Satu analisis: Kemenangan PR Kian Kabur?
Seandainya Najib membubarkan parlimen keesokannya, mungkin penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang “taksub” sahaja akan mempercayai bahawa PR akan mengambil alih kuasa. 14 bulan lalu, ramai orang yang dingin-politik sebelum ini menjadi peminat pelan “16 September” oleh Anwar Ibrahim.
Sahabat saya yang juga seorang pengamat politik berkata, seandainya PRU diadakan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan yang akan datang, maka tugas pendukung demokrasi seperti kami adalah membantu pembangkang untuk mengharungi hari-hari setelah Barisan Nasional memulihkan majoriti dua pertiganya.
Sekiranya PR ingin menghambat kejayaan dengan momentum 8 Mac 2008, maka PR pada dasarnya perlu mengekalkan 40% sokongan Melayu, di samping memacu sokongan bukan Melayu kepada 80%. Momentum sedemikian membolehkan PR untuk memenangi kira-kira 100 kerusi di Semenanjung Malaysia, sebagai asas untuk memerintah di seluruh negara.
Namun, undi kaum Melayu kini kembali ke pangkuan UMNO secara stabil, walaupun sokongan terhadap PR belum jatuh ke bawah paras 40%. Dengan cepat undi kaum India beralih, kini mencecah nisbah 6:4 antara BN dengan PR. Hanya kaum Cina yang masih mengekalkan lebih 70% sokongan terhadap PR.
Namun, seandainya Najib mengumumkan peruntukan elaun kepada pelajar sekolah menengah cina persendirian RM1000 seorang setahun, malah membenarkan Pheng Yin Huah (Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Malaysia) untuk memulihkan satu atau dua buah sekolah menengah persendirian di Pahang, apakah angka ini akan jatuh ke 60%?
Mengapakah angin perubahan beralih arah dalam masa yang singkat? Selain pergelutan kuasa dalaman, masalah pokok PR adalah mereka memilih gelanggang yang salah.
Sebelum dan selepas 8 Mac 2008, pembangkang memiliki kelebihannya dalam tiga perkara yang berikut. Pertamanya, politik berbilang kaum yang sederhana; keduanya, politik kompeten dan integriti; ketiga, pendemokrasian. BN bertentang dengan ketiga-tiganya, tampil sebagai lambang politik ektrem dalam perkauman dan keagamaan, rasuah dan lemah, serta pemerintahan autoritarian yang menekan.
Najib berjaya menarik pengundi atas pagar
Kejayaan yang dikecapi “kerajaan baru Najib”, pada hakikatnya hanya menonjol dalam isu hubungan etnik dan agama. Keangkuhan UMNO, terutamanya selepas kemenangan mendadak pada PRU tahun 2004, merupakan punca kemarahan dan kekecewaan “pengundi atas pagar ” terhadap BN pada PRU tahun 2008.
Sekiranya UMNO-BN sanggup menginsafi kesilapan tersebut, malah tidak terus lagi dengan politik perkauman dan keagamaan, pengundi tersebut sudi memberi peluang kepada UMNO-BN. Seandainya kerajaan dapat menguruskan hubungan kaum dan agama, mereka sebenarnya tidak kisah dengan pemerintahan autoritarian, malah boleh bertoleransi terhadap rasuah pada tahap tertentu. Propaganda “1Malaysia” oleh Najib sebenarnya disasarkan kepada golongan pengundi sebegini. Momentum BN kini semakin melonjak, membuktikan bahawa strategi Najib adalah tepat.
Seandainya kita meneliti mesej dan dasar Najib, tidak sukar untuk kita menemui bayang “politik baru” Anwar dan “PAS untuk semua”. Oleh sebab BN menguasai kerajaan persekutuan, Najib memiliki syarat untuk melaksanakan terlebih dahulu dasar Anwar yang bersifat “inclusif”, lantas menghapuskan rasa permusuhan bukan Melayu terhadap UMNO. Seandainya “tumbangkan UMNO” bukan satu kemestian untuk orang bukan Melayu, maka UMNO akan menang dengan majoriti Melayu pada PRU yang akan datang.
Untuk menangkis serangan Najib secara “lembut” terhadap bukan Melayu, jalan keluar yang dimiliki PR adalah, melakukan sesuatu lebih daripada apa yang dilakukan oleh Najib, agar bukan Melayu merasai usaha dan keikhlasannya. Namun, PR berdepan dengan dua kesulitan jika berbuat demikian.
Pertamanya, memandangkan PR masih belum memerintah di peringkat persekutuan, maka Najib boleh terus “memplagiat” manifesto PR, menyebabkan usaha PR sekian lama disia-siakan begitu sahaja; keduanya, pemimpin Melayu dalam PR perlu mempunyai keyakinan yang lebih utuh, barulah dasar yang menjurus ke arah kesamarataan etnik dapat diketengahkan, malah tidak takut difitnah UMNO dan lidahnya sebagai pengkhianat bangsa/agama.
Bertitik tolak dari itu, dasar etnik PR yang sedia ada dilihat terlalu “mesra kepada bukan Melayu”, dari kaca mata sesetengah pemimpin PR. Dasar dan hujah kerajaan PAS Kedah, Exco Selangor Hasan Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan Tantawi dan sebagainya, pada hakikatnya menyumbang kepada persepsi bahawa UMNO lebih sesuai untuk memimpin Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Pilihan PR: Kompeten dan Integriti
Setelah kehilangan kelebihan dalam isu hubungan etnik-agama, yang paling mudah didominasi, PR kini memiliki satu lagi pilihan, iaitu politik yang memberi penekanan dalam kompeten dan integriti. Dalam isu ini, kerajaan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) Pulau Pinang adalah jawapan terbaiknya. Selangor dan Perak (sebelum dirampas kuasa oleh BN) juga menekankan “good governance” yang mirip kepadanya.
Apa yang terselindung di sebalik wacana ini, boleh menjadi “kesedaran demokrasi”, malah juga boleh menjadi “pemerintahan autoritarian ala-Singapura”. Malangnya, wacana Good Governance yang diketengahkan oleh PR lebih mirip kepada “ala-Singapura”. Malah, sesetengah negeri secara terus-terang mengakui bahawa pembangunan ekonomi adalah matlamat yang paling mustahak, dan reformasi politik boleh dikemudiankan.
Pandangan “Stupid, it’s economy!” yang mesra kepada korporat ini, bukan sahaja boleh mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam syak wasangka “terlalu mesra bukan Melayu”, di samping kemungkinan menonjolkan dilema ahli politik PR yang takut untuk menjauhi bidang perniagaan.
Laporan Ketua Audit Negara yang memberi penilaian positif terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Selangor meskipun merupakan kejayaan strategi ini, tetapi, kelebihan dalam pembangunan ekonomi sebenarnya dimiliki kerajaan persekutuan. Penekanan kepada ekonomi secara berlebihan sebenarnya menonjolkan kelebihan musuh PR. Lain kata jikalau rakyat dapat merasai kelebihan PR untuk mentadbir negara, kalau tidak, kerajaan negeri PR yang dibelenggu dengan situasi kini (belum mengambil alih kuasa pemerintahan peringkat persekutuan) akan dihindari pengundi.
Di samping itu, “politik kompeten dan integriti” sebenarnya menonjolkan kepentingan sesebuah kerajaan yang kuat (strong government). Selain Pulau Pinang dan Kelantan, kerajaan negeri PR yang hanya menang tipis dengan majoriti mudah telah berdepan dengan ancaman dan godaan BN untuk menarik ADUN PR. “Politik kompeten dan integriti” ini selalunya menonjolkan kelemahan PR untuk bergelut sesama sendiri.
Sekiranya Najib berani untuk memancung kepala beberapa orang perasuah, untuk menunjukkan tekadnya dalam usaha membanteras rasuah, maka politik yang memberi penekanan terhadap “kompetan dan integriti” ini mungkin juga menjadi kelebihan Najib, seperti hubungan kaum/agama.
Satu-satunya isu yang kelebihannya tidak dimiliki Najib (gambar kiri) ialah “pendemokrasian”. Seandainya Najib berusaha ke arah pendemokrasian, maka “sistem satu parti yang berpilihan raya” oleh UMNO akan ditamatkan. Biarpun BN masih mengekalkan kuasa pemerintahannya, namun dalam satu sistem yang demokrasi, UMNO tidak mungkin melakukan sesuatu sesuatu sewenang-wenangnya. Maka dasar dan Good Governance yang memanfaatkan semua rakyat akan terlaksana. Ini menjelaskan mengapa Najib enggan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), enggan membebaskan media, enggan mereformasikan sistem pilihan raya, enggan menubuhkan IPCMC…
Pendemokrasian dan reformasi sistem adalah satu-satunya isu yang memberi kelebihan mutlak kepada PR. Ini kerana sama ada Najib cuba menyaingi PR (melakukan sesuatu yang lebih daripada PR) atau tidak, PR tetap akan mengecapi keuntungan daripadanya. Namun, ini jugalah bidang yang mana PR paling tidak berusaha dengan sungguh-sungguh. Bukankah ia pelik?
*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
No comments:
Post a Comment