Friday, September 17, 2010

Cek Tendang: PRU 13 rakyat perlu ajar

PM Najib nampak optimis sangat pada PRU 13 akan datang. Semalam semasa bercakap kepada rakyat Sabah , PM umumkan dengan yakin bahawa Sabah adalah 'akuan tetap' bagi BN dalam pilihanraya akan datang. ertinya tiket kemenangan BN.

Sebagai harapan orang politik, Sarawak juga yang berada dalam kepulauan yang sama bukan lagi akuan tetap BN. Justeru orang Sabah kena membuktikan apa yang telah diyakini dan diucapkan oleh PM. Manakala bagi orang Sarawak mereka lebih mudah dan senang lagi. Ini bermakna Taib Mahmud kini tidak diyakini oleh Najib sebagai peneraju utama Sarawak lagi.

Berdasarkan kedudukan kerusi parlimen kini terdapat 224 kerusi. Dan daripada tersebut Sabah menyumbang sejumlah 25 sahaja iaitu 11.2 % sahaja. Berbanding Sarawak pada 2008 berjumlah 31 kerusi 18.82% lebih daripada Sabah. Dan antara tempoh PRU 2004 hingga 2008. Tiada pertambahan kerusi di Sabah kekal 25 kerusi. Manakala di Sarawak kerajaan menambah bilangan kerusi parlimen daripada 28 (2004) kepada 31 kerusi pada 2008.[ Pertambahan kerusi akta parlimen 10 tahun sekali dibuat persempadanan].









Sabah kekal 'akaun tetap' BN

SANDAKAN 16 Sept. - Sabah kekal menjadi 'akaun tetap' Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan sokongan kuat yang diterima parti itu daripada masyarakat pelbagai kaum di negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap majlis-majlis anjuran BN dan UMNO seperti program Juara Rakyat peringkat negeri hari ini yang membuktikan parti itu masih diterima di Sabah.

Beliau berharap sokongan terhadap BN akan terus meningkat hasil kerja keras kerajaan dan pemimpin-pemimpin parti berkenaan.

"Kepada sesiapa yang menyangkal bahawa UMNO dan BN sudah tidak kuat di Sabah, sesiapa yang mencanang cerita kononnya BN dan UMNO lemah sokongan, tengok sahaja majlis ini yang saya lihat seolah-olah lautan manusia.

"Saya tidak payah bagi dalil dan bukti lain kalau hari ini sambutan amat hebat dan luar biasa. Kesimpulannya Sabah masih merupakan akaun tetap (BN).

"Insya-Allah akaun tetap ini tidak cair dan kita masih lagi boleh mempertahankannya berdasarkan sokongan yang kita lihat hari ini," katanya ketika berucap pada Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran di sini hari ini.

Kira-kira 50,000 penduduk pelbagai kaum di Sabah membanjiri program berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, semua pemimpin BN harus bersama-sama bekerja keras bagi menjadikan UMNO serta BN parti 'juara rakyat'.

Justeru katanya, kegiatan turun padang harus diamalkan secara telus oleh semua pemimpin BN bagi meletakkan kepentingan rakyat di tempat teratas.

Dalam pada itu katanya, UMNO dan BN terbukti mempunyai rekod sebagai parti yang membela nasib rakyat sejak sekian lama termasuk memerdekakan Sabah dan Malaysia daripada penjajah.

Selain itu jelasnya, transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN adalah jelas dan dirancang begitu teliti demi kepentingan rakyat.

Katanya, pembaharuan itu yang dilakukan melalui Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 juga dilaksanakan dalam semangat 1Malaysia.

"Ini bukan impian kosong, bukan angan-angan Mat Jenin tetapi ia sesuatu yang sudah kita rancang dengan begitu teliti.

"Kita buat kajian begitu mendalam, kita buat pelbagai makmal untuk membincangkan apa yang patut kita lakukan supaya 10 tahun akan datang impian kita akan kesampaian dan perubahan besar akan berlaku kepada negara Malaysia tercinta ini," katanya.

Menurut Najib, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan masyarakat luar bandar di Sabah apabila memperuntukkan RM6.18 bilion bagi membangunkan pelbagai infrastruktur.

Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan untuk tempoh dua tahun hingga 2012 bagi membina pelbagai kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air serta projek perumahan rakyat.

No comments: