Thursday, November 13, 2008

Karpal saman Ketua Hakim hari ini

Karpal fail laporan polis terhadap Ketua Hakim Negara 3 petang ini

Usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah ditolak buat kali kedua semalam.

Justeru, Karpal akan memfailkan laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 3 petang ini.

"Nampaknya tiada lagi cara lain supaya isu ini dibahaskan atau dibincangkan kerana Dewan Rakyat telah menolak usul yang saya failkan sebanyak dua kali," kata Pengerusi DAP itu di lobi Parlimen semalam.

Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai kepentingan awam kerana ia melibatkan kredibiliti seorang Ketua Hakim Negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.

Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri.

"Kelakuan hakim-hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali atas sesuatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh pihak kurang daripada satu perempat daripada bilangan ahli Majlis Parlimen," katanya.

Namun Karpal tetap tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat itu kerana menurutnya isu yang dibangkitkannya adalah yang berkaitan sewaktu Zaki berkhidmat sebagai peguam.

"Isunya di sini ialah apa yang berlaku pada tahun 1987 seperti yang beliau (Zaki) nyatakan sebelum ini iaitu pernah memberi rasuah.

"Kita bukan mahu bincangkan mengenai sifatnya atau kelakuannya kini sebagai seoarang Ketua Hakim Negara," katanya.

Pada sidang media berasingan, Pandikar Amin menjelaskan sebab beliau membuat penolakan tersebut.

"Peraturan Mesyuarat itu jelas mengatakan bahawa apa jua yang berkaitan dengan sifat atau kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan di Parlimen.

"Memang Yang Berhormat Bukit Gelugor katakan bahawa isu yang beliau bawa adalah yang berlaku dahulu semasa Tan Sri Zaki menjadi peguam, tapi kalau saya biarkan usul ini dibahaskan, tidakkah mereka akan tetap kaitkan dengan sifat-sifat beliau... ini pasti berlaku," katanya.

Ditanya kemungkinan persepsi masyarakat bahawa beliau hanya menolak usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, beliau tidak kisah dengan persepsi sedemikian.

"Saya tak kisah apa mereka akan kata. Saya hanya jalankan tugas bagi memastikan perjalanan mesyuarat lancar.

"Tapi anda harus ingat bahawa semua usul yang saya terima hanya daripada pembangkang," katanya.

Jelas beliau, jika ada usul yang dikemukan pihak kerajaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, beliau akan tetap melakukan perkara yang sama.

"Kalau pihak penyokong kerajaan juga ada usul yang tak memenuhi syarat, saya akan tolak juga," katanya.

No comments: