Betullah kata LIM KIT SIANG Polis tidak cekap Hamid Albar oii.. Marah ke
Khamis November 20, 2008
Adakah anda ada menghubungi Datuk seri Najib Tun Razak selepas dibebaskan?
Sejujurnya, tidak. Langsung tidak pernah.
Apa sebenarnya hubungan anda dengan Najib?
Wartawan, penulis blog dan orang sekeliling telah memperkatakan hubungan saya dengan Najib dalam pelbagai bentuk...daripada rakan karib, rakan sekutu, penasihat. Hubungan saya dan Najib bermula sejak 1990 dan ia adalah hubungan profesional. Saya mengenalinya secara profesional dan juga berpeluang mengenalinya secara peribadi.
Pandangan anda tentang pengakuan bersumpah P.Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang masih misteri kedudukannya
Perkara tentang pengakuan Bala sedang di dalam siasatan polis. Saya telah disoal oleh polis selepas dibebaskan dan saya dah beri kerjasama yang baik. Apa yang saya cakap hari ini ialah apa yang saya beritahu polis bahawa Datuk Najib tidak pernah bertemu dengan mangsa.
Bagaimana anda tahu?
Saya tahu.
Adakah anda akan terus bekerja bersama Najib selepas ini?
Saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan Datuk Najib. Saya bukannya seperti yang diperkatakan orang yang saya adalah setiausaha politiknya. Saya tidak pernah pegang jawatan rasmi denganTimbalan Perdana Menteri. Jadi, saya ada perancangan saya, dan akan teruskan dengan perancangan saya itu.
Apakah perancangan tersebut?
Saya akan kembali ke United Kingdom. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa saya adalah penuntut di Oxford. Pada 28 September 2006, dua minggu sebelum saya ditahan, saya telah pun menghantar disertasi kedoktoran setelah beberapa tahun belajar di sana. Pihak universiti terpaksa menahan dulu disertasi saya. Sekarang saya sudah dibebaskan dan saya telah menghubungi pihak universiti. Saya akan kembali ke sana untuk dinilai dimana pemeriksa akan membaca disertasi saya dan menemubual saya. Insya-Allah, saya akan menerima ijazah kedoktoran saya tahun hadapan.
Kenapa anda rasa anda ditahan?
Anda kena faham bahawa perbicaraan ini masih berjalan. Dan seperti yang kita ketahui, keluarga mangsa telah mengambil tindakan terhadap kerajaan Malaysia, diri saya dan dua lagi yang didakwa. Jadi saya tidak mahu komen lanjut tentang itu. Saya harap kamu faham.
Mengapa peguam ditukar di awal prosiding?
Saya rasa saya tidak perlu dedahkan sebabnya.
Apa komen anda dengan keputusan pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan anda? Adakah ia berkaitan dengan pembatalan sidang media sebelum ini?
Saya tidak boleh komen kenapa mereka tidak merayu. Sebab saya membatalkan sidang media tempoh hari tidak kena-mengena denganrayuan atau apapun. Saya agak berkeyakinan untuk berdepan dengan dunia selepas dibebaskan, terutamanya dengan pihak media. Tetapi selepas beberapa hari, saya rasakan diri saya belum bersedia. Anda kena berada di dalam penjara selama dua tahun untuk faham apa yang saya cakapkan ini. Fikiran saya bercelaru. Tidak kena-mengena dengan rayuan yang membuatkan saya batalkan sidang media itu.
Berapa lama anda telah mengenali mangsa? Adakah anda tahu tentang SMS yang dihantar oleh Najib kepada bekas peguam anda?
Ini melibatkan prosiding mahkamah. Mangsa sudah tiada dan biarlah dia bersemadi dengan aman. Saya tahu banyak pembohongan telah disebarkan. Satu contoh pembohongan yang dipaparkan oleh satu media yang bereputasi, ia mengatakan saya bertemunya di sebuah majlis. Dan saya tertanya-tanya di mana mereka dapat cerita seperti itu. Tentang SMS antara Najib dan bekas peguam saya, saya tidak tahu kerana saya di penjara ketika itu...sama ada dalam tahanan reman ataupun di Penjara Sungai Buloh. Saya tidak ingat.
Adakah anda menghubungi Najib selepas dibebaskan? Bagaimana hubungan anda dan Najib sekarang?
Saya tidak berjumpa, bercakap, SMS atau emel. Saya tidak ada hubunginya langsung.
Adakah anda merancang untuk menghubunginya?
Saya ada perancangan yang perlu dibuat dan itu adalah fokus saya ketika ini.
...pembohongan... (soalan tidak jelas)?
Sejak dua tahun lalu, saya tidak sedar betapa jauhnya dunia tanpa sempadan...dunia Internet dan di mana penulis blog sangat berkuasa. Dua minggu lalu, beberapa rakan di luar negara yang saya hubungi memberitahu bahawa penulis blog pernah dirasakan cukup hebat di UK, tetapi apapun selepas itu, semua akan sedar bahawa penulis blog tetap penulis blog. Saya boleh buat blog dan saya boleh cakap apa saja. Seorang pemandu teksi juga boleh menulis blog jika dia boleh menulis dengan baik. Kebanyakan artikel di blog tidak berdasarkan fakta, tetapi banyaknya lebih kepada khabar angin.
Ketika anda masih dibicarakan, ada yang mengatakan anda ingin mengambil tindakan terhadap media tertentu setelah dibebaskan?
Saya tidak pernah buat sebarang kenyataan sehingga hari ini. Saya sentiasa berdiam diri sejak ditahan sampai hari ini. Jadi saya tidak pernah cakap saya nak ambil sebarang tindakan undang-undang.
Apa komen anda tentang gambar Najib dan Altantuya yang tersebar di Internet?
Saya disiasat oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi ketika di dalam penjara dan saya ditunjukkan gambar tersebut. Bagi saya, hanya orang benar-benar bodoh saja yang akan percaya gambar itu asli. Perempuan dalam gambar tersebut bukan dia.
Komen anda dengan dakwaan Altantuya turut terlibat di dalam sebuah rundingan?
Saya sedar macam-macam cerita timbul. Tidak ada sebarang pertalian pun di antara rundingan dengan mangsa. Perjanjian rundingan itu dibuat pada Jun 2002, sedangkan saya bertemu mangsa buat pertama kalinya ialah pada Disember atau November 2004. Jadi saya gagal melihat sebarang kaitan, tetapi perkara ini masih lagi diperkatakan.
Mengapa anda 'mengamuk' di mahkamah peringkat awal perbicaraan? (soalan tidak jelas)?
Isteri saya cukup tertekan. Di penjara, saya hanya dapat berjumpa keluarga saya sekali saja dalam seminggu. Saya hanya dapat bercakap dengan mereka menerusi telefon di penjara. Bila saya bertemu mereka pada Jun 2007, itu adalah pertemuan pertama yang kami sekeluarga dapat berpelukan setelah hampir enam bulan. Saya faham isteri saya cukup tertekan.
Adakah anda mempunyai perancangan untuk menulis buku tentang diri anda?
Perancangan utama saya ialah untuk mendapatkan ijazah doktor (falsafah) dulu.
Adakah anda yakin anda akan dibebaskan?
Saya tidak bersalah, saya tahu saya akan dibebaskan. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana orang yang tidak bersalah akan didapati bersalah.
Bagaimana kehidupan anda di penjara?
Saya rasa saya lebih dekat dengan Allah. Saya anggap diri saya cukup bertuah. Tuhan memberi pilihan yang lebih baik daripada kematian...ada yang mati kerana sakit jantung dan sebagainya, tetapi Tuhan tentukan nasib saya dengan dipenjarakan. Ini telah memberi peluang kepada saya untuk melihat semula hidup saya. Rakan-rakan di penjara juga membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan hidup di dalam sana. Sehingga hari ini, saya kagum kerana dapat bertahan selama 22 bulan.
Adakah anda akan menghubungi keluarga mangsa?
Saya tidak pernah kenal keluarga mangsa. Saya sendiri sudah memberitahu secara umum bahawa saya turut simpati dengan apa yang berlaku pada mangsa.
Bagaimana kehidupan anda selepas 3 minggu dibebaskan?
Saya banyak makan sekarang dan berat badan juga sudah bertambah. Ketika di dalam penjara semuanya ditentukan untuk kita...masa untuk makan, tidur semuanya ditetapkan. Jadi sekarang ini saya sedang menyesuaikan hidup saya.
Ketika di penjara, berapa kerap anda membaca buku?
Saya banyak membaca. Ada masanya saya banyak baca biografi tetapi sejak setahun yang lalu, saya semakin banyak membaca tentang Islam dan Nabi Muhammad serta politik Islam.
Di manakah sebenarnya anda mula berjumpa Altantuya?
Tidak ada bezanya di mana pun saya berjumpa dengannya. Apa yang saya ingin komen di sini ialah, Najib tidak pernah berjumpa wanita itu.
Jika anda berada dalam situasi bapa Altantuya, adakah anda akan mengambil tindakan yang sama?
Saya tidak boleh jadi orang lain. Tidak adil untuk saya memberikan komen tentang perkara itu.
Adakah kes ini telah menjejaskan reputasi anda dengan teruk?
Saya sentiasa ingatkan diri saya bahawa saya ingin menutup kisah hidup saya ini dan buka sebuah lebaran baru dalam diri saya. Saya hanya ingin melihat masa depan dan tidak mahu menoleh ke belakang.
Adakah anda menyalahkan penulis blog tentang cerita yang timbul selama ini?
Saya tidak mahu menuding kepada mana-mana penulis blog. Jika penulis-penulis blog menjadi sumber kepada kebenaran, apa yang boleh saya katakan, masyarakat akan berdepan dengan masalah.
Pendapat anda tentang Najib yang akan menjadi Perdana Menteri kelak?
Saya telah mengenalinya agak lama. Beliau akan menjadi seorang Perdana Menteri yang bagus. Kami sentiasa berbicara tentang buku dan kami banyak bertukar-tukar buku. Secara intelektualnya, dia memang layak.
Adakah anda akan bekerja di bawah Najib sebaik dia menjadi PM?
Saya sudah cukup gembira dengan kebebasan yang saya kecapi sekarang. Saya ingin buat sesuatu yang intelektual.
Bagaimana pandangan masyarakat apabila terserempak dengan anda di luar?
Sebenarnya saya agak terkejut apabila ramai yang ucap tahniah dengan pembebasan saya ini. Sebenarnya saya ingat ramai yang tidak akan mendekati saya selepas ini. Sudah tentu ada juga mereka yang berbisik-bisik sesuatu apabila terserempak dengan saya...memang sangat ketara.
No comments:
Post a Comment