Thursday, November 13, 2008

Nazri ingatkan Tun Mahathir 'tidak celupar' tuduh pemimpin Umno rasuah


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak 'celupar' dalam membuat tuduhan berhubung isu rasuah di kalangan calon yang bertanding dalam pemilihan Umno Mac depan.

"Tuduhan main (guna) duit adalah tuduhan yang serius, mengata seseorang calon yang nak bertanding terlibat dengan rasuah adalah serius.

"Jadi saya harap Tun Mahathir jangan celupar cakap begitu sahaja kerana akan memberi kesan buruk kepada calon-calon dan juga parti," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir berkata, beliau percaya ada calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan untuk melayakkan diri bertanding pada pemilihan Mac depan.

Katanya, kemungkinan besar ia berlaku kerana ada calon yang sudah ketinggalan pada peringkat awal persidangan perwakilan Umno bahagian tiba-tiba mendapat banyak pencalonan sehingga layak bertanding.

No comments: