|
|
"MANA-MANA organisasi yang bercita-cita untuk berjaya dalam persekitaran perniagaan yang sukar dalam abad 21 ini, perlu terlebih dahulu menyelesaikan dilema asas yang dihadapi iaitu kerjaya di pasaran semakin banyak bergantung pada pembelajaran. Namun, kebanyakan orang tidak mengetahui cara belajar. Lebih malang lagi, 'anggota organisasi yang dianggap ramai sebagai paling pandai belajar, sebenarnya tidak begitu pandai melakukannya', tulis Chris Argyris dalam bukunya On Organizational Learning. "Oleh kerana ramai ahli profesional hampir selalunya berjaya dalam bidang masing-masing, mereka jarang-jarang mengalami kegagalan. Oleh kerana mereka jarang gagal, maka mereka tidak pernah mempelajari cara untuk belajar daripada kegagalan," tambah Argyris. Kenyataan Argyris itu sebenarnya menggambarkan paradoks organisasi-organisasi yang berjaya tetapi menghadapi masalah dalam usaha untuk mempertahankan keunggulannya.
Seorang pemikir pengurusan tersohor yang telah meluangkan waktunya untuk mempelajari perubahan dalam membentuk organisasi masa kini dan juga meramalkan organisasi yang akan terbentuk pada masa depan, Charles Handy dalam bukunya Understanding Organization: How Understanding The Ways Organizations, Actually Works Can be Used to Manage them Better membincangkan mengenai 'memimpin organisasi masa depan' yang cuba menelusuri kualiti-kualiti tertentu yang diperlukan untuk memimpin organisasi yang sangat berbeza daripada yang pernah kita kenal. Kita dapat melihat bagaimana perkembangan teknologi yang berlaku secara cepat, persaingan global dan perubahan demografi yang menciptakan organisasi jenis baru yang tidak pernah terfikir beberapa tahun sebelumnya. Beliau juga seorang pakar pengembangan organisasi dan perubahan pengurusan banyak membantu organisasi dan perniagaan keluarga melakukan perubahan dalam mencapai kejayaan masa depan.
Manakala buku The Organization of the Future yang disunting oleh Frances Hesselbein, Marshall Goldsmith dan Richard Beckhard pula membahaskan keperluan-keperluan organisasi dalam mendukung keseimbangan kehidupan bekerja dan menyediakan suasana yang sesuai. Seterusnya buku ini membahaskan bagaimana untuk menarik, memotivasi dan mempertahankan pekerja berprestasi tinggi serta melaksanakan konsep baru tentang tempo and timing yang mengarahkan modal intelektual sesebuah syarikat menuju masa depan.
Di samping itu, terdapat tulisan atau esei beberapa pemikir pengurusan yang membahaskan cara-cara berbagai organisasi berperanan dalam masyarakat dalam tiga sektor iaitu awam, swasta dan sosial serta meneliti cara-cara yang memperlihatkan perubahan dalam organisasi semasa berfungsi. "Organisasi upaya manusia," menurut Charles Handy dalam kata pengantar akhirnya dalam buku ini. Tujuan utama organisasi adalah 'membuat kekuatan manusia menjadi lebih berkesan dan kelemahannya menjadi tidak relevan'. Dengan kata lain, manusia tidak dapat lari daripada berorganisasi kerana organisasi merupakan wahana yang paling sesuai untuk mencapai sesuatu matlamat. Buku ini dirancang untuk dibaca dengan teliti dan tidak dibaca secara sekilas sahaja. Struktur buku ini mampu memberi panduan kepada pembaca, di samping memberi lontaran pemikiran baru.
Apabila hal yang mendesak anda membentuk masa depan organisasi anda, maka anda perlu membaca bahagian satu yang menceritakan tentang 'Membentuk organisasi-organisasi masa depan'. Apabila 'Model-model baru untuk bekerja dan mengurus organisasi' menjadi keperluan anda, maka bahagian kedua perlu disemak kerana ia memperincikan tentang konsep, pelaksanaan, misi dan bentuk yang sesuai. Bahagian ketiga pula mengenai 'Mengurus organisasi untuk keunggulan strategik'. Di sini, kita memandang manusia sebagai teras organisasi, watak dan karakternya yang menyumbang kepada perjalanan organisasi. Komunikasi, teknologi, pengetahuan dan informasi dibahaskan dalam bahagian keempat mengenai 'Bekerja dan mengurus organisasi dalam dunia yang saling berkait'. Bahagian akhir pula membincangkan cara-cara baru dalam berfikir mengenai keterampilan, emosi, budaya dan kepakaran yang perlu dalam memimpin organisasi masa depan.
Membaca buku ini jelas menunjukkan bahawa organisasi dibentuk dengan cara berbeza, tujuan berbeza, jenis-jenis kerja berbeza dan kebudayaan berbeza. Organisasi bukan sekadar alat. Ia mencerminkan nilai dan keperibadian daripada sesebuah perusahaan. Ia sekali gus ditentukan oleh hasil sesebuah usaha tertentu. Buku ini jelas menunjukkan kita sedang bergerak menuju keragaman dan pluralisme dalam organisasi. Kita sebenarnya sedang bergerak dengan cepat ke arah 'organisasi-organisasi baru'.
1 comment:
salam, tumpang ziarah. jika ada yang berminat dengan teori konspirasi, sejarah nusantara yang hilang, sufism, kebangkitan akhir zaman..sila lah ke nusanaga.blogspot.com
harap salam ukhwah akan bertaut demi masa depan..sekian
p/s: nak ke depa(pimpinan PAS) baca?
Post a Comment