percaya solat dan kita kira beliau juga bersolat 5 waktu. Persoalannya adakah beliau yakin dengan solatnya itu. Inilah yang memerlukan darjah pemahaman yang cukup tinggi.

Berapa ramai umat Islam yang bersolat, dan berapa ramai yang masih berjudi, masih minum arak. Kerana persoalannya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka kerja dan buat.

Dalam Islam kedua-duanya hendaklah datang serentak. Ini kerana percaya sahaja tidak cukup, kerana yakin diperlukan. Berapa ramai orang yang percaya Tuhan itu ada, yakin bahawa tuhan itu ada bagaimana ?

Renungkan maksud tulisan saya ini...




Fatwa PAS berubah demi kepentingan politik
Oleh Kamal Ahmad

KENYATAAN umpama ‘fatwa politik’ sudah lama diamalkan PAS dan dilihat berkesan bagi mencapai matlamat parti itu. Membuat kesimpulan negatif atau melabelkan status individu, organisasi atau program menggunakan nama agama sudah sekian lama menjadi senjata PAS.

Berdiri sebagai orang politik tetapi menggunakan platform agama menyebabkan orang ramai dan pengikut sukar mempertikai, meragui atau mempersoalkan kata-kata seorang pemimpin yang mereka sifatkan sebagai ‘ustaz’. Logiknya, pemimpin itu pasti tidak berani berbohong kerana apa yang diucapkannya membabitkan hukum atau ajaran agama.

Barat menggunakan istilah dogma bagi merujuk propaganda politik cara ini. Dogma diberi maksud sebagai doktrin agama atau sistem doktrin dicanangkan oleh pihak berkuasa gereja sebagai benar. Dogma juga membawa maksud keyakinan, prinsip atau doktrin.

Seorang pakar mengenai fasisme dan totalitarianisme antarabangsa, Emilio Gentile, dalam bukunya diterbitkan pada 1996 berpendapat, politik selama dua abad terakhir sering mengambil ciri-ciri daripada agama, mendakwa sebagai hak prerogatifnya dalam mendefinisikan tujuan fundamental dan makna kehidupan manusia.

Fatwa politik PAS boleh disifatkan dogma atau doktrin yang akhirnya mengikat kepercayaan atau keyakinan penyokongnya sebagai sesuatu yang benar walaupun hakikatnya sekadar ‘cakap politik’.

Seawal pilihan raya umum (PRU) pada 1964, PAS sudah menuduh UMNO kafir kerana berkongsi kuasa dengan parti yang ahlinya bukan Islam melalui Perikatan. UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC untuk menubuhkan kerajaan tetapi PAS menggunakan surah Al-Imran ayat 28 untuk merumuskan ‘fatwa’ bahawa UMNO kafir kerana memerintah negara secara berkongsi kuasa dengan MCA dan MIC.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharum berkata: “Tiada sesiapa berhak mengeluarkan fatwa melainkan mufti dengan titah (perkenan) Raja-Raja Melayu.”
Bagi membuktikan PAS memperalatkan ‘fatwa’ itu, mereka menghalalkannya apabila bergabung dengan DAP, selain Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) ketika menentang Barisan Nasional (BN) menjelang PRU pada 1999. Kini PAS berkongsi kuasa dengan DAP di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tanpa label haram kerana PAS sudah menghalalkan hukum 1964 itu mengikut kesesuaian serta peredaran masa demi kepentingan politik seperti dinyatakan Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, di Labis, baru-baru ini.

Fatwa songsang PAS juga mesti dipertanggungjawabkan menjadi punca perpaduan orang Melayu goyah gara-gara Amanat Haji Hadi iaitu ‘fatwa’ Datuk Seri Hadi Awang, pada 1981 yang mengkafirkan ahli UMNO. PAS juga menuduh kerajaan BN kafir kerana tidak menjalankan hukum Allah. ‘Fatwa’ itu dicipta menjelang PRU 1969 dan masih ‘sah’ sehingga sekarang. Namun ‘fatwa’ itu tidak terpakai di negeri diperintah PAS atau berkongsi kuasa dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.

PAS juga menuduh kerajaan BN memperjuangkan assabiah dan setiap perjuangan assabiah adalah kafir. Hadi juga pernah mengeluarkan fatwa lain iaitu berkelahi dengan penyokong BN adalah diharuskan seperti dinyatakan ketika ceramah terbuka di Kampung Bukit Kulim dekat, Marang, Terengganu. Beliau turut mengeluarkan ‘hukum’ bahawa jika seseorang itu mati kerana melawan UMNO maka matinya syahid. Kesan dogma itu ialah Peristiwa Memali, di Baling, Kedah pada 1985 yang menyerap sekumpulan penyokong PAS yang bertempur dengan pihak polis dan menyebabkan 18 orang terkorban.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Harun, berkata PAS adalah parti politik yang tidak konsisten dan terlalu ghairah untuk berkuasa sehingga hilang pedoman serta hala tuju.

“Mereka sanggup menggunakan nama Islam untuk meraih sokongan kerana tiada asas perjuangan sebaliknya hanya meletakkan pada manis pidato. Dulu mereka kafirkan UMNO kerana tidak melaksanakan hukum hudud dan bekerjasama dengan parti komponen BN. Hari ini, yang diludah ke langit jatuh ke muka PAS sendiri. Mereka hipokrit kerana boleh mengeluarkan fatwa mengikut sokongan politik,” katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata ‘fatwa’ PAS bersifat politik yang bersandarkan kepada kebencian dan kemarahan sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat.

“Ia diteruskan hingga hari ini dan akan digunakan sampai bila-bila kerana itu saja modal yang ada pada mereka tanpa menghiraukan kesannya. PAS langsung tiada rasa tanggungjawab. Mereka memperoleh undi bukan atas kepercayaan kerana kemampuan parti tetapi meraih undi daripada kalangan mereka yang marah,” katanya.

Banyak lagi ‘fatwa’ dan ‘hukum’ dikeluarkan pemimpin PAS dan terbaru bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mengatakan mengundi UMNO adalah haram, gara-gara parti itu terdesak untuk mencari sokongan menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dekat Labis, pada Ahad ini. Kenyataan Salahuddin di Labis itu turut mengesahkan sikap PAS yang sengaja mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran mengikut keperluan politik.


No comments: