Monday, November 10, 2008

Pembangkang mahu ISA mansuh ?

Anwar ulangi pendirian mahu mansuhkan ISA

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) jika berpeluang mengambil alih kerajaaan persekutuan.

"Saya dengan penuh yakin dan tiada masalah sama sekali untuk menolak undang-undang yang rakus bukan hanya ISA dan AUKU, malah semua akta-akta yang menghalang perdebatan berfikir dalam masyarakat.

"Mudah-mudahan kita akan dapat lakukannya dengan kadar yang segera," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran empat buku hasil tulisan Prof. Syed Husin Ali, Timbalan Presiden Parti Rakyat Keadilan (PKR) di sini semalam.

Anwar merupakan penasihat PKR.Tegasnya, ISA perlu dihapuskan kerana akta tersebut merupakan satu undang-undang yang kejam dan zalim kerana menangkap seseorang tanpa melalui perbicaraan.

"ISA perlu dihapuskan kerana ia hanya penting kepada mereka yang berkuasa. Kuasa undang-undang juga tidak membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara," katanya.

Anwar yang pernah ditahan di bawah ISA berkata, walaupun ada perkembangan yang baik pada institusi kehakiman negara namun perubahan yang berlaku tidak begitu meyakinkan jika keseluruhan sistem dan institusi kehakiman tidak diubah dengan segera.

Beliau juga berkata ada pihak-pihak yang punya kepentingan politik cuba menggunakan kuasa yang mereka ada kerana mahukan kes liwatnya dipindahkan ke mahkamah.

"Saya lihat ada tangan-tangan tersembunyi yang memainkan peranan mahu kes saya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana mereka ada kepentingan tertentu," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri ini turut menyentuh mengenai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan beliau berpendapat perkara yang termaktubnya dalamnya tidak wajar dikhianati.

"Apa yang berlaku pada hari ini Perlembagaan sudah dipinda beratus-ratus kali sehingga maksud asalnya kian kabur dan kita sudah jauh daripada apa yang diperjuangkan pada zaman kita ingin mencapai kemerdekaan dahulu," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkatam di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat mereka membenarkan perbincangan secara bebas dan terbuka dalam pelbagai masalah dalam masyarakat termasuklah isu etnik, isu hubungan Melayu dan kaum-kaum lain.

"Kita mahu mebincangkan hal-hal ini secara terbuka dengan fakta dan ilmu-ilmu yang kita ada untuk menyelesaikan permasalahan dan mencapai matlamat yang sebenar," katanya.

Tambahnya, perkara ini berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional yang menganggap perbincangan terbuka ini hanya akan menimbulkan pertelingkahan.

No comments: