4 cara ringankan beban rakyat
PUTRAJAYA 9 Jun - Kerajaan hari ini mengumumkan empat langkah khusus berkuat kuasa serta-merta untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga minyak selain mengurangkan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion setahun.
Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah-langkah itu akan diikuti beberapa ikhtiar lain yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Empat langkah itu ialah pengurangan perbelanjaan kerajaan, mempercepatkan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan, kuota kemudahan kad fleet yang lebih tinggi untuk pengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan jaminan sosial.
Arahan-arahan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan meliputi:
Tidak membenarkan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan atau badan berkanun kecuali yang tidak melibatkan pewujudan jawatan baru;
Pengurangan elaun keraian menteri Kabinet sebanyak 10 peratus;
Perjalanan menteri dan pegawai kerajaan ke luar negara dikaji semula, hanya melibatkan persidangan atau mesyuarat antarabangsa yang penting dengan jumlah pegawai yang terhad;
Penggunaan kemudahan hotel hanya untuk persidangan antarabangsa dan semua kursus, latihan dan bengkel anjuran kementerian untuk anggotanya hendaklah dihadkan dan menggunakan kemudahan sedia ada;
Sewa ruang pejabat baru, perpindahan pejabat ke bangunan lain dan ubah suai pejabat sedia ada tidak lagi dibenarkan;
Pembelian aset seperti kereta dan kelengkapan pejabat dikurang atau ditangguhkan terutama yang belum dimuktamadkan;
Pengurangan penganjuran majlis keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan dan mesyuarat. Jika dianjur, ia mesti dilakukan secara sederhana; dan
Anggaran perbelanjaan mengurus 2008 dikaji semula termasuk pemotongan 10 peratus ke atas Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 30000 (Aset).
Menurut Perdana Menteri, pekeliling mengenai arahan pengurangan perbelanjaan itu akan diedarkan ke semua pejabat kerajaan.
"Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan berasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini," ujarnya.
Abdullah berkata, peningkatan harga barang dan bahan api memaksa semua pihak mengambil langkah berjimat cermat termasuk kerajaan yang perlu mengurangkan perbelanjaannya.
Katanya, penjimatan sebanyak RM2 bilion akan membolehkan kerajaan menyalurkannya untuk kegunaan lain termasuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan ekonomi ketika ini.
Kerajaan, kata Perdana Menteri, menyedari tentang beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini dan berusaha untuk mengurangkan beban mereka.
"Rakyat memerlukan bantuan dan mahu tindakan daripada kerajaan yang boleh mengurangkan beban mereka.
"Kerajaan prihatin dengan rakyat dan kita akan mengambil tindakan walaupun tindakan pertama kita (naikkan harga minyak) mengejutkan dan membebankan," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berharap, beberapa langkah susulan yang diambil selepas itu, termasuk inisiatif yang diumumkan hari ini, dapat mengurangkan beban mereka.
No comments:
Post a Comment