Kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan
BIAR pun kerajaan memberi jaminan bahawa kenaikan harga minyak yang diumumkan Rabu lepas tidak akan meletakkan pengguna dalam kesulitan yang keterlaluan namun realitinya tidak begitu.
Tempoh lima hari selepas pengumuman dibuat menyaksikan trend kenaikan harga bagi sektor pengangkutan, makanan dan perkhidmatan yang kesemuanya amat berhubung kait dengan minyak.
Keresahan pengguna masih belum dapat diubati menerusi jaminan demi jaminan yang dilontarkan oleh kerajaan.
Hakikat bahawa kos hidup semakin meningkat sedangkan kadar upah masih di takuk lama menyebabkan pengguna sukar untuk mengerti jauh sekali menerima akan adanya hikmah di sebalik kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Di pihak kerajaan sendiri, beban yang ditanggung untuk memastikan urusan hidup rakyat berjalan lancar tidak kurang beratnya.
Sememangnya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang tidak menekan rakyat tetapi ada ketikanya keputusan yang pahit perlu dibuat demi masa depan negara.
Sebab itu di pihak kerajaan sendiri tidak teragak-agak untuk menangguhkan projek-projek mega yang menuntut perbelanjaan berbilion-bilion ringgit dan ia adalah demi kepentingan rakyat.
Dalam keadaan sebegini, pelaksanaan projek mega akan memburukkan keadaan kerana kenaikan harga minyak semestinya disusuli peningkatan kos untuk memastikan projek tersebut tidak terbengkalai.
Malah projek mega yang tidak berkepentingan rakyat mungkin boleh dikeluarkan terus daripada program pembangunan yang telah dirangka sebelum ini.
Begitu juga dengan mekanisme yang dilihat amat ringkas tetapi mempunyai kesan yang tidak kurang pentingnya jika ia dilaksanakan oleh kerajaan kelak.
Langkah menjimatkan kos penganjuran majlis oleh jabatan dan agensi kerajaan misalnya bertepatan dengan suasana sekarang malah semangat tersebut sewajarnya menjadi amalan sampai bila-bila.
Sudah tiba masanya bagi setiap kementerian membuat penetapan bahawa sebarang majlis keraian hendaklah berjalan seringkas mungkin selain pemberian cenderahati biarlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh penerimanya.
Perlu diingat bahawa mulai bulan depan rakyat akan menanggung pula kenaikan tarif elektrik yang semestinya menyumbang satu lagi peningkatan kos sara hidup.
Justeru untuk meminimumkan kegelisahan rakyat, empat langkah yang telah diumumkan kerajaan semalam seharusnya mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Selain menangguhkan projek mega dan mengarahkan jabatan kerajaan berjimat cermat, kerajaan juga mesti menyediakan jaringan jaminan sosial bagi rakyat sebagai persediaan menghadapi kegetiran ekonomi yang kesannya mungkin lebih parah.
No comments:
Post a Comment