Wednesday, July 09, 2008

Bukti kerajaan Pakatan Berpakat

Pangkor II: DAP tiada hak kawal MB

PUTRAJAYA 8 Julai – DAP tidak mempunyai locus standi atau hak undang-undang untuk memaksa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tunduk di bawah tekanannya, termasuk melarang Mohammad Nizar menyebut negeri itu diperintah oleh Islam.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sekalipun benar wujud larangan DAP itu dalam ‘Perjanjian Pangkor II’ yang dikatakan dipersetujui di antara Mohammad Nizar dan DAP, ia sebenarnya tidak mengikat kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negeri itu.

Sehubungan itu, Rais yang juga Menteri Luar meminta Mohammad Nizar supaya tidak sesekali goyah dengan pendiriannya dan mencabar pemimpin Pas itu bersikap berani mempertahankan kerangka keislaman dalam politik negeri.

“Saya hairan kenapa perlu ada perjanjian seumpama itu. Sama ada Menteri Besar sudah lupa asal-usulnya atau dia telah dijual bulat-bulat oleh DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rais menganggap perjanjian tersebut, jika benar-benar wujud, sebagai satu ‘kedayusan politik’.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan abang Mohammad Nizar, Mohd. Fadzil Jamaluddin menganggap adiknya itu tidak layak menjadi Menteri Besar Perak kerana menandatangani ‘Perjanjian Pangkor II’ dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang Menteri Besar daripada menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam.

Dalam perjanjian itu, Mohammad Nizar juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas.

Dalam mentadbir negeri, Mohammad Nizar didakwa terikat dengan perjanjian bersama DAP yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, satu persefahaman yang membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar.

DAP mempunyai 18 kerusi di DUN Perak, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi tujuh kerusi, manakala Pas hanya memiliki enam wakil rakyat termasuk Mohammad Nizar.

Pakatan DAP, PKR dan Pas memerintah Perak selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu dengan 31 kerusi, sementara Barisan Nasional mempunyai 28 kerusi dalam DUN.

No comments: