Saturday, November 22, 2008

Perbuatan adalah cerminan diri kita ?

Isu koyak borang: CUEPACS bidas Ramasamy.......Seandainya benar seperti yang dilaporkan, bagi kita masyarakat yang bertamadun ianya adalah tidak wajar. Sebaliknya bagi diri Ramasamy ia adalah tindakan wajar manifestasi kemarahannya kepada kerajaan atas 'ketidakadilan' layanan yang diterima oleh kaum India.


Apa yang didakwa CUEPACS adalah gambaran keterlaluan kerana Ramasamy kena ingat ia adalah mewaklili kerajaan Pakatan Rakyat, Dirinya atau batang tubuhnya kini adalah gambaran kerajaan Pakatan Rakyat. Sikapnya sedemikian memaparkan 'nilai akdemik' pada diri beliau amat jauh , tindakannya adalah macam orang tidak berpelajaran dan berpendidikan.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman percaya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy sengaja menimbulkan isu berhubung dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan awam ekoran pelbagai penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap sektor tersebut.

Menurutnya, sektor awam pada hari ini menawarkan jaminan hidup yang lebih baik daripada segi gaji, pencen pesara dan juga usia persaraan yang telah dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun.

‘‘Dengan penambahbaikan ganjaran untuk kakitangan awam maka ramai orang yang berminat untuk menyertai sektor ini dan kerana itu Ramasamy menimbulkan isu remeh tanpa memberikan sebarang bukti,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu sepatutnya mengemukakan aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung dakwaan beliau itu.

Menurutnya, setiap kementerian menyediakan kaunter khas pada Hari Bersama Pelanggan dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada pegawai yang bertugas.

Omar berkata, Ramasamy bukan sahaja menyalahkan dasar kerajaan tetapi juga telah mempertikaikan kredibiliti anggota sektor awam apabila membuat dakwaan itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ramasamy berhubung dominasi orang Melayu dalam sektor awam dan sehingga kini Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga gagal membuktikan terdapat pegawai kerajaan yang mengoyakkan permohonan daripada bukan Melayu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Senator Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, Ramasamy cuba mencari publisiti murah dengan membuat dakwaan tidak berasas itu.

Katanya, dakwaan tersebut sengaja dibuat bagi menunjukkan kononnya beliau adalah pembela kaum bukan Melayu.

Beliau memberitahu, masyarakat bukan Melayu sendiri yang kurang berminat menyertai sektor awam seperti dalam bidang ketenteraan kerana sejak tahun 1969 lagi, kurang daripada 10 peratus kaum bukan Melayu menjadi tentera.

“Kerajaan memang mengalu-alukan penyertaan kaum bukan Melayu dalam sektor ketenteraan untuk mempertahankan negara, bangsa dan agama tetapi sejak 1969 jumlah mereka yang memohon amat kurang,’’ katanya.

Menurutnya, kaum bukan Melayu mungkin hendak mengejar keselesaan hidup dan tidak mahu dikongkong dengan disiplin serta bertugas jauh daripada masyarakat.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Prof. Dr. Hasan Yusof berkata, kerajaan tidak langsung mengamalkan diskriminasi kaum dalam pemilihan anggota polis kerana ia terbuka kepada semua kaum.

‘‘Kaum bukan Melayu sebenarnya kurang tertarik dengan tawaran gaji di sektor awam berbanding sektor swasta dan juga bidang perniagaan.

‘‘Dakwaan Ramasamy bahawa sektor awam didominasi Melayu tidak tepat kerana permohonan jawatan dibuka kepada semua kaum dan sekiranya kaum bukan Melayu tidak berminat memohon, tiada siapa yang boleh dipersalahkan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, dakwaan Ramasamy itu merupakan satu cara Kerajaan Pulau Pinang mentadbir negeri iaitu dengan memainkan isu-isu yang tidak mempunyai kebenarannya.

‘‘Mereka berani mengeluarkan kata-kata rambang tetapi berdalih apabila diminta mengemukakan bukti atas dakwaan mereka,” katanya.

No comments: