Walaupun berita 2 kapal milik MISC yang dipunyai negara 'dirampas' lanun disenyap atau digelapkan dengan alasan keselamatan dan sebagainya. Kita semua rasa syukur kes rompakan lanun selama 45 hari sungguh mengharukan.
KOTA BHARU 4 Okt. – “Saya tidak serik dan tidak rasa takut, malah pengalaman ini menaikkan lagi semangat saya untuk meneruskan kerjaya sebagai krew kapal. Saya tidak sabar untuk kembali bertugas.”
Begitulah kata-kata salah seorang mangsa tebusan kapal tangki MT Bunga Melati 2, Mohd. Salwadi Mamat setibanya di sini selepas seminggu dibebaskan daripada tahanan lanun di perairan Somalia.
Dia yang telah bekerja selama 10 tahun sebagai krew kapal memberikan jawapan spontan itu ketika ditanyakan pendiriannya sama ada akan meneruskan karier sebagai krew kapal tangki ataupun memilih untuk mencari kerja lain.
Mohd. Salwadi, 31, merupakan salah seorang daripada 79 anak kapal MT Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 yang ditahan sebagai tebusan oleh lanun Somalia selama lebih sebulan semasa kedua-dua kapal berkenaan melalui Teluk Aden, Somalia.
“Sepatutnya saya menyambut 1 Syawal lalu bersama keluarga tetapi tidak berpeluang kerana pada masa itu kami masih dalam perjalanan selepas dibebaskan.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga setelah lebih sebulan berjuang antara hidup dan mati.
“Terima kasih kepada kerajaan dan MISC kerana berusaha keras membebaskan kami semua,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa menggunakan pesawat tambahan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada pukul 5.30 petang ini.
Dia tiba dari Kuala Lumpur dengan ditemani oleh tunangnya, Nor Hazliza Mat Zin, 22, seorang penuntut Kolej Kejururawatan Kuantan.
Mohd. Salwadi bersama 78 anak kapal lain selamat tiba dari Djibouti dan mendarat dengan pesawat sewa khas milik Malaysian Airline System (MAS) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang pukul 4 pagi ini.
Pada 19 Ogos lalu, kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal melibatkan 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen. Seorang anak kapal warga Filipina terbunuh akibat terkena peluru sesat.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama semasa dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.
Pada 27 September lalu, kapal Bunga Melati 5 dibebaskan setelah MISC membayar sejumlah wang tebusan manakala kapal Bunga Melati 2 dibebaskan pada 29 September lalu.
Kesemua 79 anak kapal dilaporkan dalam keadaan sihat dan selamat.
Sementara itu, seorang lagi anak kapal tangki itu yang tiba pada pukul 7 malam, Baharuddin Mohamad, 36, berkata, semasa berada dalam tahanan perasaannya amat takut kerana beberapa kali diacukan senjata oleh kumpulan lanun itu.
“Saya tidak melawan kerana takut dibunuh tambahan pula apabila memikirkan nasib keluarga jika diapa-apakan," katanya.
Baharuddin ditanya sama ada dia mengetahui mengenai kematian bapanya, Mohamad Junoh, 64, yang meninggal dunia pada 13 September kerana pelbagai komplikasi penyakit dan tekanan perasaan setelah mengetahui berita penahanannya itu.
Jawabnya: “Saya langsung tidak tahu dan hanya dapat berita mengenainya melalui akhbar semasa tiba di Malaysia. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mengetahuinya, jika tidak saya mungkin akan bertindak agresif semasa ditahan.
“Serik memang serik setelah melalui pengalaman pertama kali ditahan lanun sejak bertugas selama 13 tahun tetapi saya tetap akan meneruskan kerana kerjaya ini merupakan mata pencarian untuk menyara keluarga."
Baharuddin mempunyai tiga cahaya mata. Isterinya, Rohaya Naman, 30, kini sarat mengandung enam bulan.
No comments:
Post a Comment