Tuesday, June 10, 2008

Jawatankuasa Inflasi Ok juga ?

Tiga jawatankuasa bendung inflasi ditubuh

PUTRAJAYA 9 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Membanteras Inflasi hari ini bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa yang akan memperhalusi tindakan yang sesuai bagi membendung inflasi.

Menurut Perdana Menteri, tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Berkaitan Kecekapan Penggunaan Sumber Tenaga, Jawatankuasa Menambah Baik Perkhidmatan Bas dan Jawatankuasa Media.

''Bagi membincangkan perkara-perkara tertentu yang memerlukan kehadiran wakil atau individu berkaitan, kita memutuskan untuk menubuhkan tiga jawatankuasa itu.

''Ia juga akan membolehkan perbincangan dilakukan dengan lebih mendalam supaya langkah penyelesaian lebih konkrit dapat diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Abdullah berkata, Jawatankuasa Berkaitan Kecekapan Penggunaan Sumber Tenaga akan memastikan wujudnya peningkatan kecekapan dalam penggunaan sumber tenaga yang ada.

Beliau berkata, Jawatankuasa Media pula akan berperanan untuk menentukan sebaran maklumat dan makluman yang telah diputuskan oleh majlis.

''Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan dibantu oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Anuar Zaini.

''Jawatankuasa Menambah Baik Perkhidmatan Bas pula memerlukan kehadiran mereka yang terbabit dalam sektor perkhidmatan bas di negara ini," katanya.

No comments: