Saturday, June 20, 2009

Kes Perak kembali menharu-birukan bidang kehakiman dan kenegaraan yang gagal disistemkan ?

Amatlah payah dalam masa beberapa minggu para hakim, mahu memperjelaskan dan memberikan kuliah undang-undang berhubung 'kuasa mutlak sultan atau raja-raja' terutama berhubung perlantikan MB sesebuah negeri bilamana MB sebelumnya tidak meletakkan jawatan serta tidak membuat prosiding gugurkan jawatan seperti mana yang dilembagakan dalam perlembagaan sesebuah negeri atau negara.

Justeru, penghakiman yang mahu menghakimi demi keadilan dan untuk keadilan, semestilah berpegang dan memegagng amalan yang dipersetuju melalui apa yang dilembagakan melalui undang-undang tubuh bagi negeri-negeri berkenaan.

Mencari dan menetapkan keputusan yang bercanggah selain daripada kebiasaan aadalah mengundang sesuatu yang luarbiasa. Justeru semua para pengamal dan pengendali hukum akan cuba mengelakkannya.


Kuasa mutlak Sultan perlu dijelas

PUTRAJAYA 19 Jun - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memohon mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir peruntukan undang-undang yang menyentuh kuasa mutlak Sultan Perak melantik Menteri Besar.

Beliau menyatakan, mahkamah wajar menjelaskan Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 berhubung kuasa mutlak Sultan melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru sedangkan beliau tidak melepaskan jawatannya.

Ketika menggariskan isu undang- undang yang akan dibangkitkan dalam permohonannya, Mohammad Nizar menyatakan, Perkara 16(6) UTKNP perlu ditafsir dengan betul sama ada jawatan Menteri Besar patut dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihati Sultan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Selain itu, mahkamah diminta menjelaskan undang-undang melibatkan kuasa mutlak Sultan Perak memecat beliau sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan, tiada undi tidak percaya terhadapnya dan beliau tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar turut memohon mahkamah mentafsir Perkara 16(6) UTKNP sama ada isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang Dewan atau boleh dibuat di mana-mana sahaja.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan permohonan agar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah, digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Alasan-alasan permohonan itu terkandung dalam notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu yang difailkan oleh Mohammad Nizar melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan pada pukul 3.32 petang ini.

Permohonan tersebut dijadualkan didengar pada 9 Julai ini.

Mohammad Nizar mengemukakan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Md. Raus Sharif yang mengisytiharkan Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Panel itu pada 22 Mei lalu membenarkan rayuan Zambry apabila memutuskan bahawa Sultan Perak betul ketika melantik beliau menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu.

Zambry merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang mengisytiharkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11 Mei lalu.

Pada sidang akhbar selepas memfailkan notis usul itu, Mohammad Nizar memberitahu, pihaknya turut mengemukakan permohonan agar prosiding bagi mendapatkan kebenaran merayu itu didengar oleh panel maksimum 11 hakim Mahkamah Persekutuan. Setakat ini, terdapat 12 hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau menyatakan, isu perlembagaan yang bakal dibangkitkan tidak pernah didengar oleh mana-mana mahkamah sebelum ini dan sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah tertinggi itu akan memberi kesan besar kepada sistem raja berperlembagaan.

Mohammad Nizar dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonannya menyatakan, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sama dengan Perkara 16(6) UTKNP dan sebarang keputusan berkenaan Perkara 16(6) akan memberi kesan terhadap Perkara 43(4) berhubung jawatan Perdana Menteri.

Sementara itu, peguam Leong Cheok Keng yang mewakili Mohammad Nizar berkata, pemohon perlu memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu hari ini walaupun tanpa alasan penghakiman bertulis yang lengkap kerana tarikh akhirnya jatuh pada Isnin ini.



No comments: